Nampaknya kumpulan minoriti akan sentiasa dijadikan mangsa, dizalimi, dipersalahkan dan dianggap tidak berhak untuk bersuara. Hal ini berlaku walaupun kumpulan minoriti berkenaan berada di pihak yang benar.
Suatu contoh yang dapat
saya berikan di sini adalah mengenai tiga wakil kaum India yang dilantik oleh Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin menganggotai panel bebas yang ditugaskan melakukan pindaan kepada novel Interlok: Edisi Murid (2010).
Untuk makluman sesiapa
yang tidak tahu, novel berkenaan yang disunting dan dipermudahkan daripada
novel asal karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain dijadikan teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran
Bahasa Malaysia (Komsas) di Selangor, Putrajaya, Kuala Lumpur dan Negeri
Sembilan.
Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) terlibat secara langsung dalam
menyediakan saranan pindaan yang pada mulanya dipersetujui bersama oleh panel
sebelum dibentangkan kepada Muhyiddin pada 16 Mac 2011.
Kontroversi muncul pada
15 Disember 2010. Empat tahun kemudian, masih ramai yang merujuk Blog Arkib Kavyan untuk membaca pelbagai maklumat sebenar yang
didokumentasikan di sana.
Sebenarnya, suatu sidang media khas diadakan di Dewan Soma, Wisma Tun Sambanthan, Kuala Lumpur
pada 25 Mac 2011 atas permintaan dan saranan Muhyiddin sendiri.
Berikut pula saya
kongsikan pengalaman menghadiri perjumpaan panel bebas berkenaan dengan
Muhyiddin di Pejabat Timbalan Perdana Menteri, Aras 3, Menara Parlimen pada 16
Mac 2011.
Dr N. S. Rajendran, G.
Krishnabahawan dan saya yang dilantik mewakili kaum India menghadiri mesyuarat
itu. Ramai yang masih tertanya-tanya apa yang sebenarnya berlaku sehingga
menyebabkan kami bertiga membuat keputusan meninggalkan mesyuarat.
Seperti yang saya katakan tadi,
semuanya berbalik kepada hakikat golongan minoriti cuba ditutup mulut,
diperkotak-katikkan dan dimanipulasi bagi mencapai agenda tersembunyi.
Berikut adalah catatan ringkas yang
saya buat berdasarkan rakaman audio pada perjumpaan itu. Ini bukan transkrip
atau laporan sebuah mesyuarat tetapi pendedahan mengenai apa yang sebenarnya
berlaku.
Apa sebenarnya yang berlaku dalam pertemuan
Untuk makluman, saya pernah
menyiarkan petikan catatan mengenai kandungan mesyuarat itu di blog saya pada
18 Mac 2011. Kemudian, dalam sesi pertemuan semula dengan Muhyiddin pada 23 Mac
2011, Dr Lim Swee Tin tampil mengatakan bahawa kandungan
catatan di blog itu adalah palsu, tidak benar dan fitnah. Muhyiddin tidak
melayan kata-katanya.
Pada 16 Mac 2011, Lim Swee Tin
menggantikan tempat Profesor Datuk Shamsul Amri Baharuddin (yang berada di luar
negara) untuk membentangkan perakuan panel bebas kepada Muhyiddin.
Timbalan Perdana Menteri melahirkan
rasa gembira kerana panel bebas secara konsensus (sebulat suara) bersetuju
meminda frasa “kasta Paria” yang menjadi isu pokok. Bagaimanapun, beliau
mengakui bahawa isu Interlok edisi murid belum selesai kerana
masyarakat India khasnya sedang menunggu hasil daripada panel bebas.
Turut diakui oleh Muhyiddin bahawa
ini adalah teks sekolah dan boleh dipinda dan disesuaikan. Bagaimanapun, hanya
perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti kaum India akan dipinda kerana kaum Melayu dan Cina “tidak bangkitkan isu”.
Berdasarkan resolusi yang diperakukan panel bebas secara konsensus, isu “kasta Paria” sudah berjaya diselesaikan. Beberapa saranan sudah dikemukakan berhubung isu kaum India dan Muhyiddin mahu menyelesaikan isu terbabit secara menyeluruh supaya tidak ada isu berulang selepas ini.
Muhyiddin berkata, beliau sudah
membaca semua cadangan dalam senarai yang diperakukan panel bebas; dan didapati
bukan hanya berkaitan perasaan (sensitiviti) kaum India, tetapi juga soal
bahasa dan kesalahan fakta.
Kalau boleh, Menteri Pendidikan
meminta panel bebas melihat semula cadangan-cadangan oleh anggota panel kaum
India kerana beliau “tak nak debat berpanjangan”.
Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan
Pustaka (DBP) waktu itu, Datuk Termuzi Abd Aziz mencadangkan supaya perhatian
pindaan ditumpu pada “paria” sahaja serta meminta konsensus panel bebas “ubah
itu sahaja” dengan alasan “kerana itu yang timbulkan masalah besar”.
Rajendran menegaskan bahawa pada mesyuarat pertama panel bebas (16 Februari 2011), keputusan sudah diambil bahawa perkara-perkara
yang menyentuh sensitiviti kaum perlu dipinda bagi mencari “jalan penyelesaian
kepada kemelut”.
Datin Siti Saroja Basri menyatakan bahawa suaminya, Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain (Pak Lah) sebenarnya tidak setuju satu
perkataan pun ditukar tetapi sedia berkorban dan membenarkan “kasta Paria”
dipinda.
Isu sebenar bukan
sekadar frasa “kasta Paria”
Munyiddin berkata, panel bebas tidak
harus mengungkitkan kesalahan bahasa dalam novel ini kerana semacam mengajar
pengarang bagaimana untuk menulis dengan betul.
Termuzi sekali lagi berkata, lebih
baik hanya “kasta Paria” dipinda kerana itulah “persoalan pokok”; khususnya
selepas wakil kaum India sudah membuktikan bahawa watak Maniam bukan seorang “paria” seperti dinyatakan novel ini.
Rajendran berkata, perkara-perkara
menyentuh sensitiviti kaum India perlu juga dibetulkan (dimurnikan) kerana
ketiga-tiga wakil kaum India membawa “suara” masyarakat India.
Termuzi berkata, ketiga-tiga wakil
kaum India sepatutnya menjelaskan kepada masyarakat India mengapa hanya “kasta
Paria” ditukar/dipinda.
Lim Swee Tin berkata, novel Interlok bukan
teks sejarah. Katanya, perkara penting yang perlu ditukar adalah “Paria”
sahaja, manakala “yang lain jika perlu sahaja”. Beliau juga berharap wakil kaum
India “dapat bertolak-ansur dan bertoleransi” dalam hal ini.
Untuk makluman, cadangan pindaan
sudah pun dipersetujui secara konsensus sebelum diserahkan kepada Muhyiddin.
Akan tetapi, apabila bertemu menteri itu, masing-masing mula seolah-olah merapu
dan mengampu.
Sudah mula jelas seakan-akan ketiga-tiga wakil kaum India (nota: bukan wakil MIC) akan dipergunakan untuk merealisasikan agenda tertentu. Minoriti cuba dimanipulasi oleh majoriti. Apakah minoriti akan tunduk?
Saya mengingatkan Muhyiddin bahawa saranan
pindaan yang dikemukakan wakil kaum India sudah diperakukan secara konsensus oleh
panel bebas pada 4 Mac 2011.
Diingatkan
juga bahawa memang sararan itu meliputi aspek kesilapan bahasa, kesalahan fakta dan
perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti kaum India.
Novel Interlok: Edisi Murid (nota: bukan edisi asal) dijadikan teks mata
pelajaran Bahasa Malaysia, maka aspek bahasa dan tatabahasa perlu
dilihat juga. Bagi kesalahan fakta, diberi cadangan pemurnian. Maka, semua
perakuan cadangan ini tidak keluar daripada terma rujukan panel
bebas.
Menteri Pendidikan berkata, frasa
“kasta Paria” memang bersifat menghina tetapi “yang lain-lain saya tak pandang
serius”. Saya berkata, apabila berlaku kesalahan fakta, maka kesalahan fakta
itu menyentuh sensitiviti kaum India.
Muhyiddin berkata, Pak Lah adalah
seorang pengarang dan kita (panel bebas) tidak boleh membetulkan seorang
pengarang. Ringkasnya, kata beliau, “tak ada lain yang bersifat menghina”.
Asakan demi asakan
terpaksa ditangkis
Lim Swee Tin berkata, panel bebas memperakukan enam resolusi pada 4 Mac 2011 dan diserahkan
kepada Menteri Pendidikan, dan “boleh pilih satu yang paling bijak” serta juga
“peluang kepada Uthaya untuk menyenaraikan manakah yang benar-benar mengguris
hati masyarakat India; dibawa untuk kita (panel bebas) perakukan pembaikan”.
Muhyiddin berkata, hanya khususkan
pada perkara yang menyentuh sensitiviti, perasaan dan berbentuk penghinaan
serta pilih yang paling penting sahaja. Beliau tidak mahu “resolusi” tapi
“keputusan” daripada panel bebas supaya boleh dikemukakan di Dewan Rakyat pada 24 Mac 2011.
Beliau meninggalkan bilik perjumpaan
dan Lim Swee Tin mengambil alih tugas pengerusi. Beliau meminta wakil kaum
India menyenaraikan hal-hal yang benar-benar menyentuh sensitiviti kaum India;
selain memikirkan “sensitiviti Sasterawan Negara”.
Lim Swee Tin berkata, panel bebas
akan membuat resolusi tunggal sahaja nanti. Bagi saya, sudah nampak bibit-bibit
bahawa beliau yang sebelum ini berani menyarankan 20 halaman novel Interlok: Edisi Murid dibuang begitu
sahaja dengan alasan “novel ini terlalu panjang”, kini sudah “berubah” atas alasan
tertentu. Beliau seolah-olah sudah mahu bersama-sama majoriti kerana mungkin
suara majoriti lebih lantang.
Termuzi berkata, Pak Lah setuju meminda “kasta Paria” sahaja. Rajendran berkata mewakili minoriti bahawa wakil kaum India (minoriti) akan menyenaraikan perkara-perkara yang “benar-benar sensitif dan mesti ditukar”.
Lim Swee Tin berkata, perlu
disenaraikan dahulu kerana antara perkara yang disenaraikan sebagai “sensitif”
oleh kaum India (minoriti) “mungkin boleh diterima masyarakat umum” (majoriti).
Krishnabahawan berkata, ketiga-tiga
wakil kaum India setuju “kasta Paria” dipinda dan pada masa sama, perlu juga
dibuat pindaan pada perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti kaum India
sebagaimana diperakukan pada 4 Mac 2011.
Lim Swee Tin berkata, tidak
semestinya pandangan wakil kaum India diterima kerana katanya “kita bincang
dulu ... terserah pada DBP dan Pak Lah”.
Saya berkata, segala perkara yang
terkandung dalam senarai yang dikemukakan wakil kaum India serta sudah diperakukan panel bebas
pada 4 Mac 2011 adalah mewakili kaum India; bukan mewakili kami bertiga sahaja.
Saya mengemukakan contoh peribahasa
Tamil yang salah di halaman 209. Termuzi
berkata, “itu fakta salah. Yang kita hendak sekarang, benda yang
sensitif”.
Pengalaman yang
memperkasa golongan minoriti
Saya berkata, perkara itu menyentuh
sensitiviti kerana perkataan “varataku” tidak wujud. Termuzi terus
berkata, “kalau tak wujud dalam Bahasa Tamil, tak sensitiflah”.
Lim Swee Tin berkata, “anggapkan penulis itu (Pak Lah) salah. ... Biarkan pengarang itu yang
bertanggungjawab kepada kesilapan yang dia buat. ... Hukumannya adalah bahawa
Pak Lah tak pandai”.
Termuzi dan Lim Swee Tin hampir
serentak berkata, “kita tolak sahajalah (cadangan pindaan) yang ini”.
Saya merujuk halaman 211 berkaitan
lokasi Malabar di mana “ini menyentuh sensitiviti kerana apa yang dinyatakan di
sana sudah salah”. Lim Swee Tin berkata, “itu tak sensitiflah, Uthaya” manakala
Termuzi berkata, “salah fakta tak sensitif”.
Lim Swee Tin mula mengecilkan skop
dengan berkata, “yang menyentuh sensitiviti dari segi agama”. Manakala
perkara-perkara yang dikemukakan wakil kaum India disifatkan sebagai “kesilapan
pengarang. ... Biarkan zaman menghukum atau pun mengadilinya, bukan kita”.
Termuzi berkata, “memanglah fakta tu
salah, tapi tak nampak jadi sensitif”.
Selepas terus diasak, ketiga-tiga
wakil kaum India meminta kebenaran untuk keluar dari bilik untuk berbincang.
Hasil perbincangan, kami bertiga memutuskan untuk berundur dari panel bebas. Kami berpegang teguh bahawa
keputusan yang dipersetujui semua anggota panel bebas secara konsensus adalah
apa yang diperakukan pada mesyuarat 4 Mac 2011.
Kami tahu bahawa kalau kami terus
berada dalam mesyuarat itu, minoriti akan terus diasak, diperlakukan sesuka
hati dan cuba dipergunakan bagi membolehkan kumpulan majoriti mencapai agenda
terancang yang diimpikan.
Kemudian, pada 23 Mac 2011, kami
bertiga diundang bertemu semula dengan
Muhyiddin. Kami menegaskan bahawa kami tidak mahu bermesyuarat lagi kerana
sudah keluar daripada panel bebas yang ternyata pincang.
Dalam pertemuan itu – yang anehnya
turut dihadiri “majoriti” sebagai penonton – Muhyiddin memberikan jaminan bahawa
kesemua saranan pindaan yang dikemukakan wakil
kaum India akan dibuat.
Tentulah janji itu tinggal janji kerana hanya 19 pindaan dilakukan dalam versi novel yang dicetak semula oleh DBP dengan persetujuan MIC. Kavyan pula terus menolak pemurnian yang tidak menepati konsep
“janji ditepati” tetapi itu kisah yang lain pula – BACA DI SINI.
Apa yang pasti, minoriti perlu berani
bersuara walaupun majoriti kelihatan gah dan gagah. Ingatlah bahawa Tuhan sentiasa
bersama-sama orang yang benar. Semoga catatan berdasarkan pengalaman saya dalam
isu novel Interlok: Edisi Murid
menjadi pedoman serta menjawab pelbagai persoalan. – Baca juga: Interlok dan Tokoh Lidah Bercabang
[Makalah ini ditulis pada 11 Disember 2014 berdasarkan catatan lama dan
disiarkan di Projek Dialog pada 11 Disember 2014. BACA KOLEKSI MAKALAH BERKAITAN DI SINI. © Uthaya Sankar SB 2014. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini
serta segala kandungan di Blog Uthaya
Sankar SB atas pilihan
sendiri.]