24 Dec 2014

Pahala Sayangi Anjing

“Ini kawan saya. Ia anjing jalanan. Saya menamakannya Cik Dawg. Saya memberikannya makan setiap hari dan sebagai balasan, ia tidur di depan pintu pagar rumah seperti pengawal keselamatan. Ia juga menemani saya membuka pintu pagar setiap kali saya pulang pada lewat malam.

“Cik Dawg akan berdiri dekat saya, tetapi seolah-olah berhati-hati supaya tidak menyentuh saya. Ada kala saya merasakan bahawa binatang mampu menjadi sahabat yang lebih baik berbanding manusia jika kita boleh menunjukkan sedikit kasih-sayang.”


Demikian terjemahan catatan seorang jurufoto profesional, Raja Faisal Hisnan, pada sekeping foto yang dipaparkannya di Facebook.

Foto itu segera dikongsi ramai, termasuk saya pada 12 Oktober 2014, iaitu tepat seminggu sebelum berlangsungnya acara I Want to Touch a Dog anjuran Syed Azmi Alhabshi dan rakan-rakan di Petaling Jaya.

Sesungguhnya saya kagum dengan sifat kemanusiaan yang ditunjukkan oleh Raja Faisal yang menggunakan nama pena “Seniman Menangis” pada blog kendaliannya.

Kehadiran orang seperti Raja Faisal dan Syed Azmi membuktikan bahawa tidak semua orang Melayu-Islam di Malaysia jahil tentang hukum sebenar yang ditetapkan oleh Allah menerusi firman-Nya seperti terkandung dalam Quran.

“Walaupun binatang tersebut (anjing) dikatakan haram di sisi Islam, sifat perikemanusiaan mendahului dalam jiwa Raja Faisal,” kata Leela Devi dalam komennya.

Leela juga bersetuju dengan kenyataan bahawa binatang mampu menjadi sahabat yang lebih baik berbanding manusia jika kita boleh menunjukkan sedikit kasih-sayang.

“Memang pun bukan semua orang yang berkawan dengan kita menunjukkan kesetiaan,” kata guru itu yang tinggal di Johor Bahru.


Mengulas perkara sama, John Mahendran dari Bentong, Pahang menyentuh bagaimana anjing memerlukan manusia untuk menyara hidup sepanjang hayatnya manakala manusia memerlukan anjing untuk keselamatan dan tempat bermanja.

“Dalam banyak-banyak haiwan, kenapa anjing sahaja memiliki kesetiaan yang menakjubkan terhadap manusia?” Penulis berkenaan meluahkan kekaguman menerusi pertanyaan itu.

Kisah pelacur yang diampunkan dosanya

Walaupun tindakan Raja Faisal mungkin dipandang serong oleh pihak tertentu, rata-rata orang yang mengemukakan komen pada dinding Facebook saya bernada rasional dan positif.

Sambil mengucapkan tahniah, Ghanthimathi Subramaniam memuji sikap Raja Faisal yang membuktikan dirinya manusia dahulu (“human first”) sebelum melihat aspek kaum dan agama.


Zemee Mee pula segera teringat akan kisah seorang pelacur dan seekor anjing seperti yang terdapat dalam Hadis.

“Semoga kesejahteraan bersama jiwa-jiwa yang tenang,” katanya dengan nada positif.

Seingat saya, kisah yang dimaksudkan Zemee adalah mengenai seekor anjing yang kehausan. Seorang pelacur daripada bani Israel kasihan melihat anjing itu.

Maka wanita berkenaan mencedok air dari sumur dan memberi anjing itu minum. Allah mengampuni segala dosa wanita tersebut berikutan tindakannya itu.

Dalam satu lagi kisah yang diriwayatkan Abu Hurairah, seorang lelaki memberikan air kepada seekor anjing yang kehausan. Lalu, Allah mengampuni semua dosanya.

Apabila mendengar kisah itu daripada Nabi Muhammad, para sahabat bertanya: “Dapat pahalakah kami menyayangi haiwan ini (anjing)?”

Rasulullah menjawab: “Menyayangi setiap makhluk hidup (tumbuhan dan haiwan) ada pahalanya.”

Saya tidak tahu sama ada murid-murid dan pelajar sekolah masih didedahkan dengan kisah-kisah seperti ini; atau sebaliknya hanya diajar membenci anjing sebagai najis dan haram.

Rosihan Amri juga berani “melawan pemikiran arus perdana” dalam isu ini dengan menegaskan bahawa apa yang dilakukan oleh Raja Faisal tidak salah.

Dakyah licik puak pembenci anjing

“Anjing juga makhluk ciptaan Allah,” kata Rosihan dengan penuh nilai kemanusiaan dan pemahaman sebenar ajaran Islam.

Selepas acara I Want to Touch a Dog berlangsung pada 19 Oktober 2014, saya bertanya adakah program itu boleh dikatakan berjaya memecahkan mitos dalam budaya Melayu-Islam selama ini yang seolah-olah “mengharamkan terus” orang Islam menyentuh anjing.

“Saya berpendapat program berkenaan masih tidak berjaya. Kebanyakan orang Melayu beragama Islam masih tidak dapat menerima perkara ini,” kata Rosihan dan kebimbangan yang diluahkannya terbukti benar.


Daripada apa yang dapat diperhatikan, acara I Want to Touch a Dog berjaya membuka mata dan minda majoriti orang Melayu-Islam di Malaysia.

Namun, timbul pula dakyah pihak tertentu yang cuba kembali mengelirukan orang ramai supaya terus membenci makhluk ciptaan Allah.

Kononnya perbuatan orang Islam memegang anjing boleh menggugat akidah. Kononnya acara anjuran Syed Azmi dan rakan-rakannya bermotif jahat.

Segala tekanan, cemuhan, ugutan dan ancaman bunuh akhirnya seolah-olah memaksa pemuda itu memohon maaf.

“Saya tidak nampak kaitan memegang anjing dengan soal akidah,” kata Farahanani Amir Hamzah yang ternyata terkejut dengan dakyah yang dilakukan pihak tertentu untuk mengelirukan orang ramai.

Mohamed Riyas menyedari bahawa ada pihak mengutuk perbuatan peserta acara I Want to Touch a Dog memegang anjing kerana dianggap hukumnya haram, manakala sebahagian lagi mempertahankan perbuatan itu kerana anjing juga makhluk ciptaan Allah.

“Memang benar tidak haram memegang anjing kerana ia hanya dikategorikan sebagai najis mughallazah (najis berat) dan perlu disamak jika memegangnya dalam keadaan basah.

“Menyentuh dan memegang anjing tidaklah berdosa atau menyalahi hukum Islam. Nas Quran dan hadis menetapkan bahawa kalau kita pegang anjing maka perlu disamak. Saya tidak nampak dari mana muncul soal akidah,” kata pelajar kolej itu.

Pandangan Mazhab Syafi’i, Maliki, Hanafi dan Hanbali

Farahanani berpandangan bahawa “mitos” haram menyentuh anjing mungkin masih menebal dalam kalangan sesetengah orang Melayu yang mempunyai masalah memahami keperluan serta sesetengah keadaan yang membolehkan umat Islam memegang anjing.


“Program itu sebenarnya membuka ruang perbincangan dalam membicarakan soal hukum sebenar memegang anjing. Saya melihat hukum memegang anjing sebagai perkara mudah yang malangnya diambil mudah selama ini,” katanya.

Zhi G Teoh yang kini berada di Madrid, Sepanyol berkongsi pengalaman di mana puluhan rakannya di universiti dahulu dan tempat kerja sekarang adalah orang Islam tempatan (Sepanyol) dan Timur Tengah.

“Pada mulanya saya hairan melihat kebanyakan mereka membela anjing sebab di Malaysia, perbuatan itu dianggap haram. Kebanyakan mereka berkata, air liur dan jilatan anjing adalah kotor (najis) dan perlu dibasuh (disamak) mengikut peraturan agama.

“Mereka juga tahu hukum-hakam dan peraturan berkaitan membasuh (bersamak) dan memastikan tempat sembahyang bersih,” kata pemuda itu yang mendapat gambaran lebih menyeluruh mengenai tuntutan sebenar dalam Islam daripada orang Islam luar negara.


Akan tetapi, dalam konteks Malaysia, seolah-olah pandangan masyarakat awam (yang lebih memahami Islam) tidak mampu mengatasi pandangan sempit golongan politikus dan kuasawan (yang pasti ada agenda politik tertentu).

Hakikat yang tidak dapat dinafikan adalah bahawa terdapat perbezaan pandangan dan hukum berkaitan kenajisan anjing dalam mazhab Syafi’i, Maliki, Hanafi dan Hanbali.

Anjing adalah suci (tidak najis) menurut mazhab Maliki kerana tiada nas yang jelas mengatakan anjing adalah najis. Hanya mulut dan air liurnya yang najis mengikut mazhab Hanafi. Mazhab Syafi’i pula menggunakan alasan jilatan untuk menetapkan hukum anjing adalah najis. [BACA LAGI]

Nampak gayanya di Malaysia, kita seolah-olah mengamalkan “mazhab pilih-pilih” kerana ada beberapa perkara dalam mazhab-mazhab lain diterima pakai tetapi ada kalanya kita berpura-pura kononnya hanya mazhab Syafi’i boleh diterima.


Secara mudah, mazhab-mazhab yang berbeza merupakan pandangan beberapa imam terhadap ajaran Islam, Quran dan Hadis.

Masing-masing adalah cabang ajaran Islam yang menjadi ikutan umat Islam seluruh dunia; bukannya ajaran/agama baru yang terkeluar daripada Islam.

Kontroversi membuka mata dan minda masyarakat

Secara logik akal, perbuatan menolak pandangan satu-satu mazhab seolah-olah menolak sebahagian ajaran agama itu sendiri sedangkan kesemuanya termasuk kategori Sunni.

Tambahan pula, dalam realiti mazhab Syafi’i di Malaysia, kita masih “memilih” pegangan beberapa mazhab lain “mengikut kesesuaian dan keselesaan”. Contohnya hukum zakat atau kelonggaran semasa menunaikan ibadat haji.

Akan tetapi, dalam soal hukum memelihara atau menyentuh anjing, kuasawan dan politikus segera mengeluarkan “fatwa” (pandangan) bahawa hanya mazhab Syafi’i boleh diguna pakai.


“Kita raikan pelbagai pandangan mazhab. Tetapi konsensus di Malaysia, dalam mana-mana pandangan, kita bermazhabkan Syafi’i,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang kononnya tidak menolak pandangan mazhab lain dalam isu memegang anjing.

Berdasarkan pembacaan dan maklumat sah yang saya terima daripada pakar agama Islam (bukan “Islam Versi Melayu”), memang ada cara penyelesaian mudah jika timbul perbezaan pendapat dalam sesuatu isu berdasarkan mazhab.

Dalam keadaan seperti itu, umat Islam mempunyai hak merujuk kepada salah satu mazhab (Syafi’i, Maliki, Hanafi atau Hanbali) kerana keempat-empatnya termasuk kategori Sunni iaitu Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Suatu lagi perkara yang saya pelajari dalam Sejarah Islam pada zaman sekolah adalah bahawa tidak wujud “mazhab” pada zaman Rasulullah dan para sahabat baginda.

Isu perbezaan pandangan (mazhab) antara golongan imam hanya wujud sekitar 200 tahun selepas Nabi Muhammad wafat; sehingga akhirnya kini seolah-olah (ulang: seolah-olah) wujud pula “Islam mazhab Melayu” atau “Islam versi Melayu”.


Kontroversi yang ditimbulkan anjing-anjing baru-baru ini sebenarnya membuka mata dan minda orang ramai serta membuka ruang bagi perbincangan lebih rasional mengenai isu hukum dalam Islam, fatwa dan mazhab.

Orang ramai yang selama ini seolah-olah berada dalam zon selesa dan “tutup mata” mula memaksa diri untuk memahami tuntutan dan ajaran sebenar dalam Islam. Mereka mahu mengenal Islam yang sebenar.

Minda serta pemikiran progresif seperti ini jelas kelihatan menerusi pandangan, komen dan hujah bernas yang dikemukakan rakan-rakan pelbagai kaum dan agama menerusi Facebook seperti yang saya kongsikan dalam makalah ini. 



[Makalah ini ditulis pada 4 November 2014 dan disiarkan di The Malay Mail Online pada 10 November 2014. © Uthaya Sankar SB 2014. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]