Apabila mendengar kanak-kanak menyanyi lagu “Twinkle, Twinkle, Little Star”, saya sentiasa teringat pelbagai kisah dongeng, mitos, dan purana yang disampaikan Pak Cik Gulu semasa saya budak-budak.
Katanya, bintang di langit sebenarnya lampu yang diletakkan para dewa sebagai hiasan, sebagaimana lampu pelbagai warna digantung semasa musim perayaan.
“Bintang adalah peluru berpandu digunakan para dewa untuk menyerang golongan asura yang sentiasa cuba mencuri amrita,” Pak Cik Gulu yang menyewa di sebelah rumah saya bercerita sambil merujuk kepada kisah Samudra Mathana melibatkan golongan sura (dewa) dan asura dalam beberapa mitos dan purana Hindu.
Hanya apabila meningkat remaja dan banyak membaca, saya sedar bahawa tahi bintang atau shooting star yang dimaksudkan oleh Pak Cik Gulu sebenarnya meteor, komet, dan asteroid yang terbakar apabila menerjah masuk ke ruang udara Bumi.
Namun begitu, sewaktu masih kanak-kanak dan penuh kejahilan, saya percaya bulat-bulat segala dongeng disampaikan lelaki itu.
“Para dewa mencipta Bumi dahulu. Kemudian barulah langit dan syurga dicipta daripada gumpalan asap. Kalau awak mahu tahu, dulu Bumi dan syurga bercantum. Kemudian, para sura iaitu dewa pergi tinggal di langit iaitu syurga,” katanya dengan penuh semangat.
Apabila dewasa, saya menyedari Pak Cik Gulu mencedok mitos Sumeria dan mempersembahkannya sebagai purana Hindu. Sebagai seorang lelaki buta huruf, mungkin dia hanya mendengar pelbagai cerita dari pelbagai sumber dan kemudian mengadun kesemuanya menjadi sebuah cerita yang sedap didengar.
Anehnya, cerita-cerita dongeng yang disampaikan Pak Cik Gulu bukan hanya memikat hati kanak-kanak seperti saya. Lama-kelamaan, saya menyedari bahawa golongan dewasa juga mempercayai bulat-bulat segala dongeng disampaikan Pak Cik Gulu dengan penuh bersemangat.
Para pengikut Pak Cik Gulu menggelarnya “Guluji” dan menjadi pengikut kultus baharu yang diasaskannya. Pada waktu itu, saya sudah meningkat remaja dan menyedari semua itu hanyalah ajaran sesat yang menyimpang jauh daripada Sanatana Dharma atau Hinduisme.
Matahari dan Bulan Bercantum
Pak Cik Gulu mempercayai – dan menyebarkan dakyah – bahawa matahari mengelilingi Bumi; bukan sebaliknya. Bulan pula diumpamakan seorang gadis yang berlari untuk mengejar dan bersatu dengan matahari yang dicintainya sepenuh hati.
“Adakah pertemuan pasangan itu menyebabkan gerhana?” Demikian saya terdengar seorang pengikut dalam kultus itu bertanya.
“Oh, tidak! Gerhana berlaku apabila para dewa bertindak menyembunyikan matahari untuk menakut-nakutkan dan mengingatkan umat manusia di muka Bumi supaya sentiasa menyembah mereka,” jawab Pak Cik Gulu, lalu disahut laungan Jai Guluji yang berkumandang di ruang kecil dijadikan tempat para pengikut kultus berkumpul mendengar ceramah.
Para penduduk tidak berpelajaran ternyata amat mudah mempercayai segala dongeng yang diubah suai dan disampaikan dengan penuh meyakinkan oleh lelaki itu.
Menurut Pak Cik Gulu, suatu hari nanti, matahari dan bulan akan bercantum bagai pasangan kekasih yang berkahwin dan hidup bahagia.
Secara saintifik, saiz matahari sekitar 400 kali lebih besar daripada saiz bulan. Maka, kalaulah pun bulan berjaya mengejar matahari dan bercantum dengannya, ia umpama seekor lalat hinggap pada tubuh manusia. Pasti bukan seperti pasangan kekasih bertemu!
“Malah, bulan pasti terbakar dan hangus kalau ia menghampiri matahari,” kata saya untuk cuba menyedarkan beberapa rakan yang turut menyertai kultus itu pada usia remaja.
“Awak jangan nak tunjuk pandai! Jangan sangka awak lebih bijak daripada Guluji semata-mata kerana awak rajin membaca pelbagai buku manakala Guluji pula buta huruf!”
Demikian reaksi yang biasa saya terima daripada masyarakat setempat yang semakin tertarik untuk menyertai kultus diketuai Guluji.
Kisah-kisah dongeng yang pernah diceritakan Pak Cik Gulu semasa saya budak-budak mula bertukar menjadi inti ceramah keagamaan yang disampaikannya kepada orang ramai.
Video Tular
“Tahukah awak semua mengapa ada siang dan malam?” tanyanya dengan penuh dramatik pada sesi siaran langsung menerusi media sosial. “Para dewa memberitahu saya bahawa mereka membawa selimut hitam dan menutup seluruh permukaan Bumi. Maka, terjadilah malam yang diciptakan para dewa supaya manusia boleh berehat dan melelapkan mata.”
Kisah-kisah dongeng seperti itu menjadi tular dan ditonton orang ramai, termasuk individu bukan ahli kultus pimpinan Guluji. Sungguh menghairankan kerana mereka menerima bulat-bulat cerita Pak Cik Gulu; kononnya matahari masuk ke dalam laut untuk menyejukkan badan, lalu tidur untuk merehatkan diri sepanjang malam sebelum diseru mengelilingi Bumi pada keesokan hari!
“Awak semua akan terselamat jika patuh pada arahan dan pengajaran saya. Kalau tidak, tiang-tiang yang menyokong langit akan patah, lalu langit runtuh menghempap kepala awak semua.”
Video ceramah itu antara yang paling banyak disebarkan menerusi WhatsApp. Masing-masing memuji dan memuja Guluji sebagai mahaguru dan jelmaan dewa yang mampu menyelamatkan umat manusia daripada kemurkaan para dewa di syurga.
Ilustrasi ini tular sejak perang Israel-Hamas pada Oktober 2023 |
Saya terfikir juga mahu melaporkan ajaran sesat ini kepada pihak berkuasa. Akan tetapi, sebuah pertubuhan agama Hindu yang saya hubungi mengesahkan mereka tidak mampu berbuat apa-apa.
“Kita bukan macam agama tertentu yang dilindungi undang-undang khas. Ada macam-macam ajaran sesat dan kultus yang pelik-pelik dalam kalangan penganut Hindu di Malaysia. Kita tidak mampu berbuat apa-apa selagi mereka tidak melanggar undang-undang negara. Malaysia Hindu Sangam pun tak boleh cabut walau sehelai rambut orang seperti Guluji.”
Demikianlah maklum balas yang saya terima sejak usia remaja. Memang benar juga. Kultus pimpinan Pak Cik Gulu semakin berkembang dan popular. Dia sentiasa memastikan tidak menyentuh apa-apa tentang agama lain, khususnya agama penduduk majoriti. Sasarannya ialah kaum India beragama Hindu.
Sehingga hari ini, saya masih hairan bagaimana cerita-cerita dongeng Pak Cik Gulu yang saya dengar semasa berumur lima atau enam tahun masih mampu memikat dan menggoda orang ramai untuk menyertai kultus pimpinannya.
“Gumpalan awan di langit tidak bergerak sendiri. Sebaliknya, ada dewa yang ditugaskan mengembala awan-awan itu supaya bergerak di langit. Angin yang bertiup juga sebenarnya dihantar para dewa di syurga.”
Saya pernah mempercayai kisah-kisah dongeng seperti itu semasa budak-budak. Anehnya, para pengikut kultus yang sudah dewasa dan berpendidikan juga masih terpedaya mendengar cerita “Guluji” mereka!
Thor, Zeus, Perun
Katanya, kalau sesiapa tidak mematuhi ajarannya, maka para dewa akan menghantar petir dan kilat untuk menghukum mereka. Tidak mustahil Pak Cik Gulu mendapat pengaruh dan ilham daripada mitos Greek berkaitan Thor, Zeus, dan Perun.
Isi ceramahnya turut meminjam kisah-kisah daripada teks seperti Mahabharata, Yajur Veda, Matsya Purana, Brahma Purana, Garuda Purana, Linga Purana, Agni Purana, dan Bhagavata Purana.
Misalnya, apabila berceramah tentang asal usul Bumi, ketua kultus itu berjaya meyakinkan para pengikutnya bahawa Bumi adalah leper!
“Sebagaimana sudah tercatat dalam kitab-kitab lama, ada seekor ikan yang besar. Di atas ikan itulah terletak Bumi yang leper seperti sekeping capati,” katanya. “Apabila ikan itu berenang, Bumi mula bergegar. Maka, para dewa menggunakan gunung-ganang sebagai klip atau pin untuk mencucuk permukaan Bumi supaya ia tidak lagi bergegar.”
Segala ajarannya bukan sahaja tidak saintifik, malah tidak dapat diterima akal rasional. Anehnya, video kisah-kisah dongeng seperti itu cepat menjadi tular dan para pengikut kultus pimpinannya juga semakin bertambah.
Mungkinkah suatu hari nanti, jumlah pengikut Guluji mengatasi jumlah penganut Hindu di sini?
(Kisah ini adalah sebahagian daripada siri tulisan mengenai kultus dan ajaran sesat dalam kalangan umat Bukan Islam. © Uthaya Sankar SB 2023. Nikmatilah juga – Menghadiri Ceramah Khas Guluji – Datuk Guluji dan Para Dewa – Kisah Guluji Bertemu Dewa Indra – Generasi Penerus Tradisi – Kisah-kisah Guluji dan Kisah Uthaya Masuk Lokap.)