1 Aug 2013

Anjing-anjing

[Nenek tahu bahawa suatu hari nanti, Ganesh dan Dhurga akan memahami kisah sebenar di sebalik salakan anjing-anjing itu.]
 
Salakan anjing-anjing di luar semakin nyaring. Memang begitulah sejak dua minggu lalu. Anjing-anjing liar dan kurap itu akan berkumpul beramai-ramai sejak awal pagi dan menyalak hingga lewat malam.
 
“Bising sungguh anjing-anjing itu,” keluh Dhurga, kanak-kanak berumur 10 tahun, yang sedang mendengar nenek menyampaikan kisah epik Ramayana di anjung rumah.
 
“Betullah, paati. Elok dihalau sahaja anjing-anjing itu yang menganggu ketenteraman para penduduk Siru Kambam,” kata abangnya, Ganesh yang dua tahun lebih tua.
 
Nenek tidak memberikan sebarang reaksi. Wanita tua itu tahu bahawa ada kisah sebenar yang lebih besar di sebalik insiden anjing-anjing yang menyalak tidak tentu hala itu.
 
Menurut cerita, semasa kontroversi berhala Dewa Shiva di Kuil Sivaperuman sedang hangat diperkatakan di Siru Kambam mulai Disember 2010, sekumpulan pengukir berhala yang bernaung di bawah Persatuan Pengukir Berhala (Perpena) berkomplot untuk menjatuhkan serta memalukan Kumpulan Ikonografer Siru Kambam.
 
Kisah yang sudah diketahui umum adalah bahawa kumpulan pakar ikonografi itu lebih bijak dan profesional berbanding Perpena yang hanya menyalak berdasarkan emosi kebinatangan dalam isu berkenaan.
 
Tidak lama sebelum itu, Encik Limau @ Tokoh Lidah Bercabang dicalonkan untuk Anugerah Pengukir Berhala Siru Kambam. Malangnya pengukir yang ada sedikit bakat itu bersubahat dengan sekutu Perpena sehingga akhirnya menamatkan riwayat serta cita-citanya.
 
Semasa Encik Limau sedang giat berkempen memburuk-burukkan Kumpulan Ikonografer Siru Kambam, dia ditemui mati di tebing sungai. Khabarnya alat sulit lelaki itu digonggong anjing kurap.
 
Menurut cerita yang tersebar di Siru Kambam dan kampung-kampung berdekatan, Penerima Anugerah Laut, Cik Timun Busuk, Encik Salib, Raja Se(ri)gala Bahasa dan sekutu mengadakan upacara khas bagi memuja unsur mistik tertentu.
 
Mereka mahu mendapatkan kekuatan politik ultra kiasu daripada pihak tertentu dalam meneruskan agenda jahat mereka. Natijahnya, kesemua mereka bertukar menjadi anjing kurap menjelang keesokannya. Mulalah mereka lari bercawatkan ekor sementara Kumpulan Ikonografer Siru Kambam terus utuh.
 
Anjing-anjing itulah yang kembali menyalak tanpa henti sejak dua minggu lalu. Semuanya berlaku selepas penerima Anugerah Pengukir Berhala Siru Kambam diumumkan oleh ketua panchayat – majlis timbang tara peringkat kampung – di bawah pohon beringin pada pertengahan Mac 2013.
 
Tentu sahaja Encik Limau tiada peluang untuk menang kerana dia sudah mati dan dilupai oleh Perpena sendiri.
 
Kumpulan Ikonografer Siru Kambam tampil mengeluarkan kenyataan ucapan tahniah kepada penerima Anugerah Pengukir Berhala Siru Kambam. Perbuatan itu menimbulkan kemarahan pihak tertentu kerana mereka belum sempat mengeluarkan ucapan berikutan masih bermabuk-mabuk di sebuah kelab malam di bandar Taiping.
 
Selang dua hari, keluar pula kenyataan seorang pengukir veteran yang pernah juga menerima Anugerah Pengukir Berhala Siru Kambam pada masa lalu. Dalam kenyataannya, pengukir veteran itu meluahkan rasa kurang setuju dengan keputusan pemilihan penerima anugerah terkini.
 
Anjing Zak*r mula menyalak
 
“Semua ini tentu angkara Kumpulan Ikonografer Siru Kambam dan pemuda yang mengetuainya!”
 
Salakan Penerima Anugerah Laut mula memecah keheningan malam. Pengukir itu sudah pun bertukar menjadi anjing kurap dan sering berdiri atas dua kaki belakang dan menggaru-garu alat sulitnya. Maka, anjing itu digelar oleh penduduk Siru Kambam sebagai “Anjing Zak*r”.
 
“Komentar pengukir veteran itu dikatakan pandangan peribadi. Tapi kami para anjing kurap percaya bahawa ada pihak ketiga yang memainkan peranan mendesak pengukir veteran itu mengeluarkan kenyataan seumpama itu.”
 
Salakannya segera disahut gerombolan anjing liar kurap yang sebelum ini khabarnya adalah manusia tetapi bertukar menjadi anjing secara penuh mistik selepas menyembah unsur tertentu yang bertentangan dengan ajaran mana-mana agama.
 
Bagi manusia yang bertamadun, tindakan gerombolan anjing jadian itu tentulah dianggap tidak bertamadun. Malah, anjing-anjing sebenar – bukan anjing kurap jadian – juga berpendapat demikian.
 
Anjing Zak*r yang dahulu kelihatan alim dan warak juga kini sudah bertukar rupa. Ramai yang tertanya-tanya apakah perubahan perangai itu disebabkan metamorfosis Penerima Anugerah Laut daripada manusia kepada anjing kurap; atau perubahan fizikal itu berlaku sebagai cerminan kepada jiwa, pemikiran dan keperibadian sebenarnya.
 
Agak lucu juga apabila kerja-kerja membuat ukiran patung di Siru Kambam kini dikuasai anjing-anjing kurap. Sedikit demi sedikit, seorang demi seorang tukang membuat berhala yang juga sealiran dengan Anjing Zak*r dan sekutunya mula bertukar menjadi anjing jadian.
 
Penduduk Siru Kambam pula tidak sampai hati untuk menghalau anjing-anjing itu. Malah, diberikan makan apabila anjing-anjing berkenaan datang berdiri di depan rumah dengan lidah terjelir dan perut kelaparan.
 
Walau bagaimanapun, khabarnya, makanan yang paling digemari gerombolan anjing-anjing kurap itu adalah tulang babi yang diberikan oleh seorang individu misteri dari luar Siru Kambam. … Bersambung
 
[Faksyen ini ditulis pada 26 Mac 2013 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 1 April 2013. © Uthaya Sankar SB 2013. Segala persamaan dengan realiti adalah disengajakan. Tajuk faksyen ini dipinjam daripada judul sebuah kumpulan cerpen Sasterawan Negara Datuk Shahnon Ahmad yang terbit pada tahun 1964. Harap maklum bahawa anda membaca faksyen ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri. Watak nenek, Ganesh dan Dhurga juga muncul dalam siri Ramayana. Baca juga: Krisis Identiti Anjing]