Saya berpeluang membaca
buku Vetalam dan Vikramaditya (2020)
dalam situasi di mana saya memang kurang atau jarang didedahkan dengan karya-karya
klasik India sejak kecil. Saya tidak pernah mengambil sebarang inisiatif untuk
mengetahui dan mendalami segala kisah klasik mahupun karya epik Hindu-India.
Namun, saya mula menanam rasa ingin tahu melalui pembacaan karya-karya klasik
India oleh Uthaya Sankar SB.
Vetalam dan Vikramaditya bukanlah sebuah karya yang berat mahupun
mengandungi plot yang mengelirukan, tetapi perlu diakui bahawa sememangnya ia menguji
minda dan emosi saya sepanjang proses pembacaan karya ini.
Saya hanya mengambil masa
selama kurang daripada sejam untuk menghayati cerita berbingkai ini kerana ia
begitu mudah difahami dan padat. Tambahan pula, saya berasa teruja untuk mengetahui
asal usul, sejarah, sumber dan inspirasi watak Vetalam dan Vikramaditya tanpa
perlu dibuat apa-apa kajian lanjut.
Keinginan saya membaca buku
setebal 104 halaman ini antaranya adalah selepas saya menonton filem Tamil, Vikram Vedha (2017) yang dikatakan turut
diinspirasikan daripada watak Vetalam dan Vikramaditya. Saya bukan sahaja
menikmati cerita ini tetapi saya agak tertarik dengan ilmu yang disampaikan dalam
buku ini.
Saya sering meminati genre
yang berbeza-beza. Saya lebih sukakan karya yang bersifat intelektual, bersifat
humor, seram, romantik dan sebagainya. Tetapi sekiranya saya diberi pilihan
untuk memilih buku yang menguji tahap pemikiran, pastinya buku Vetalam dan Vikramaditya menjadi salah
satu pilihan saya.
[Lihat — Senarai Buku Uthaya]
Setiap kali saya membaca
kisah ini, dari satu bahagian ke bahagian yang lain, fikiran saya diuji untuk
menyimpulkan perkara yang bakal berlaku. Malangnya, kadang kala saya tersalah
sangka! Tidak dapat dinafikan, saya agak berasa berdebar-debar sehinggalah saya
menghabiskan pembacaan buku ini.
Pada masa sama, saya tidak melihat
buku Vetalam dan Vikramaditya sebagai
sebuah karya yang hanya perlu dibaca oleh kaum India atau penganut agama Hindu.
Sebaliknya, ia sebuah karya yang perlu dikongsi dan disajikan kepada semua
kerana kisah dan teladan yang terkandung dapat dipraktikkan dan dimanfaatkan
oleh semua lapisan masyarakat.
Tidak setakat itu, cerita
berbingkai ini memberi ruang dan peluang kepada pembaca untuk menikmati sebuah kisah
klasik yang jarang diperkatakan atau dibincang oleh masyarakat.
Ringkasnya, buku Vetalam dan Vikramaditya langsung tidak
mengecewakan saya. Malah, ilmu baharu yang saya peroleh bukanlah sedikit. Cuma
hanya satu perkara yang saya terlalu mendambakan, iaitu agar kisah Vikramaditya
dan Vetalam ditulis dengan panjang lagi agar terselit lebih banyak kisah-kisah pengembaraan
yang mendebarkan.
[Ulasan
ini ditulis oleh Jaymani Sevanathan bagi Pertandingan Menulis Ulasan Buku yang dikendalikan
oleh Uthaya Sankar SB semasa Perintah
Kawalan Pergerakan dilaksanakan di seluruh negara.
Pengulas menerima senaskhah novel Hanuman: Suara Hati sebagai tanda penghargaan.
Baca juga — Ulasan Murali Mohan]