17 Mar 2013

Shahnon kurang setuju Baha Zain SN-12

Shahnon kurang setuju Baha Zain SN-12
“Karyanya berselerak, tidak fokus”
 

Sasterawan Negara Datuk Shahnon Ahmad kurang bersetuju Datuk Baharuddin Zainal (Baha Zain) diumumkan sebagai Sasterawan Negara ke-12. Pengumuman itu dilakukan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Putrajaya pada 15 Mac 2013. [Pendirian Kavyan dalam hal ini boleh DIBACA DI SINI]

 
Pada kira-kira jam 11:00 pagi, 17 Mac 2013, Shahnon menghubungi Dr Mohd Faizal Musa (Faisal Tehrani) dan menyatakan pendirian kurang bersetuju dengan pemilihan Baha Zain.
 
Faizal Musa dalam e-melnya kepada saya (Uthaya Sankar SB) pada 11:41 pagi menyatakan bahawa Shahnon telah memintanya “menyampaikan reaksi segera beliau ini kepada khalayak sastera Melayu”. Maka, dipaparkan di blog ini untuk makluman khalayak yang dimaksudkan.
 
Shahnon yang lebih senang dikenali sebagai Cikgu Shahnon menegaskan terdapat enam poin yang menyebabkan beliau berpendapat sedemikian. Sebagai pemerhati dan pengkritik sastera, beliau menganggap pertamanya, karya-karya Baha Zain adalah “berselerak” dan “tidak fokus”.
 
Keduanya, Cikgu Shahnon berpandangan karya puisi Baha adalah kontot (pendek), sangat bersahaja, justeru kurang menyerlah mesej dan gagasan yang ingin dibawa.
 
Ketiganya, Cikgu Shahnon juga melihat Baha Zain tidak berupaya dari segi kritikan sastera dan tulisan-tulisan yang dihasilkannya “tidak begitu ketara” dari segi sumbangan.
 
Seterusnya, yang keempat, Cikgu Shahnon menyatakan penglibatan Baha Zain dalam gerakan sastera kurang menonjol. Era beliau memimpin Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) misalnya memperlihatkan keperlahanan suara golongan sasterawan berdepan dengan isu semasa yang memerlukan suara tegas golongan seniman ini.
 
Kelima, Cikgu Shahnon berpandangan Baha Zain agak sunyi dari berjujur dalam isu-isu semasa. Yang keenam, Cikgu Shahnon menyatakan antologi puisi Baha Zain yang dibacanya membuatkan beliau berasa karyanya “tidak bermakna dan tidak seberapa”.
 
“Datuk Shahnon bagaimanapun terbuka kepada apa jua respon ekoran pandangan beliau ini,” kata Faizal pada hujung e-mel yang dikirim.

Nota: Kenyataan ini disiarkan di Malaysiakini pada 18 Mac 2013 (BACA DI SINI). Bagaimanapun, agak menarik untuk diperhatikan bahawa terbukti masih ramai orang bodoh yang tidak tahu membezakan antara "kenyataan Shahnon" dan "kenyataan Kavyan" berhubung ASN. Kenyataan Shahnon dikatakan kenyataan Kavyan/Uthaya menerusi Facebook sejak 17 Mac 2013. Sia-sia sahaja puak bodoh seperti itu lahir di bumi. Namun, bukan salah ibu mengandung. Penjelasan mengenai perkara ini diberikan oleh Faisal Tehrani pada 18 Mac 2013 - BACA DI SINI. Kenyataan-kenyataan bodoh pihak tertentu di Facebook akan didokumentasikan di blog saya dalam masa terdekat. Sementara itu, "anjing-anjing" masih menyalak di media sosial; mungkin mengharapkan tulang khinzir sebagai upah daripada Tuan mereka.