Ada
dua lagi panduan yang mahu saya kongsikan bersama-sama sesiapa yang berhajat
menghasilkan manuskrip cerpen bermutu yang mempunyai peluang lebih besar untuk
menang dalam sayembara. Atau bagi menghasilkan cerpen yang layak disiarkan di
majalah-majalah berwibawa. [Baca Bahagian Dua]
Panduan-panduan
ini adalah berdasarkan pengalaman saya mengendalikan bengkel
penulisan cerpen di seluruh negara sejak 1994. Juga
berdasarkan pengalaman menjadi hakim bagi beberapa pertandingan penulisan karya
kreatif.
9. Kemukakan
Manuskrip yang Bersih
Apabila
anda sudah bersedia untuk mengirim manuskrip kepada penganjur pertandingan
menulis cerpen — atau kepada editor akhbar dan majalah — pastikan bahawa
manuskrip itu sudah bersih dan kemas. Ingat bahawa urus setia, panel hakim dan
editor tidak ada masa untuk melakukan kerja-kerja penyuntingan, membaca pruf,
membetulkan ejaan dan membaiki kesalahan tanda baca yang terlalu banyak pada
manuskrip anda.
Sebuah
manuskrip yang kemas biasanya dicetak menggunakan dakwat warna hitam pada
kertas saiz A4 warna putih. Lazimnya perlu ditaip langkau dua, menggunakan fon Arial atau Times New Roman serta ada nombor halaman.
Pastikan
judul cerpen dicetak pada permulaan cerpen. Pada masa sama, pastikan bahawa
nama anda tidak dinyatakan pada mana-mana bahagian manuskrip cerpen kerana
tindakan itu bertentangan syarat umum mana-mana pertandingan cerpen.
Sebaliknya, jika manuskrip dikirim kepada editor akhbar atau majalah, pastikan
nama anda tertera dengan jelas.
Sebagai
tambahan, suka saya menasihatkan anda supaya menaip kata “TAMAT” pada akhir
cerpen. Tindakan kecil ini sebenarnya memberikan gambaran bahawa anda sesungguhnya
seorang penulis yang profesional, beretika, berdisiplin serta tidak mahu
menyusahkan penganjur dan hakim pertandingan atau editor.
Pada
masa sekarang, pengiriman manuskrip cerpen bagi pertandingan mungkin
tidak lagi hanya menerusi kiriman pos. Sebaliknya, anda boleh juga mengirim
manuskrip menerusi e-mel. Hal ini lebih ketara jika anda mahu mengirim
manuskrip cerpen untuk siaran di akhbar atau majalah.
Sekiranya
manuskrip dikirim secara elektronik melalui e-mel, pastikan manuskrip itu
dihantar sebagai lampiran (attachment)
dan bukannya disalin-tampal (copy-paste)
pada ruangan e-mel. Nasihat ini mungkin kedengaran lucu tetapi percayalah
bahawa masih ada orang yang melakukan kesilapan seperti itu!
Selain
daripada itu, nama yang diberikan pada fail cerpen juga penting.
Sebaik-baiknya, simpan (save)
manuskrip cerpen anda menggunakan judul cerpen itu sebagai nama fail. Jangan
letakkan nama anda sebagai nama fail kerana tindakan itu secara tidak langsung
bertentangan dengan syarat pertandingan di mana maklumat penulis tidak boleh
dinyatakan pada manuskrip.
10. Bahasa Jiwa
Penulis
Saya
memilih untuk tidak menghuraikan di sini perihal menghasilkan cerpen bermutu
dari sudut watak, perwatakan, tema, persoalan, latar masa, latar budaya, latar
tempat, plot, teknik bercerita dan sebagainya. Perkara-perkara asas itu
sepatutnya sudah diketahui sesiapa yang mahu menjadi penulis.
Sebaliknya,
saya mahu memberikan contoh pembikinan filem. Andaikan bahawa anda mahu
menerbitkan sebuah filem. Anda ada sebuah cerita yang anda percaya pasti akan
berjaya — pecah panggung — jika difilemkan.
Maka,
anda mengupah seorang penulis skrip terhebat. Anda memilih pengarah filem
terbaik dan barisan pelakon yang menjadi kegilaan ramai. Anda mengupah
jurukamera yang menang pelbagai anugerah kerana kehebatannya menghasilkan
visual kamera.
Anda
juga tidak ketinggalan mendapatkan kerjasama pemuzik terhebat dan penggubah
lagu terbaik serta penyanyi yang merdu suaranya. Tidak lupa juga jurutera untuk
menangani kesan khas dalam filem yang bakal diterbitkan. Lokasi-lokasi yang
sesuai dipilih untuk membuat penggambaran. Tidak ketinggalan juga juru solek
dan rekaan busana yang sesuai bagi para pelakon.
Sekarang,
lupakan bahawa anda mahu menerbitkan sebuah filem. Kembali pada hakikat bahawa
anda mahu menghasilkan sebuah cerpen yang mampu menang hadiah dalam pertandingan;
atau sebuah cerpen yang mampu menambat hati editor akhbar/majalah.
Ke
mana perginya penulis skrip, pengarah, pelakon, jurukamera, pemuzik, penggubah
lagu, penyanyi, jurutera kesan khas, juru solek, busana dan lokasi yang dipilih
tadi?
Kesemuanya
berada dalam diri anda! Andalah penulis skrip, pengarah, pelakon, jurukamera,
pemuzik, penggubah lagu, penyanyi, jurutera kesan khas, juru solek, pereka
busana malah lokasi bagi cerita yang mahu ditulis itu. Itulah anugerah yang
anda miliki sebagai seorang penulis cereka.
Kesemua
tugas itu mampu anda lakukan menggunakan satu alat sahaja; iaitu bahasa sebagai
wahana tunggal. Maka, sebagai seorang penulis — atau bakal penulis — “alat”
paling penting yang perlu ada pada anda bukan pena atau komputer; sebaliknya
penguasaan bahasa.
Sekiranya
anda belum mampu menguasai bahasa, maka lupakan sahaja impian, hasrat dan mimpi
untuk menang apa-apa hadiah dalam mana-mana pertandingan menulis cerpen. Lupakan
niat melihat cerpen anda tersiar di akhbar atau majalah. Saya tidak bermaksud
untuk mematahkan semangat anda; sebaliknya mahu menjelaskan betapa “penguasaan
bahasa” amat penting bagi sesiapa yang mahu menjadi penulis.
Walau
sehebat manapun idea cerita yang berada dalam fikiran anda, sekiranya anda
tidak menguasai bahasa, maka idea itu tidak akan mampu dilahirkan dalam bentuk
manuskrip cerpen yang berjaya. Hal ini sama bagi karya mana-mana bahasa.
Bahasa
adalah jiwa penulis. Jika anda sedar bahawa anda belum sepenuhnya memiliki
penguasaan bahasa yang secukupnya untuk melayakkan anda menjadi seorang
penulis, maka lakukanlah apa yang patut dengan kadar segera. Belum terlewat
untuk anda memantapkan penguasaan bahasa dan seterusnya mengasah bakat
penulisan.
Penutup
Demikian
antara panduan asas berdasarkan pengalaman saya terlibat secara langsung dalam
dunia penulisan sejak 1991 serta pengalaman mengendalikan siri bengkel
penulisan cerpen di seluruh negara sejak 1994.
Semoga
sedikit panduan dan perkongsian pengalaman ini mampu membantu anda menghasilkan
cerpen-cerpen yang lebih bermutu dan seterusnya menang hadiah dalam
pertandingan, peraduan dan sayembara menulis cerpen anjuran pelbagai pihak. Semoga
manuskrip cerpen yang anda hasilkan juga mampu menarik perhatian editor akhbar
dan majalah berwibawa. — Tamat
[Panduan
ini ditulis oleh Uthaya Sankar SB dan pertama kali
tersiar di The Malaysian Insider pada
30 Disember 2012.]