28 Mar 2020

Anuradha Mengulas — Anjing

Buku berjudul Kathakali (2009) memuatkan 16 buah cerpen yang ditulis dengan menggunakan Bahasa Malaysia yang mudah difahami oleh pembaca daripada pelbagai lapisan umur.

Saya menggalakkan peminat buku supaya membaca cerpen-cerpen dalam buku ini kerana bahasa yang digunakan sangat mudah dan boleh difahami dengan cepat. Cerpen-cerpen ini juga mungkin ada kaitan dengan kisah hidup para pembaca. Ia sesuai dibaca oleh penggemar cerpen dan mereka yang minat membaca. “Kathkali” juga merupakan judul salah sebuah cerpen dalam buku ini. Namun, bagi saya, cerpen berjudul “Anjing” lebih menyentuh hati.

Saya membaca cerpen “Anjing” mungkin dua atau tiga tahun yang lalu apabila saya mendapatkan buku ini daripada penulis, tetapi ia masih jelas dalam ingatan saya. Lagipun, saya pernah mendengar audio cerpen ini yang telah dikirim kepada saya oleh penulis. Ini membuatkan cerpen berjudul “Anjing” menjadi kegemaran saya.

Ia berkisar tentang seorang ketua keluarga yang tegas dan telah menetapkan undang-undang bagi keluarganya. Undang-undang yang ditetapkan oleh ketua keluarga jarang mendapat tentangan daripada ahli keluarga. Sungguhpun begitu, undang-undang tersebut boleh diubah dengan kelembutan hati orang yang menetapkan peraturan-peraturan tersebut.

Dalam cerpen ini, ketua keluarga yang tegas menjadi lembut dan mula akur dengan kehendak anak bongsu. Namun, dia masih tegas terhadap permintaan anak sulung. Anak sulung biasanya menjadi anak yang paling disayangi oleh ayah dan selalu terpaksa mengikut kehendak ayah. Biasanya anak bongsu akan dapat melembutkan hati ayah kerana usia ketua keluarga yang semakin lanjut.

Ketua keluarga dalam cerpen ini mula berjinak dengan haiwan peliharaan yang pada mulanya dia benci dan tidak suka. Dia juga sanggup menendang dan berkelakuan kurang baik terhadap haiwan yang dibawa ke rumah oleh anak bongsu. Tapi, akhirnya, dialah yang menjadi insan yang paling rapat dengan haiwan tersebut. Dialah yang mula menguruskan segala-galanya bagi haiwan itu. Ternyata, setegas manapun seseorang, akhirnya akan ada sesuatu yang akan melembutkan jiwanya.

[Lihat — Senarai Buku Uthaya]

Saya gemar dengan cara penyampaian cerita ini. Sememangnya, cerita ini menjadi seronok apabila pembaca menjadi salah satu watak dalam kisah tersebut. Dengan menjadikan diri sebagai watak, kisah ini seperti berlaku pada diri sendiri.

Cerpen “Anjing” mempunyai gaya penulisan dan laras bahasa yang sesuai dengan plot. Setiap unsur diceritakan dengan jelas dan dapat ditafsir dengan mudah oleh pembaca. Pemilihan situasi dan dialog yang digunakan membuatkan para pembaca tidak bosan dengan jalan cerita.

Dialog yang berlegar dalam kepala watak juga disampaikan dengan penuh emosi. Dialog antara suami dan isteri disampaikan secara selamba dan menggambarkan situasi yang biasa berlaku dalam kehidupan berkeluarga. Begitu juga dengan perbualan antara anak-anak dan ibu bapa.

Pengakhiran cerita juga agak berbeza. Ia mempunyai keunikan tersendiri yang pasti akan kekal dalam hati para pembaca.

[Ulasan ini ditulis oleh Anuradha Chelliah bagi Pertandingan Menulis Ulasan Cerpen yang dikendalikan oleh Uthaya Sankar SB semasa Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan di seluruh negara. Pengulas memilih Surat Dari Madras dan Siru Kambam sebagai hadiah. Baca juga — Ulasan Jaymani Sevanathan]