Biar saya mulakan dengan menjelaskan
sedikit kekeliruan yang mungkin masih wujud berkaitan Hindraf. Pertubuhan bukan kerajaan
(NGO) pimpinan P Waythamoorthy yang diluluskan pendaftarannya pada 8 Mac 2013
adalah Persatuan Hindraf Malaysia (Hindraf).
Sementara itu, Hindu Rights Action Force
atau Barisan Bertindak Hak Penganut Hindu (Hindraf) pula suatu gerakan yang
mula diperkenalkan pada tahun 2006. Gerakan itu menganjurkan demonstrasi
besar-besaran yang memeranjatkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 25
November 2007.
Susulan daripada itu, lima pemimpin gerakan
Hindraf ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) manakala
Waythamoorthy berjaya melarikan diri ke India dan kemudian ke United Kingdom.
Tsunami politik melanda negara dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) pada 8
Mac 2008 dan BN menyedari “kuasa” kaum India. Susulan daripada itu, pada 15
Oktober 2008, Hindraf diwartakan sebagai sebuah pertubuhan haram, satu tindakan
yang menetapkan penglibatan sesiapa juga dalam pertubuhan itu merupakan satu
kesalahan dari segi undang-undang (Utusan
Malaysia, 16 Oktober 2008).
Walaupun lima pemimpin Hindraf dibebaskan
daripada tahanan ISA pada Mei 2009, Menteri Dalam Negeri (waktu itu),
Hishammuddin Hussein dilaporkan oleh Utusan
Malaysia (12 Mei 2009) sebagai berkata, permohonan pertubuhan itu bagi
mengkaji semula status pengharamannya telah ditolak oleh kerajaan dan Hindraf
kekal sebagai pertubuhan haram.
Dalam laporan yang sama, Ketua Polis Negara
(waktu itu), Musa Hassan menyatakan bahawa tindakan akan diambil mengikut undang-undang
negara terhadap Waythamoorthy apabila dia pulang ke tanah air.
Dipendekkan cerita, semua orang tahu bahawa
Waythamoorthy sudah pulang ke Malaysia dan tiada tindakan diambil terhadapnya.
Sebaliknya, dalam perkembangan terbaru (Mei 2013), seolah-olah dipeluk dan
dicium manja, Presiden BN, Najib Razak melantik bekas pelarian itu sebagai
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Terdahulu, dalam situasi yang disifatkan
sebagai “terdesak dan nazak”, adalah dipercayai bahawa Najib telah mengarahkan
Menteri Dalam Negeri, yang kemudian mengarahkan pula Pendaftar Pertubuhan
Malaysia (ROS) supaya menghantar surat kepada Waythamoorthy pada 26 Januari
2013 untuk memaklumkan bahawa pengharaman Hindraf di bawah Seksyen 5 Akta
Pertubuhan 1966 sudah ditarik balik.
Di sebalik segala perkembangan ini,
perpecahan yang amat nyata sudah berlaku dalam kalangan enam pemimpin yang
menggerakkan Hindraf pada 2006. Namun, tumpuan terkini adalah terhadap
Waythamoorthy dan abangnya, P Uthayakumar. Ingat: Surat ROS dialamatkan kepada
Waythamoorthy, bukan Uthayakumar.
Masing-masing mengatakan bahawa dialah
pemimpin Hindraf dan berhak menentukan hala tuju gerakan itu. Untuk makluman,
selepas dibebaskan daripada tahanan ISA, Uthayakumar menubuhkan Human Rights Party (HRP), sebuah parti
politik yang belum diluluskan pendaftaran. Malah, dalam PRU-13, Uthayakumar
terpaksa bertanding sebagai calon bebas.
Perebutan kuasa antara abang dan adik
Sejak 2006, Hindraf terkenal kerana
kelantangan mengkritik dan menyelar BN, Umno dan MIC. Maka, apabila Hindraf
pimpinan Waythamoorthy tiba-tiba mendatangani memorandum persefahaman (MOU)
dengan BN pada 18 April 2013, orang ramai mempunyai alasan untuk ketawa dan
berasa hairan.
“Waythamoorthy sudah menguburkan hak dan
maruah kaum India. Dia terlibat sama memulakan demonstrasi menuntut hak (pada
2007) tetapi kini dia menjadi umpama bangsawan. Waythamoorthy seorang yang
tidak ada harga diri mahu pun maruah.” Demikian seorang mahasiswi IPTS dari
Shah Alam, Nanthini Anusha meluahkan
kekecewaannya kepada saya.
Uthayakumar sendiri menghantar SMS kepada wakil media pada 18
April lalu dan menyifatkan apa yang dilakukan oleh adiknya sebagai “merampas”
Hindraf. Bagi Waythamoorthy pula, dia melihat perjanjian dan kerjasama
BN-Hindraf sebagai “permulaan perjalanan baru” untuk meningkatan ekonomi kaum
India.
Dalam pada itu, Uthayakumar yang sedang giat menggerakkan kempen
“hantar wakil Hindraf pertama ke Parlimen” pasti terasa
marah dan kecewa apabila nama “Hindraf” sudah dirampas dan didaftarkan sebagai
sebuah NGO oleh adiknya.
Maka, Uthayakumar mengumumkan kepada media bahawa majlis
tertinggi gerakan itu sudah melucutkan Waythamoorthy daripada Hindraf pada 25
April 2013.
Menerusi laporan yang disiarkan di The Malaysian Insider (27 April 2013), si adik pula mengatakan si
abang tidak ada apa-apa kuasa dalam Hindraf; apatah lagi untuk melucutkan
jawatan/keahlian si adik.
“Uthayakumar hanya ada kuasa dalam HRP. Selepas dibebaskan
daripada ISA pada 2009, dia menubuhkan HRP yang belum diluluskan pendaftaran.
Selama dua tahun dia memimpin HRP, cawangan dibuka di tujuh negeri. Akhirnya
apabila HRP sudah kehilangan sokongan, dia tiba-tiba datang mengaku dirinya
pemimpin de facto bagi Hindraf.
Dakwaan itu tidak benar sama sekali,” kata Waythamoorthy kepada wartawan di Taiping,
Perak.
Sekiranya dirujuk pada bukti berupa satu klip video wawancara
Uthayakumar dengan sebuah media alternatif pada 6 Disember 2007, dia secara
terang-terangan menyebut Waythamoorthy sebagai pengerusi Hindraf.
Bagaimanapun, dalam wawancara dengan media alternatif yang sama
pada 20 April 2013, Uthayakumar mengaku bahawa dialah pemimpin sebenar (de facto) Hindraf.
Walau apa pun kata si abang, hakikat yang tidak dapat dinafikan
adalah bahawa Hindraf sudah didaftar sebagai sebuah NGO dan si adik adalah
pemimpin pertubuhan berkenaan. Si adik jugalah yang berjaya “memujuk” Najib
sehingga segala sengketa lama dan ludah-meludah BN-Hindraf dilupai, lalu suatu
MOU ditandatangani.
“Bagi saya, perhimpunan Hindraf pada November 2007 merupakan
satu-satunya gerakan yang berjaya menyatu-padukan masyarakat India daripada
pelbagai keturunan; serta membuka mata kerajaan terhadap realiti kekuatan
politik yang dimiliki oleh kaum India.
“Pada pendapat saya, Hindraf sepatutnya kekal sebagai satu
kumpulan pendesak (pressure group)
dan bukannya bergabung dengan mana-mana parti politik,” kata R Balamurali (Vehl Murali), seorang peguam dari
Sungai Buloh, Selangor.
Hindraf bakal “kuburkan” MIC?
Apa-apa pun, sebagai “balasan” atas kesetiaan Hindraf kepada BN,
maka Waythamoorthy dilantik menjadi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana
Menteri. Uthayakumar pula hilang wang deposit di Perlimen Kota Raja dan DUN
Seri Andalas dalam PRU-13. Musnahlah impian si abang dalam “peluang terakhir
menghantar calon Hindraf ke Parlimen”.
“Saya telah berjuang bagi hak kemanusiaan dan kaum India miskin
sejak hampir 24 tahun dahulu. Waythamoorthy pula hanya menyertai Hindraf pada
2007, malah kemudian melarikan diri ke London,” Uthayakumar meluahkan perasaan
di The Malaysian Insider (16 Mei 2013).
Menurut Uthayakumar, adiknya sekadar menguruskan Hindraf semasa
dia berada dalam tahanan ISA. “Sebelum 2007, Waythamoorthy hanya pengerusi Vivekenanda Youth Movement yang sekadar
menyanyi dan bermain alat muzik pada hujung minggu, hari keluarga dan pertemuan
sosial,” katanya.
Ternyata bukan hanya Uthayakumar yang tidak berpuas hati dengan
perkembangan politik sejak hampir seminggu lalu. Hakikat yang mungkin boleh
disembunyikan tetapi tidak boleh dinafikan adalah bahawa MIC tidak boleh lagi
berkokok dan mendabik dada mengatakan ia satu-satunya “suara” kaum India dalam
kerajaan.
Secara teknikal, kedudukan Waythamoorthy dalam Kabinet Najib
adalah lebih istimewa dan terjamin berbanding keempat-empat pemimpin MIC yang
“terselamat daripada dipancung” oleh pengundi dalam PRU-13. Presiden MIC, G
Palanivel sendiri pasti tidak boleh meninggikan suara di hadapan Waythamoorthy
yang boleh disifatkan sebagai ayam tambatan dan anak manja kepada Najib.
Timbalan Presiden MIC, S Subramaniam bertindak bijak apabila
mengeluarkan kenyataan bahawa “MIC menghormati keputusan Perdana Menteri
melantik Waythamoorthy sebagai timbalan menteri” dan menyeru para ahli MIC
menerima keputusan Najib melantik peguam berusia 47 tahun itu (Bernama, 17 Mei 2013).
Selain daripada Uthayakumar, Ketua Pemuda MIC, T Mohan juga
lantang bersuara menyelar pelantikan Waythamoorthy. Apa tidaknya! Sekian lama
mereka dalam MIC dan IPF menjadi juak-juak, pak turut dan tukang kipas, tetapi
akhirnya seorang individu yang pernah menghina BN, Umno dan MIC pula
senang-senang mendapat jawatan dalam Kabinet Najib. [Baca juga pandangan MIC
pada 20 Mei 2013 – “Waythamoorthy tidak ikhlas perjuangkan komuniti India”]
Dalam hal ini, penasihat Hindraf, N Ganesan memberikan amaran
kepada Mohan dan Uthayakumar supaya “tutup mulut” dan tidak usah bising dalam
soal pelantikan tersebut. Katanya, semakin mereka bising, maka akan semakin
terbongkar segala kelemahan, ketidakcekapan dan kebodohan mereka.
Bagi Waythamoorthy pula, tidak ada apa-apa yang perlu
dirisaukannya. Kedudukannya sudah amat kukuh di sisi Najib dan Umno. Selepas Thanenthiran
(Parti Makkal Sakti Malaysia), dialah kini “wira Hindraf” yang bakal
diagung-agungkan oleh Umno sebagai pejuang hak kaum India dan dimasukkan dalam
buku sejarah bagi bacaan pelajar.
Berkenaan “salakan” Uthayakumar dan Mohan, Waythamoorthy
ternyata tidak ambil pusing. “Let them
talk. I’m a performer,” katanya kepada wartawan akhbar New Straits Times (18 Mei 2013).
Mampukah Hindraf “menendang keluar” MIC dan menggantikan
tempatnya dalam BN sebelum PRU-14? Sama-sama kita nantikan “pertunjukan”
selanjutnya daripada seorang “performer”
yang hebat. Tuah ayam nampak di kaki, tuah Waythamoorthy siapa yang tahu!
Nota: Waythamoorthy melepaskan jawatan Timbalan Menteri di Jabatan
Perdana Menteri pada Februari 2014. Uthayakumar keluar penjara pada Oktober 2014. Baca juga - Koleksi Makalah Berkaitan Hindraf.
[Uthaya
Sankar SB berharap mendapat peluang mewawancara keenam-enam pemimpin Hindraf
untuk mendengar kisah mereka. Makalah ini ditulis pada 19 Mei 2013 dan
disiarkan di The Malaysian Insider pada 20 Mei 2013.
© Uthaya Sankar SB
2013. Harap maklum bahawa anda membaca
makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]