Dalam
kehangatan isu penggunaan kalimah “Allah” serta lawak berhubung “kangkung”, isu
berkaitan penderitaan penduduk di Kampung
Chetti, Melaka dan Taman Permata, Dengkil,
Selangor usah dilupakan.
Sejak pertengahan Disember 2013, Kumpulan Sasterawan
Kavyan (Kavyan)
berusaha menampilkan isu “kemusnahan” yang sedang didepani kaum Chetti di
perkampungan warisan berkenaan.
Semasa berpeluang bertemu bekas presiden Malaysia Hindu Sangam (MHS), Datuk A. Vaithilingam di rumah beliau di Petaling Jaya pada 19 Januari 2014, kami turut berbual tentang dua topik ini yang berhubung-kait dengan golongan minoriti yang tertindas.
Datuk
Vaithilingam melihat masalah yang sama dalam kedua-dua isu berkenaan. Secara
paling umum, “penduduk asal” menjadi mangsa kepada kapitalis, kuasawan, dan
politikus atas nama pembangunan.
“Kaum Chetti tidak mengklasifikasikan diri mereka sebagai
orang India. Bahasa ibunda
mereka juga bukan bahasa Tamil, Malayalam, atau Telugu. Mereka adalah kumpulan
minoriti yang sangat unik. Janganlah kerana kerakusan atas nama pembangunan,
keunikan yang sepatutnya menjadi kebanggaan Malaysia musnah di depan mata,”
kata Datuk Vaithilingam.
Menyentuh mengenai jaminan yang diberikan oleh Ketua
Menteri Melaka pada awal tahun bahawa projek di atas tanah “Lot 93” itu akan
dikaji semula, Datuk Vaithilingam berharap ia bukan sekadar janji politik.
“Kita sudah melihat sendiri apa yang berlaku kepada candi
Lembah Bujang pada hujung tahun
lalu. Rupa-rupanya projek pembangunan itu sudah diluluskan sekitar sepuluh
tahun lalu. Amat tidak diterima akal jika sesiapa mengatakan bahawa mereka
tidak sedar ia adalah tapak sejarah dan warisan negara yang perlu dipelihara,”
katanya.
Masyarakat semakin berani bersuara
Datuk Vaithilingam yang memegang jawatan presiden MHS dari Oktober 1996 hingga Ogos 2009 turut melahirkan rasa kesal kerana tapak-tapak warisan di negara ini selalu dilihat dari sudut kaum dan agama, sedangkan ia sebenarnya adalah warisan milik seluruh Bangsa Malaysia.
“Saya pergi ke pelbagai tempat di Indonesia dan menyaksikan sendiri bagaimana penduduk pelbagai etnik dan agama sama-sama memelihara, mencintai, dan kagum dengan warisan budaya India-Hindu di sana.
“Penduduk beragama Islam tetap tampil mempertahankan tinggalan sejarah yang tepu dengan ciri India-Hindu. Malangnya semangat seperti itu tidak kelihatan di Malaysia. Ini bukan suatu tuduhan tetapi apa yang dapat kita lihat sendiri di depan mata,” katanya.
Datuk Vaithilingam mengakui bahawa kelompok minoriti di negara ini terpaksa memperkuatkan diri untuk berani tampil berjuang bagi mempertahankan hak daripada dimusnahkan atau dirampas mana-mana pihak atas nama pembangunan dan kejahilan.
“Pada pemerhatian saya, masyarakat semakin ada kesedaran dan keberanian untuk bersuara. Dahulu mereka kurang ambil kisah dan menyerahkan bulat-bulat kepada kerajaan, politikus dan pertubuhan lain.
“Malah, apabila pameran berkaitan Lembah Bujang di Kedah pada tahun 1970-an dan 1980-an memberikan maklumat yang salah dan tidak benar, MHS, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan orang ramai meluahkan bantahan,” Datuk Vaithilingam mendedahkan.
Beliau yakin “kesilapan” itu adalah disengajakan dan berniat jahat. Kalau tidak, masakan masa bertahun-tahun lamanya diambil untuk membetulkan kesalahan fakta yang amat nyata pada penerangan bahan-bahan pameran. Demikian tegasnya.
Datuk Vaithilingam tidak menafikan bahawa kebangkitan Hindraf pada 2007 memang membawa sinar harapan dan keberanian kepada kaum India yang sudah sekian lama dipinggirkan dan dinafikan pelbagai hak.
Tanpa menyentuh mengenai “perkembangan” dan “perpecahan” dalam Hindraf pada masa kini, warga emas itu mengingatkan betapa penting untuk minoriti bersatu dan berani bersuara demi memperjuangkan apa-apa yang menjadi hak dan milik yang sah.
Berbalik kepada isu Kampung Chetti dan Taman Permata, Datuk Vaithilingam menyatakan pandangan bahawa isu paling besar dalam kalangan kaum India di negara ini sejak dahulu adalah berkait erat dengan sekolah Tamil, kuil, dan ladang.
Ladang musnah, penduduk merempat
“Ladang-ladang yang menjadi tempat tinggal dan bekerja sejak turun-temurun bagi kaum India mula diambil alih mulai tahun 1970-an dan dihapuskan atas nama pembangunan. Hal ini saya perhatikan sendiri bermula di Selangor dan Kuala Lumpur sebelum merebak ke negeri-neger lain.
“Atas nama pembangunan, ladang-ladang dihapuskan. Nasib dan masa depan pekerja kaum India yang tinggal di ladang-ladang berkenaan ternyata tidak diberikan perhatian. Mereka seolah-olah makhluk yang tidak perlu diambil kisah,” katanya sambil mengimbas kisah lama.
Datuk Vaithilingam menegaskan bahawa sebenarnya apabila ladang diambil alih atau dijual bagi tujuan pembangunan, pampasan atau bayaran diberikan oleh pemaju kepada kerajaan negeri.
“Bukan setakat itu, sebahagian tanah yang diambil alih bagi tujuan pembangunan itu diberikan semula kepada kerajaan sebagai pampasan oleh pemaju.
“Mengapa tidak rumah-rumah dibina di atas tanah berkenaan dan keluarga pekerja ladang tadi diberikan peluang tinggal di sana? Para pekerja sebaliknya menjadi setinggan di bandar-bandar yang terlalu asing bagi mereka,” bekas timbalan presiden Kongres Hindu Sedunia itu menceritakan.
Datuk Vaithilingam mendedahkan bahawa apa yang sebenarnya berlaku adalah Exco kerajaan negeri selalunya mengaut keuntungan daripada tanah pampasan yang diberikan oleh pemaju.
“Rumah-rumah yang dibina khas oleh pemaju selalunya diberikan kepada kaum keluarga Exco. Ini bukanlah tuduhan melulu tetapi apa yang benar-benar berlaku di kebanyakan tempat secara terang-terangan. Inilah yang sebenarnya berlaku dan saya tidak takut untuk menyatakannya,” katanya dengan berani.
Secara umum, Datuk Vaithilingam tidak menafikan bahawa Kampung Chetti dan “penduduk asal” Putrajaya yang kini terpaksa tinggal di dalam khemah sejak Jun 2013 tidak akan dibela pihak berkuasa dan politikus. Semuanya berikutan pengaruh kapitalis, wang, dan kuasa.
Namun begitu, beliau tetap yakin bahawa kuasa sebenar berada di tangan minoriti yang ditindas dan dizalimi. Selagi mereka terus berani berjuang demi hak, mereka tetap ada peluang.
Soalnya: Apakah kaum Chetti dan penduduk Taman Permata bersedia untuk meneruskan perjuangan yang entah bila akan membuahkan hasil? Apakah warga prihatin akan bersama-sama mereka atau sekadar menonton kemusnahan dari jauh?
[Rencana ini
disiarkan di Malay Mail Online pada 20 Januari 2014. © Uthaya Sankar SB]