Kedua-dua
karya klasik India dalam buku Thirukkural
dan Megha Duta (2018) sangat unik. Saya pernah mendengar
dan membaca tentang Thirukkural
tetapi tidak pernah mendengar, apatah lagi membaca, tentang Megha Duta.
Setahu
saya, Thirukkural adalah kitab untuk
kehidupan kerana ia menerangkan tentang aspek-aspek penting yang perlu untuk
kehidupan seseorang. Maka, wajarlah Thirukkural
dijadikan rujukan setiap insan untuk mengharungi cabaran dunia dari segi moral,
nilai dan etika.
Dalam buku
ini, beberapa kural dipilih dan
dihuraikan dengan ringkas. Huraian ini yang menarik minat saya terhadap buku
ini kerana sebelum ini, apabila membaca Thirukkural,
saya akan baca dalam Bahasa Tamil dan mencari terjemahan dalam Bahasa Inggeris
untuk memahami maksudnya. Kadang kala, saya akan menginterpretasi kural mengikut pengetahuan serta
pengalaman saya sendiri.
Dalam buku
ini, penulis memberikan penjelasan yang mudah difahami untuk kural yang dipilih. Sebanyak 10 bab Thirukkural dipilih dan penerangan
diberikan dengan menggunakan bahasa yang mudah difahami oleh para pembaca. Saya
rasa penjelasan ini sangat penting apabila membaca Thirukkural yang mempunyai tujuh patah perkataan sahaja. Penerangan
ini memberikan pemahaman yang mudah bagi 100 kural yang dipilih oleh penulis.
Bagi saya,
huraian dan penjelasan sangat penting untuk memahami Thirukkural kerana hal ini yang akan membantu dalam kehidupan
seharian; bukannya penghafazan kural semata-mata
tanpa pemahaman. Banyak yang dapat
ditafsirkan daripada tujuh patah perkataan dalam setiap kural selain daripada menghafaz dan melafazkannya kembali. Saya
berharap, penulis dapat menghasilkan buku yang mengandungi huraian bagi kural-kural yang beliau belum masukkan
dalam buku ini.
[Lihat — Senarai Buku Uthaya]
Sementara
itu, Megha Duta merupakan suatu karya
yang baharu bagi saya. Setelah membaca buku ini, baru saya tahu ia merupakan
puisi romantik yang ditulis oleh Kalidas. Saya juga tidak pernah terserempak
atau berpeluang untuk mendengar judul Megha
Duta sebelum ini.
Maka, Megha Duta memang sesuatu yang baharu
bagi saya. Saya merasakan kisah Uttaramegha
yang mengandungi 55 sloka lebih
menarik berbanding Poorvamegha yang
mengandungi 66 sloka. Ini mungkin
disebabkan Uttramegha lebih kepada
imaginasi dan khayalan semata-mata.
Walaupun Megha Duta merupakan suatu karya yang
baharu bagi saya, saya tetap tertarik dengan cara penyampaian oleh penulis
kerana bahasa yang digunakan mudah difahami. Namun begitu, apabila saya membaca
kisah ini, saya terpaksa membacanya beberapa kali untuk memahami kisah yang
ingin disampaikan. Saya membaca muka surat yang baharu dan akan kembali ke
beberapa muka surat sebelumnya untuk memahami jalan cerita.
Secara
keseluruhan, saya merasakan buku Thirukkural
dan Megha Duta merupakan buku yang harus dimiliki oleh peminat karya klasik
India dan sesiapa yang minat membaca bahan bacaan bermutu.
[Ulasan
ini ditulis oleh Anuradha Chelliah bagi Pertandingan Menulis Ulasan Buku yang dikendalikan
oleh Uthaya Sankar SB semasa Perintah
Kawalan Pergerakan dilaksanakan di seluruh negara.
Pengulas menerima senaskhah novel Hanuman: Suara Hati sebagai tanda
penghargaan. Baca juga — Ulasan Jaymani Sevanathan]