Selain
daripada membaca panduan pertandingan dengan teliti, membaca laporan panel
hakim serta mencari kelainan dalam cerita [Baca Bahagian Satu], ada beberapa lagi
cara mudah yang boleh digunakan jika mahu menghasilkan cerpen bermutu yang
mampu menang dalam sayembara penulisan.
4. Baca, Baca,
Baca dan Baca
Bertanyalah
kepada mana-mana penulis yang berjaya dan mereka pasti mengakui betapa penting amalan
membaca. Konsep membaca di sini tidak sama dengan gaya membaca orang biasa atau
masyarakat umum. Cara golongan penulis membaca adalah lebih teliti dan
menyeluruh. Pembacaan kritikal dalam usaha menimba ilmu daripada buku yang
dibaca.
Jika
niat serta impian anda adalah untuk menghasilkan cerpen bermutu yang mampu
menang dalam pertandingan menulis cerpen, maka bacalah cerpen-cerpen bermutu
yang dihasilkan pengarang-pengarang yang diiktiraf pada peringkat kebangsaan,
nusantara, dan antarabangsa.
[Lihat juga — Kumpulan 15 Cerpen Terbaik Uthaya]
Pembacaan
tidak harus dihadkan pada karya-karya (cerpen) Bahasa Malaysia karya pengarang
tempatan. Bacalah karya mana-mana pengarang ternama dalam mana-mana bahasa.
Atau bacalah karya yang sudah diterjemah ke bahasa-bahasa yang anda kuasai.
Melalui
cara mudah ini, anda akan berpeluang “berguru” pada begitu ramai penulis yang
berjaya. Saya tidak perlu menyenaraikan nama-nama pengarang Malaysia dan luar
negara yang wajar dijadikan “guru” kerana anda sendiri perlu membaca dan
mengetahui siapakah mereka.
5. Fahami Unsur-unsur
Cerpen
Menerusi
Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas), anda tentu sahaja sudah
belajar dan mengenali unsur-unsur yang menjadi kerangka bagi sebuah cerpen.
Aspek tema dan persoalan, watak dan perwatakan, plot atau jalan cerita, latar
masa, latar tempat, latar budaya, teknik dan gaya bahasa sudah anda kaji sejak
zaman persekolahan.
Kini,
dalam usaha menghasilkan cerpen bermutu yang bakal menang hadiah dalam
pertandingan, amat wajar jika anda mengguna pakai segala ilmu yang ditimba di
kelas. Walau sebosan mana pun proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) di
kelas, sedikit ilmu yang ditimba menerusi Komsas boleh dijadikan asas ke arah
menghasilkan cerpen yang bermutu.
Pada
masa sama, apabila anda membaca cerpen di akhbar, majalah atau buku, lakukan
kajian terhadap segala unsur cerpen yang diterapkan pengarang ke dalam karya
itu. Fahami apa yang membuatkan cerpen itu “berdenyut” dan “hidup”.
6. Tinggalkan
Karangan Tahap UPSR, PMR dan SPM
Sama
ada disedari atau tidak, soalan karangan mata pelajaran Bahasa Malaysia
peringkat UPSR, PMR dan SPM secara terang-terangan membuka ruang kepada calon
untuk menulis cerita pendek (cerpen). Sekiranya soalan-soalan diteliti, kata
kunci seperti “ceritakan”, “pengalaman”, “gambarkan”, “sambung cerita”,
“autobiografi” dan “cereka” membuktikan perkara ini.
Walau
bagaimanapun, penulis cerpen atau cereka bagi tujuan karangan di peringkat
sekolah masih terikat pada format, skema jawapan, dan tuntutan markah
peperiksaan. Akhirnya, karangan cereka yang dihasilkan itu mungkin menjadi
terlalu hambar dan terlalu skema sehingga hilang segala unsur-unsur sastera dan
unsur-unsur cerpen.
Maka,
jika anda mahu menghasilkan cerpen yang bermutu, anda perlu “meninggalkan”
tahap pemikiran yang menjadi pegangan sewaktu anda menghasilkan karangan
peringkat sekolah. Sebaliknya, berusahalah menjadi penulis cerita yang sebenar.
7. Penulis yang
Beretika
Untuk
menjadi seorang penulis yang berjaya, tentu sahaja anda perlu memiliki etika.
Sebagaimana seorang doktor, guru, polis, peguam, pemandu teksi dan sesiapa
sahaja mempunyai syarat dan etika yang perlu dipatuhi, begitulah juga anda
sebagai seorang penulis — sama ada penulis sepenuh masa atau penulis amatur.
Secara
umum, seorang penulis yang beretika pasti tidak akan menciplak atau meniru
karya orang lain dan mengakui karya itu sebagai karyanya. Sebaliknya, seorang
penulis yang beretika akan sentiasa menghasilkan karya asli yang tidak
mempunyai apa-apa unsur yang menjadikan karya itu tidak asli.
Secara
mudah, seorang penulis yang mempunyai pegangan agama — mana-mana agama — akan secara automatik mampu menjadi penulis yang
beretika. Namun, penulis yang fanatik pada satu-satu agama dan menganggap
ajaran agama-agama lain sebagai “karut” pasti tidak akan mampu menghasilkan
karya bermutu. Tepuklah dada, tanyalah selera.
8. Baca, Semak,
Baca, Semak
Sebelum
anda memutuskan untuk mengirim manuskrip kepada penganjur pertandingan menulis
cerpen, pastikan bahawa manusrip itu sudah “bersih” sebersih-bersihnya.
Bayangkan
bahawa anda memulakan proses penulisan dengan draf bertulis tangan. Kemudian
disemak dan dibaiki sebelum ditaip menggunakan komputer. Pada peringkat ini,
anda wajib melakukan kerja-kerja membaca pruf. Tugas ini boleh dilakukan
sendiri atau diserahkan kepada rakan-rakan, guru atau ahli keluarga.
Kerja-kerja
membaca pruf ini wajib dilakukan berulang kali secara penuh teliti. Anda — atau
rakan, guru, ahli keluarga — perlu membaca keseluruhan manuskrip itu dengan
teliti; meneliti setiap perkataan, setiap ayat dan setiap tanda baca.
Semasa
dalam proses menerbitkan novel Panchayat: Edisi Khas (2012), saya mendapatkan khidmat lima
kenalan sebagai penyunting manuskrip. Bagi kumpulan cerpen Kisah dari Siru Kambam (2013), saya
mendapatkan khidmat 20 penyunting demi memastikan tiada kesilapan isi dan
bahasa berlaku.
Semasa
melakukan kerja-kerja membaca pruf dan semakan ini, jangan jadi “bodoh sombong”.
Sebaliknya akur pada hakikat bahawa anda sebagai manusia biasa tidak terlepas
daripada kekhilafan dan kesilapan. Bersedia untuk mengakui kekhilafan dan
membetulkan kesilapan itu. Bersedia untuk menerima teguran membina.
Sepanjang
proses menyemak dan membaca pruf, jadikan Kamus
Dewan sebagai teman setia. Ketahuilah bahawa penulis-penulis yang berjaya —
dalam dan luar negara — melakukan kerja-kerja penyuntingan semula dan pembacaan
pruf berulang kali sebelum mengirim manuskrip kepada editor. — Bersambung … [Bahagian 3]
[Panduan
ini ditulis oleh Uthaya Sankar SB dan pertama kali tersiar
di The Malaysian Insider pada 23
Disember 2012.]