Kejayaan Datuk Guluji menjadi pemimpin kultus yang disegani dan dikagumi tidak berlaku sekelip mata. Semuanya berkat kesungguhan dan perancangan teliti yang dilakukan tanpa kenal erti menyerah kalah.
Pada usia muda, Guluji – atau nama sebenarnya Gulu – pernah cuba menjadi pendeta yang menguruskan upacara keagamaan di kuil. Akan tetapi, dia menjadi bosan kerana perlu menguruskan upacara pemujaan enam kali sehari; sekali gus tidak membolehkannya berehat dan bermalas-malasan.
Kemudian, pada suatu hari, dia memaklumkan telah menerima utusan daripada para dewa untuk memulakan kultus baharu yang dikatakan bakal menyelamatkan para pengikut daripada api neraka.
Gulu segera meninggalkan kerja sami di kuil dan menjadi Guluji yang berkaliber. Dia mula mendedahkan kepincangan dalam sistem dan organisasi pengurusan kuil Hindu, sekali gus menarik ramai orang menjadi pengikut.
“Dewa-dewi sudah tiada di kuil dan di dalam berhala. Para dewa kini bersama saya. Tinggalkanlah kuil dan berhala yang tidak mampu memberikan apa-apa,” kata Guluji dengan berani dalam ceramahnya.
Satu-satunya perkara baik yang Guluji peroleh semasa menjadi pendeta di kuil adalah pertemuan dengan seorang ibu tunggal yang datang bersembahyang setiap hari dan kemudian menjadi isterinya. Wanita itu mewarisi harta dan perniagaan pajak gadai daripada suami yang diceraikan.
Harta itu cukup untuk tiga keturunan. Maka, mudahlah untuk Guluji bermalas-malas sambil menggaru-garu kote; bukan merujuk kepada “alat kelamin lelaki, konek, zakar, pelir” dalam budaya Melayu, tetapi dalam konteks orang Tamil.
Setiap hari, Guluji menyampaikan pelbagai ilmu baharu yang diterima daripada para dewa. Para pengikut semakin bertambah kerana lelaki itu bijak membuat promosi dan pemasaran mengikut trend semasa.
Guluji Mahu Bunuh Diri
Siapa sangka seorang lelaki buta huruf mampu menjadi ketua kultus yang amat berjaya. Setiap tutur kata dicatat sekumpulan pembantu yang dibayar secara bulanan dari akaun perniagaan pajak gadai milik isteri. Setiap kata Guluji yang terkandung dalam teks itu dianggap suci—mengatasi segala veda dan kitab agama Hindu.
Menurut si empunya cerita, pernah berlaku keadaan di mana selama dua minggu Guluji tidak mendapat khabar baharu daripada para dewa. Maka, tidak dapatlah dia berkongsi mesej baharu dalam sesi ceramah. Para pengikut pula mula hilang minat kerana mereka mengharapkan sesuatu yang baharu dalam setiap ceramah Guluji.
Guluji takut kehilangan para pengikut setia. Samalah seperti pempengaruh (influencer) di TikTok. Maka, dia memutuskan mahu membunuh diri! Dia khabarnya naik ke tingkat lima bangunan milik perniagaan pajak gadai.
Akan tetapi, dia tidak jadi membunuh diri. Menurut empunya cerita, Guluji terkencing dan terberak sewaktu berdiri di tubir dan memandang ke bawah dari atas bangunan lima tingkat.
Dia segera berlari ke tempat ceramah dan memanggil para pengikut berkumpul. (bersambung) [Cerpen penuh boleh dibaca dalam Kumpulan Cerpen Baharu]
(Kisah ini adalah sebahagian daripada siri tulisan mengenai kultus dan ajaran sesat dalam kalangan umat Bukan Islam. © Uthaya Sankar SB 2023. Nikmatilah juga – Cerita Guluji Tentang Asal Usul Bumi – Menghadiri Ceramah Khas Datuk Guluji – Kisah Guluji Bertemu Dewa Indra – Generasi Penerus Tradisi – Kisah-kisah Guluji dan Kisah Uthaya Masuk Lokap.)