3 Sept 2010

Krisis Identiti Anjing di China

BEIJING - Kebanyakan anjing yang dijadikan haiwan peliharaan oleh golongan kaya di China dibimbangkan mengalami krisis identiti berikutan perkembangan minat dalam kalangan pemilik untuk mencelup anjing menyerupai binatang-binatang lain.
.
Pasangan suami isteri, Li Changxian dan Yang Kun, misalnya menamakan anjing mereka “Kung Fu” seperti dalam filem Fung Fu Panda (2008) dan mencelupnya menyerupai seekor panda.
.
“Kung Fu mendapat perhatian ramai kerana kanak-kanak amat suka membelai serta memeluknya. Kami rasa anjing kami suka dilihat dan dimanjakan seperti seekor panda,” kata Changxian dengan penuh yakin.
.
Kerja-kerja mencelup bulu anjing supaya menyerupai binatang lain mengambil masa hampir lapan jam dan sudah menjadi suatu industri mewah di China.
.
Mary Peng dari Pusat Perkhidmatan Veterinar Antarabangsa di Beijing pula memberi amaran bahawa produk yang digunakan untuk melunturkan warna asal dan mencelup warna baru pada bulu anjing tidak dijamin selamat.
.
“Produk-produk itu tidak pernah diuji pada binatang. Kalau ia menyerap masuk ke dalam tubuh melalui kulit atau jika haiwan peliharaan menjilat bulu badan, binatang itu mungkin keracunan dan mati,” katanya.
.
Peng membidas sikap pemilik anjing yang sebenarnya mendera binatang peliharaan itu dari segi mental dan fizikal.
.
“Pemilik haiwan berhak mencelup rambut mereka sendiri mengikut warna apa yang mereka suka tetapi adalah salah untuk melakukan perkara sama kepada haiwan peliharaan seperti anjing dan kucing. Saya tidak akan melakukannya kepada anjing saya,” kata Tomic Chao, pemilik seekor anjing yang normal.
..
(Skrip ini dihasilkan dengan bahan dari pelbagai sumber dan disiarkan di halaman Sains Global akhbar Sinar Harian pada 29 Ogos 2010. Baca juga: Anjing-anjing)