Orang ramai telah dipelawa menjadi pembaca beta [baca di sini] dan berkongsi pandangan ikhlas selepas membaca petikan awal sebuah cerpen bertajuk “Chellam Akka”. Berikut pandangan yang diterima:
* * *
Perenggan
awal cerpen ini menimbulkan tanda tanya, siapakah Chellam Akka? Apakah kisah penting yang dialami oleh
pencerita dengan watak itu? Dan adakah “pemergiannya” bermaksud Chellam Akka sudah meninggal dunia?
Demikian saya berfikir apabila membaca dua perenggan pertama pada cerpen ini.
Pada
pemerhatian saya, watak Subramani Taata tinggal di dua alam. Dia menjana
pendapatan dengan membuat dua pekerjaan, iaitu sebagai pembersih hospital dan saamiyaar. Mungkin dia telah menyembuhkan penyakit
penduduk kampung. Dia tidak suka bergaul dengan orang, nanti ada orang akan
korek kisah anaknya.
Watak Chellam
Akka dalam petikan awal cerpen ini mungkin kematian suami pada usia muda dan
perutnya buncit kerana mengandung. Mungkin juga bayi yang berada dalam
kandungannya adalah anak luar nikah dan perempuan muda itu sebenarnya belum
berkahwin dan bukan juga seorang balu.
Gaya penulisan
pada petikan awal cerpen ini mengajak pembaca untuk berfikir tentang watak-watak
yang nampak agak pelik pada pandangan pencerita. Semua watak digambarkan
sungguh asing. Perangai anak-beranak itu (Subramani Taata dan Chellam Akka) sungguh
misteri. Gaya bercerita dan gaya penulisan cuba mengekalkan kesan misteri itu.
Apa yang
mungkin berlaku seterusnya? Sebagai seorang pembaca beta, saya membayangkan watak
Chellam Akka bersalin dan melahirkan seorang bayi perempuan yang comel. Subramani Taata pula menggunakan bayi itu
(cucu) pada upacara menurun. Chellam Akka tidak suka anaknya dipergunakan begitu.
Pada suatu ketika, bayi itu hilang. Lalu,
Chellam Akka menjadi gila dan bapanya (Subramani Taata) dibunuh. Demikian
andaian saya apabila membaca petikan awal cerpen ini.
Mahendran dilahirkan di Bentong, Pahang.
Beliau berkecimpung dalam bidang penulisan cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil
sejak tahun 1987. Karupaya (2018) ialah kumpulan cerpen sulung beliau manakala Thalaivar
(2021) kumpulan cerpen bahasa Tamil. Karya-karya Mahendran boleh dibaca di
portal Sastera Kavyan, Eksentrika,
Cukaria, blog peribadi, serta di majalah Thendral
dan Vanampadi.
* * *
Saya
memang tertarik dengan perenggan awal cerpen ini kerana dapat meneruskan minat
untuk membaca dengan membawa pembaca ke satu zaman yang lain. Saya dapat
rasakan ada unsur saspens pada permulaan cerpen ini. Sebgai seorang pembaca
beta, saya mula kembali dua puluh lima tahun yang lalu bersama watak pencerita
dalam cerpen ini.
Bagi
saya, watak Subramani Taata seorang manusia biasa yang bekerja di siang hari
dan menggunakan keistimewaan yang ada pada didinya pada waktu malam. Dengan
cara ini, dia cuba membantu mereka (orang ramai) yang menghadapi kesukaran
dalam hidup. Semua ini dilakukan dengan kepercayaan yang diberi oleh penduduk
setempat terhadap Subramani Taata.
Sementara
itu, pada penelitian saya, Chellam Akka merupakan watak yang penuh misteri.
Banyak persoalan yang timbul semasa saya membaca bahagian awal cerpen ini. Saya
cuba menjawab soalan-soalan tersebut dalam kepala, namun saya masih kurang
berpuas hati dengan jawapan yang saya dapat bayangkan. Tidak banyak penceritaan
mengenai watak Chellam Akka pada bahagian awal cerpen kecuali gambaran bahawa dia
bersari putih dan berperut buncit, Jadi, saya nantikan sambungan cerpen ini
untuk mengetahui kisah sepenuhnya.
Membaca
petikan awal cerpen ini membawa saya kembali ke zaman kanak-kanak di mana saya sendiri
berpeluang untuk berjumpa dengan seorang individu seperti Subramani Taata. Apa
yang disajikan dalam cerpen ini hampir sama dengan individu yang pernah saya
jumpa. Tulisan ini menarik minat saya untuk mengetahui lebih lanjut mengenai
siapakah sebenarnya Chellam Akka dan hubungannya dengan Subramani Taata.
Selepas
membaca petikan awal sepanjang sekitar 330 perkataan, saya rasa agak sukar
untuk menjangkakan apa yang akan berlaku seterusnya dalam cerpen ini. Saya
tiada jawapan bagi beberapa soalan yang muncul dalam kepala semasa mambaca petikan
cerpen ini. Saya rasa, dua watak utama dalam cerpen ini datang ke tempat baharu
selepas sesuatu berlaku kepada Chellam Akka dan dia memerlukan perlindungan
untuk meneruskan kehidupan.
Anuradha
Chelliah berasal dari Banting,
Selangor. Beliau merupakan graduan Sarjana Muda Pembangunan Manusia dan
seterusnya menyambung pelajaran dalam bidang Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai
Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Putra Malaysia (UPM). Beliau mengajar Bahasa
Inggeris di SK Sri Langat, Banting, Selangor. Beliau telah menghasilkan
beberapa antologi termasuk lima antologi bersama kumpulan Sasterawan Kavyan.
Antara antologi beliau adalah Busana
Bahasa (2019), Landasan Hidup
(2020), Peluru Aksara (2020), Lakaran
Diri (2022) dan Seruling Malam (2024).
Beliau terus aktif dalam penulisan cerpen dan puisi. Beliau juga menjadi
pembaca beta untuk beberapa cerpen tulisan Uthaya Sankar SB. Karya-karya beliau
boleh dibaca di Eksentrika
dan Sastera Kavyan.
* * *
Apabila saya membaca petikan awal cerpen ini, saya mendapati dua perenggan
awal ini memiliki cangkuk naratif yang sangat berkesan dan menarik minat saya
untuk meneruskan pembacaan. Gabungan elemen nostalgia sewaktu watak pencerita
berumur tujuh tahun, misteri tidak banyak perkara yang mampu saya ingat, dan peristiwa
dramatik pemergian watak Chellam Akka membangkitkan rasa ingin tahu yang kuat
untuk mengetahui kelibat Chellam Akka dan kisah di sebaliknya.
Pada penelitian saya, watak Subramani Taata digambarkan sebagai individu
yang kompleks dan misteri. Seorang yang pendiam dan tertutup dalam kehidupan
seharian, tetapi memiliki personaliti lain yang sangat berbeza dan mempunyai kuasa
mistik ketika dalam keadaan menurun (trance); menunjukkan sisi lain yang
sangat menarik dalam dirinya.
Manakala Chellam Akka muncul sebagai watak yang diselubungi
misteri. Kehadirannya yang berperut buncit tanpa suami mencetuskan cerita tidak
enak di kampung, menggambarkan dia mungkin mangsa kepada stigma masyarakat. Wataknya
dizahirkan melalui perspektif masyarakat serta menimbulkan rasa simpati dan
ingin tahu dalam diri saya sebagai pembaca beta.
Gaya penulisan penulis sangat puitis serta berjaya mencipta
suasana misteri dan nostalgia. Penggunaan metafora seperti tayangan filem
pendek dan penyampaian cerita melalui sudut pandang kanak-kanak yang terhad tetapi
diselangi kefahaman dewasa, memberikan kedalaman dan daya tarikan yang kuat pada
cerita.
Selepas membaca petikan awal cerpen sepanjang sekitar 300 perkataan,
saya menjangkakan naratif akan mendedahkan tragedi kelam Chellam Akka yang
mungkin berkaitan dengan kehamilannya dan faktor sebenar pemergiannya. Konflik
mungkin timbul apabila masyarakat yang dahulu menjauhkan diri kini mahu
mendapatkan khidmat bapanya; sekali gus menimbulkan ketegangan antara rasa
ingin tahu, takut, dan hipokrasi masyarakat kampung berkenaan.
Mohd Izwan bin Mohd Ali dilahirkan di Jasin, Melaka pada 20 Julai 1988.
Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Jasin. Pendidikan
menengah beliau diteruskan di Sekolah Menengah Kebangsaan Iskandar Shah.
Seterusnya, beliau melanjutkan pengajian tinggi dalam bidang Kesusasteraan
Melayu di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Pada masa kini, beliau
berkhidmat sebagai guru Bahasa Melayu Tingkatan Enam di Sekolah Menengah
Kebangsaan Iskandar Shah. Karya beliau telah disiarkan melalui laman
Facebook Cukaria.
* * *
Berikut reaksi pembaca beta bagi cerpen-cerpen
lain: [Mukundan Sudah Mati] – [Guruji dari Jaisalmer] – [Anak Bunian] – [Darurat di Pulau Cinta] – [Kumpulan
Fiksyen Putaria] – [Siapa Bunuh Mukundan?] – [Raman dan Kultus Guruji] – [Rahasya di Pulau Cinta] – [Cinta Maya Arjuna] – [Menunggu
Kathiravan] – [Menanti Kepulangan Arjun] – [Toyol Pak Darus]