2 Aug 2013

Semangkuk Bubur

[Kisah mengenai Tauke Jib, pemilik Gerai Bijan, yang berada dalam dilema untuk menghidangkan bubur terakhir kepada penduduk sebuah kampung.]

Para penduduk semakin hilang sabar. Bubur. Kata itu semakin ketara bermain pada bibir dan dalam minda mereka sejak seminggu lalu. Bubur.

Akan tetapi, Tauke Jib tetap belum menghidangkan bubur nasi yang dinanti-nantikan. Dia terus berdalih. Terus mencari alasan untuk melengah-lengahkan hidangan bubur itu.

Bagi Tauke Jib, dia sedar bahawa hidangan bubur pada kali ini mungkin menjadi hidangan terakhir. Segera dia teringat akan lukisan terkenal oleh Leonardo da Vinci bertajuk “The Last Supper”.

Kontrak yang diberikan kepada Gerai Bijan untuk membekalkan serta menghidangkan bubur adalah selama lima bulan. Semasa mandat terakhir diterima dahulu, bukan dia pemilik gerai, tetapi Che Lah.

Hanya selepas pemilik terdahulu iaitu Encik Kutty bising-bising dan mempertikaikan kemampuan Che Lah menguruskan gerai, barulah senduk berpindah ke tangan Tauke Jib.

Namanya Pak Jib tetapi ditukar kepada Tauke Jib dengan harapan dapat menarik pelanggan kaum Cina dari kampung-kampung berdekatan seperti Aulong Baru dan Aulong Lama.

Penduduk Siru Kambam pula bagaikan tidak ada pilihan kerana sudah memberi kontrak kepada pemilik Gerai Bijan untuk menghidangkan bubur selama lima bulan. Mengikut kontrak, sekiranya penduduk tidak berpuas hati, maka kontrak tidak akan disambung.

Hakikat itulah yang sebenarnya memeningkan kepala Tauke Jib. Dia sedar bahawa bubur yang dihidangkannya sejak empat setengah bulan lalu – selepas mengambil alih Gerai Bijan daripada Che Lah – memang kurang memenuhi selera penduduk.

Para penduduk Siru Kambam sudah bersedia untuk menerima perubahan. Mereka tidak mahu terus bergantung pada Gerai Bijan yang sudah hilang aura dan kredibiliti. Mereka mahukan perkhidmatan berkualiti dan berintegriti. Sentimen bahawa gerai itu paling lama beroperasi di kampung kecil ini tidak menjadi persoalan.

Tauke Jib mengharapkan sokongan daripada pelanggan pelbagai kaum dan agama. Untuk itu, pekerjanya juga pelbagai kaum. Akan tetapi, kesemua pekerja pelbagai kaum itu tidak ada apa-apa hak atau kuasa. Mulut mereka ditutup dengan kain. Mereka hanya perlu melakukan kerja-kerja seperti diarahkan.

Bukan sekadar kerja-kerja yang diarahkan oleh Tauke Jib selaku pemilik Gerai Bijan tetapi juga isterinya, Mak Anggun. Malah, rahsia yang sudah diketahui umum adalah bahawa Mak Anggun adalah “pemilik” sebenar Gerai Bijan. Tauke Jib hanya tauke pada nama.

 Bersambung di Pulau Pendatang (2015)

[Faksyen ini ditulis pada 28 Mac 2013 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 30 Mac 2013. © Uthaya Sankar SB 2013. Segala persamaan dengan realiti adalah disengajakan. Idea bagi judul faksyen ini diambil daripada Semangkuk Interlok. Kecuali nama Leonardo da Vinci dan Najib Razak, nama watak-watak lain dalam faksyen ini adalah rekaan semata-mata. Harap maklum bahawa anda membaca faksyen ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]