Sementara penggiat budaya, seni dan sastera
di Malaysia sibuk mengeluh kerana pihak itu dan pihak ini tidak melakukan
apa-apa untuk mengangkat martabat lagu rakyat dan puisi tradisional Melayu,
rakan-rakan di Indonesia sudah mengorak langkah mengantarabangsakan khazanah
bangsa mereka.
Demikianlah kesan yang saya terima apabila
mengikuti perbincangan beberapa tokoh dalam forum “Puisi dan Lagu Rakyat
Nusantara ke Persada Dunia” di Pulau Pangkor pada 12 Disember 2014.
Walaupun Asrizal Nur selaku ketua Yayasan Panggung Melayu hanya dipanggil
naik ke pentas pada saat akhir sebagai bidan terjun, saya kagum dengan pelbagai
hujah bernas yang beliau kongsikan menepati tajuk forum.
Terdahulu, Datuk Dr Zurinah Hassan dari Universiti Malaya menjelaskan makna “lagu
rakyat” serta peranannya sebagai media sosialisasi yang mengangkat unsur-unsur
setempat dalam kehidupan masyarakat Melayu sejak zaman-berzaman.
Pada masa kini, lagu rakyat atau lagu-lagu
tradisional sudah dijadikan persembahan pentas, dirakam dalam bentuk cakera
padat (CD) dan MP3 serta dimuat naik ke YouTube
bagi menyebarkannya kepada orang ramai.
Sri
Diah, novelis terkenal dari Kumpulan Media
Karangkraf memperkatakan betapa perlunya lagu rakyat dikekalkan dan
didokumentasi sebagai khazanah serta pusaka bangsa.
“Jangan sampai khazanah kita orang Melayu
hilang atau diambil serta diakui sebagai milik pihak lain,” katanya sambil
merujuk kepada beberapa kes pertikaian melibatkan Malaysia dan Indonesia.
Sebagai usaha mendidik, mengajar dan
membimbing generasi muda supaya mengenali lagu rakyat, beliau menyarankan
penggunaan teknologi moden dan media sosial secara bijak dan berkesan.
Beberapa peserta juga berkongsi pandangan,
pengalaman, keluhan, rintihan dan kritikan berhubung topik yang dibincangkan.
Misalnya seorang peserta wanita kaum India menegaskan betapa keunikan
khazanah orang Melayu perlu diantarabangsakan.
Katanya, dia sedih melihat puisi tradisional Melayu terpinggir.
Kerajaan, duta gagal jalankan tugas
Beberapa peserta turut menyelar hakikat
bahawa generasi muda kaum Melayu tidak lagi mengenali puisi-puisi tradisional
seperti pantun, ratib, seloka, gurindam, mantera, syair, nazam dan lagu rakyat.
“Kini keadaan sudah kronik. Sudah tiba masa
untuk bertindak,” kata Sri Diah yang ternyata prihatin dan amat risau serta
sedih mengenangkan masa depan khazanah puisi tradisional Melayu yang pada
pandangannya semakin terpinggir akibat populariti lagu dan muzik moden dari
luar.
Antara saranan yang dikemukakan oleh panel
menerusi forum ini adalah supaya puisi tradisional Melayu digunakan pada
majlis-majlis rasmi di peringkat kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.
Ramai peserta yang melahirkan kegusaran
kerana kerajaan, kementerian dan jabatan kerajaan sendiri lebih banyak
menampilkan muzik “luar” berbanding lagu-lagu rakyat dan puisi tradisional
dalam majlis/acara yang dianjurkan.
Duta Malaysia di negara-negara luar pula
dikatakan gagal menjalankan tugas memperkenalkan khazanah puisi tradisional
Melayu kepada khalayak di sana, sedangkan perkara itu termasuk dalam bidang
tugas rasmi mereka. Saya hanya mengetahui hal ini apabila disebutkan oleh Sri
Diah.
Seorang peserta dan penulis sepenuh masa, Raja Yusof Ariffin, bertanya apakah
golongan penyanyi jalanan (buskers)
boleh dianggap sebagai golongan yang turut membantu mengangkat serta
memasyarakatkan lagu rakyat dan lagu puisi.
Beberapa tokoh veteran yang mengulas
pertanyaan itu membuat kesimpulan bahawa buskers
hanya umpama peminta sedekah di tepi jalan. Maknanya, darjat dan kedudukan
mereka tidak seperti “aktivis seni” yang berjuang memartabatkan dan
memasyarakatkan puisi Melayu tradisional.
Sekiranya diperhatikan, ramai yang tampil
“menuduh” generasi muda tidak prihatin dan tidak ambil tahu mengenai lagu
rakyat dan puisi Melayu tradisional. Saya ternanti-nanti juga untuk mendengar
apa yang telah mereka lakukan untuk mengatasi serta menangani masalah itu.
Tiada.
Seorang panel dan seorang peserta veteran
mengakui bahawa kini memang ada beberapa penulis yang menerbitkan buku
gurindam. Akan tetapi, kata mereka, gurindam yang dihasilkan orang seperti Mohd
Sidek Dollah (Mas Adiki) tidak mengekalkan falsafah, ciri-ciri dan keunikan
puisi tradisional Melayu yang sedang mereka cuba pertahankan.
Sebagai penggiat sastera yang berada di
luar bidang “puisi Melayu tradisional” tentulah saya tidak mahu masuk campur
dalam urusan rumahtangga orang.
Sebaliknya saya sekadar mencatatkan
pandangan dan komentar berdasarkan apa-apa yang berlaku semasa Pesta Puisi dan
Lagu Rakyat (Pulara) di Pulau Pangkor.
Inovasi, improvisasi di Indonesia
Hampir sejam forum berlangsung dipenuhi
keluh-kesah, rungutan dan menyalahkan “orang lain” kerana tidak melakukan
apa-apa bagi mengangkat martabat khazanah puisi tradisional dan lagu rakyat.
Saya terus menanti-nanti untuk mendengar
bahagian kedua tajuk forum iaitu mengenai usaha mengangkat segala khazanah itu
“ke persada dunia”.
Pada waktu itulah – mujur – Asrizal
diundang menyertai panel di pentas. Penyair dan aktivis ini lahir di Pekanbaru,
Sumatra pada tahun 1969 dan kini tinggal di Depok, Jawa Barat.
“Orang lain bercakap; saya pula melakukan
apa yang perlu untuk mengembangkan puisi tradisional dan lagu rakyat,” katanya
dengan penuh yakin tanpa bermegah diri.
Mendengar kata-kata Asrizal, saya kembali
bersemangat dan yakin bahawa masih ada harapan untuk mendapatkan ilmu yang
boleh dimanfaatkan oleh saya sendiri serta wajar saya kongsikan kepada orang
ramai menerui makalah ini.
Dengan mengambil contoh pengalaman Yayasan
Panggung Melayu yang diketuainya, Asrizal menghuraikan bagaimana puisi
tradisional Melayu (Indonesia) berjaya diangkat dan dimasyarakatkan dengan
memanipulasi serta memanfaatkan perkembangan teknologi.
Sekadar contoh, sebuah persembahan karya
tradisional boleh menggunakan sepenuhnya alat bantu moden seperti penataan
cahaya, audio-visual dan teknik pementasan serba canggih; tanpa sedikit pun
mengurangkan nilai kandungan tradisional yang mahu ditonjolkan.
Pelbagai improvisasi dilakukan oleh
penggiat sesi dan sastera di Indonesia dengan menarik masuk golongan muda bagi
sama-sama mengangkat, memertabatkan dan memperkaya khazanah tradisional.
Golongan muda itu datang daripada pelbagai latar belakang dan bidang kepakaran.
Malah kerja-kerja dakwah dan aktiviti
keagamaan di Indonesia juga memanfaatkan perkembangan teknologi persembahan
pentas. Misalnya seminar ESQ yang diasaskan di Indonesia dan turut mendapat
sambutan hangat di Malaysia.
Saya berpeluang menghadirinya dua kali.
Penggunaan teknologi audio-visual dan seni grafik memang hebat, tanpa
menghilangkan motif asal.
Jangan hanya pandai menuding jari
Untuk berlaku adil, segala permasalahan,
rungutan, keluhan, kritikan dan kekurangan yang diluahkan oleh panelis dari
Malaysia dan peserta Pulara pada 12 Disember 2014 bukan setakat mewakili
pandangan mereka.
Sebaliknya mewakili realiti dalam kalangan
rata-rata penggiat seni dan sastera di negara bertuah ini.
Kita lebih banyak membazir masa mengutuk
dan mengkritik generasi muda kerana tidak mencintai khazanah tradisi Melayu.
Kita terasa seronok apabila pengkaji dan
peminat dari luar negara (Barat) meminati, menghayati dan mampu mempersembahkan
puisi tradisional dan lagu rakyat.
Pada masa sama, kita bimbang bahawa orang
luar akan “mencuri” khazanah milik nenek-moyang kita.
Kita mengaku diri kita peminat, pejuang dan
aktivis bahasa, sastera dan seni tradisional. Akan tetapi, kita hanya sibuk
menyarankan dan menggesa kerajaan negeri dan kerajaan pusat menggubal akta dan
peraturan mewajibkan jabatan, kementerian dan swasta mewajibkan pembacaan puisi
rakyat pada setiap acara.
Kita mahu mengadakan seminar demi seminar,
forum demi forum dan konvensyen demi konvensyen; lalu mengemukakan resolusi
demi resolusi kepada politikus dan kuasawan yang nampak gayanya
seolah-olah meminta pembantu di pejabat membuang sahaja segala kertas yang
diterima.
“Orang lain bercakap; saya pula melakukan
apa yang perlu untuk mengembangkan puisi tradisional dan lagu rakyat.”
Kata-kata itu terus bergema dalam minda selepas sesi forum berakhir.
Nah! Berhentilah merengek, menuding jari
dan menyalahkan orang itu dan orang ini kerana kononnya orang itu dan orang ini
gagal melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka.
Sesungguhnya saya sendiri dan Kumpulan Sasterawan
Kavyan (Kavyan) yang mengendalikan acara bahasa, sastera,
kebajikan, seni dan budaya perlu bermuhasabah diri dan menghayati kata-kata
Asrizal sambil mencermin diri dengan penuh keinsafan.
Semoga generasi akan datang sudi memaafkan
kejahilan, kesilapan dan kekhilafan kita selama ini kerana hanya pandai
menyalahkan orang lain sementara kita hanya berpeluk tubuh.
[Makalah ini ditulis
pada 12 Disember 2014 di Pulau Pangkor dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 15 Disember 2014. © Uthaya Sankar SB 2014. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini
serta segala kandungan di Blog Uthaya
Sankar SB atas pilihan sendiri.]