Hang Tuah yang khabarnya berketurunan Bugis
dipercayai pernah berkata, “Takkan Melayu hilang di dunia”.
Dalam pada akur dan percaya kepada
kata-kata itu, saya sebenarnya lebih risau memikirkan kemungkinan Perkara 160
Perlembagaan Persekutuan dimanipulasi golongan tertentu yang menjadi semacam “musuh
dalam selimut” lalu “merampas” Hak Istimewa Orang
Melayu “secara sah”.
Untuk rekod, analisis ini tidak bertujuan
mempertikaikan Hak Istimewa Orang Melayu serta golongan Bumiputera di Sabah dan
Sarawak. Sebaliknya, sebagai peringatan supaya jangan pula sampai ke tahap kera
di hutan disusukan, anak di pangkuan mati kelaparan.
Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah
semasa Majlis Syarahan Perdana Budaya di Petaling Jaya pada 7 November 2012
antara lain bertitah bahawa sesungguhnya wujud kebimbangan orang Melayu tentang kemasukan kaum
imigran Cina dan India ke Tanah Melayu sejak kurun ke-19 hingga pertengahan
kurun ke-20.
“Demi memastikan orang Melayu tidak menjadi
minoriti di bumi warisan pusaka bangsanya, Raja-raja Melayu menzahirkan saranan
kepada pentadbiran Inggeris (sebelum merdeka) supaya tenaga kerja asing
diimbangi dengan turut mengambil tenaga kerja dalam kalangan orang-orang Jawa,”
titah baginda dalam teks yang turut disiarkan di majalah Dewan Masyarakat (Januari 2013).
Sejak kecil, sewaktu membesar di Taiping, Perak, saya ada rakan-rakan pelbagai kaum, agama, etnik dan latar belakang.
Bagi saya, orang Melayu adalah orang yang benar-benar berdarah Melayu serta
beragama Islam.
Akan tetapi, menjelang usia remaja, saya
menyedari bahawa tanggapan dan andaian saya salah; sekurang-kurangnya secara
teknikal. Ada beberapa individu yang saya kenali sebenarnya kaum India dan Cina tetapi tiba-tiba
menjadi “Melayu” apabila memeluk Islam.
Sesungguhnya, Perkara 160 Perlembagaan
Persekutuan mendefinisikan “orang Melayu” sebagai individu yang menganut agama
Islam, bercakap bahasa Melayu dan mengamalkan adat Melayu. Anak-anak kepada
individu terbabit juga secara automatik memenuhi definisi “orang Melayu”.
Tentu sahaja saya tidak sedikit pun berniat
mempertikaikan apa-apa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan; khususnya
Perkara 160 (definisi “orang Melayu”) dan Perkara 153 (Hak Istimewa Orang
Melayu).
[Makalah
ini ditulis pada 21 Februari 2013 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 25 Februari
2013. Makalah penuh boleh dibaca dalam buku Malaiur Manikam. Sila KLIK DI SINI untuk beberapa lagi
makalah berkaitan Melayu dan Islam. © Uthaya Sankar SB
2013. Harap maklum bahawa anda membaca
makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]