Di seluruh dunia, golongan minoriti sering diberikan perlindungan
khas. Bagaimanapun, hakikat yang amat nyata di Malaysia adalah bahawa golongan
minoriti atau marginal sering dipinggirkan, diabaikan, tidak diberikan hak
untuk bersuara serta terus-menerus dizalimi.
Memanglah ada kes-kes terpencil di mana
individu daripada kumpulan minoriti tertentu diberikan peluang dan dijulang
tinggi. Bagaimanapun, biasanya individu minoriti terbabit seringkali sudah
meninggalkan kumpulan asal (minoriti) dan sudah menjadi penyokong atau pengikut
kumpulan teras (majoriti). [Contoh: Interlok dan Tokoh Lidah Bercabang – Pengalaman Minoriti dalam Isu Interlok]
Sementara itu, kumpulan minoriti masih
meneruskan perjuangan menuntut apa yang menjadi hak yang sah di sisi
undang-undang. Namun begitu, selalu pula pelbagai alasan diketengahkan oleh
kumpulan majoriti untuk terus menindas kumpulan minoriti.
Antara alasan yang sering digunakan untuk
menakut-nakutkan golongan minoriti adalah perkara-perkara kecil yang sebenarnya
tidak menghadkan hak dan peluang sah yang sepatutnya menjadi hak minoriti. Misalnya
alasan bahawa tuntutan minoriti akan menjejaskan hak majoriti.
Antara golongan minoriti yang dimaksudkan
dalam konteks ini termasuk (tetapi tidak terhad kepada) golongan Bukan Islam,
bukan mazhab Syafi’i, Bukan Melayu, bukan penutur asli bahasa Melayu serta
golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Termasuk dalam kumpulan ini adalah Orang
Asal (Orang Asli) dan Bumiputera Bukan Islam di Sabah dan Sarawak. Sesiapa yang
bukan ahli atau penyokong (pengampu) Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) juga sering dilayan
seperti golongan minoriti.
Kita yang tidak termasuk dalam kumpulan rasis,
etnosentrik, pelampau, ultra kiasu dan fanatik dalam soal agama, bahasa, kaum
dan politik juga sering dianggap minoriti. Apatah lagi jika kita berfikiran
terbuka, plural dan moderat. Begitu juga aktivis dan
nasionalis di Sabah dan
Sarawak yang menuntut hak.
Walau dalam kategori minoriti mana pun kita
dimasukkan, ada beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian bagi memperkasa
diri. Hal ini penting bagi memastikan kita dapat mempertahankan hak serta tidak
lagi diperlekeh, dihina, diperkotak-katik dan dizalimi kelompok majoriti,
kuasawan dan politikus.
Tidak akan tercapai kebaikan sekiranya
tidak ada sesiapa yang berani mengetengahkan kebenaran. Demikian antara
kata-kata Mahatma Gandhi yang boleh dijadikan
pemberi semangat.
Kita sebagai golongan minoriti perlu berani
tampil bersuara. Daripada pengalaman dan pemerhatian saya, ramai yang suka
bising-bising dan menjerit-jerit di laman rangkaian sosial seperti Facebook. Akan tetapi, apabila diminta
memberikan pandangan bagi tujuan penerbitan dalam makalah, mereka terus kecut
dan membisu.
Jadilah perubahan yang mahu anda saksikan
Sekiranya kita memang berani untuk
memperjuangkan hak-hak sah golongan minoriti, maka kita perlu berani bersuara
lantang. Manfaatkan Facebook, Twitter, blog dan sebagainya.
Beranilah mengirimkan surat pembaca, komen
atau pandangan untuk disiarkan di media konvensional dan media alternatif. Keluarkan kenyataan
dalam bentuk kenyataan media dan paparan status di Facebook.
Apabila bersuara, jangan berselindung di
belakang nama samaran atau identiti yang tidak
boleh dikenali. Itu adalah tindakan golongan pengecut. Jika kita memang berani
bersuara mewakili golongan minoriti, maka lakukan secara berani dan terbuka.
Usah berselindung di sebalik identiti yang samar.
Jadilah perubahan yang mahu anda saksikan
di dunia ini. Demikian satu lagi pandangan Gandhi yang menjadi semacam
penyuntik semangat kepada saya untuk berani bertindak walaupun apa yang
dilakukan mungkin tidak menyenangkan pelbagai pihak.
Sekiranya golongan minoriti tidak memulakan
langkah, maka perubahan yang diharapkan itu tidak mungkin menjadi kenyataan.
Kita sebagai minoriti jangan mengharapkan kumpulan majoriti tampil membantu
membawa perubahan yang kita harapkan.
Kalau bukan kita yang memulakannya, siap
lagi? Apatah lagi dalam isu-isu melibatkan hak golongan minoriti yang tentu
sahaja sedaya upaya cuba dipinggirkan golongan majoriti tertentu yang mahu
terus berada di atas dan terus-menerus menafikan hak golongan minoriti.
Dalam memperjuangkan hak yang sah, golongan
minoriti tertindas tidak boleh mengharapkan sokongan dan liputan media arus
perdana; media cetak dan media elektronik.
Sekadar contoh, golongan Orang Asal tidak
boleh mengharapkan Radio Televisyen Malaysia (RTM), TV3, Utusan Malaysia dan Berita
Harian untuk memberikan liputan yang menyeluruh, objektif dan mendedahkan
masalah sebenar yang dialami golongan minoriti itu. Kalau laporan secara
permukaan (surface) yang menjadikan
golongan Orang Asal sebagai komoditi tarikan pelancongan, maka bolehlah
diharapkan.
Walau bagaimanapun, golongan minoriti tidak
perlu bimbang kerana capaian media alternatif adalah lebih meluas berbanding
media konvensional. Paparan di portal berita dalam talian dan blog juga boleh
diakses orang ramai di seluruh dunia. Malah, lebih mudah dikongsikan menerusi Facebook dan Twitter.
Senjata utama: Bahasa Malaysia
Sejak beberapa bulan lalu, saya
mengendalikan kelas bimbingan Bahasa Malaysia bagi sekumpulan aktivis
yang disegani dan lantang bersuara. Mereka bukan calang-calang orang kerana mendapat
pengiktirafan pada peringkat antarabangsa.
Namun, mereka memilih untuk mengikuti kelas
bimbingan Bahasa Malaysia kerana menyedari kepentingan bahasa kebangsaan
sebagai medium paling penting untuk melakukan perjuangan pada peringkat
akar-umbi.
Semangat yang ditunjukkan sekumpulan
aktivis ini amat membanggakan dan mengharukan saya. Mereka sedar bahawa tiada
gunanya jika Bahasa Inggeris sahaja digunakan untuk
mengetengahkan masalah dan perjuangan golongan minoriti di negara ini.
Golongan minoriti yang mahu bersuara demi
memperjuangkan hak perlu menyedari kepentingan menguasai Bahasa Malaysia;
selain bahasa-bahasa lain. Kalaulah kita tidak mampu bersuara menggunakan
Bahasa Malaysia, apalah gunanya kita menggelarkan diri kita sebagai warganegara
Malaysia?
Janganlah kita menjadi seperti majoriti politikus, menteri dan timbalan menteri
yang tidak mencintai serta tidak menguasai Bahasa Malaysia. Sebagaimana kita
mentertawakan, memperkecilkan dan mengabaikan politikus terbabit, begitulah
juga orang ramai akan memandang kita jika kita tidak mampu berkomunikasi
menggunakan bahasa kebangsaan.
Golongan minoriti juga perlu bersatu.
Walaupun pelbagai kelompok minoriti berdepan dengan masalah, hambatan, kezaliman dan penindasan yang berbeza
daripada kelompok majoriti yang berbeza, aspek bersatu dan bergabung perlu
diutamakan.
Contohnya, golongan minoriti Orang Asal
serta penduduk asal Sabah dan Sarawak wajar bergabung bagi mempertahankan hak
yang sah di sisi undang-undang. Minoriti Kristian dan minoriti Hindu yang sering dituduh menyebarkan
ajaran agama menerusi bahan bacaan Bahasa Malaysia boleh bersatu memperjuangkan
hak menggunakan bahasa kebangsaan.
Bagi mengukuhkan kesatuan, satu-satu
kelompok minoriti perlu juga tampil membantu dan bersolidariti dengan kelompok
minoriti lain. Misalnya minoriti yang sering ditindas kerana identiti jantina
boleh bersolidariti dengan minoriti yang ditindas kerana perbezaan mazhab atau
jantina.
Percayalah, jika para minoriti yang
memperjuangkan hak daripada ditindas mampu bergabung tenaga dan suara, maka
minoriti akan dapat mengatasi kuasa majoriti yang sudah terlalu lama melakukan
penindasan. Lihat sahaja bagaimana Sisters
in Islam (SIS) mampu bergabung tenaga dengan pelbagai kumpulan minoriti
lain untuk sama-sama berjuang demi hak yang sah.
Ketidaksatuan antara kumpulan minoriti
sebenarnya dijadikan salah satu senjata oleh kumpulan majoriti untuk meneruskan
penindasan dan ketidakadilan secara sedar atau tidak sedar, secara terancang
atau tidak terancang.
Jadilah perubahan yang mahu
anda saksikan di dunia ini. Tidak akan tercapai kebaikan sekiranya tidak ada
sesiapa yang berani mengetengahkan kebenaran. Minoriti perlu memperkasakan diri
untuk mencapai hasrat itu.
[Makalah ini ditulis
pada 15 Disember 2014 di Kamunting, Perak dan disiarkan di Projek Dialog pada 16 Disember 2014. © Uthaya Sankar SB 2014. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini
serta segala kandungan di Blog Uthaya
Sankar SB atas pilihan sendiri.]