Dalam bidang penulisan di Malaysia, pasti ada juga penulis
dengan orientasi seksual yang diklasifikasikan sebagai lesbian, gay, dan
biseksual.
Tentu sahaja para penulis terbabit tidak perlu mengiktiraf (mendedahkan)
identiti seks, idenditi gender, dan orientasi seksual mereka secara terbuka.
Malah, tidak timbul pun keperluan untuk penulis terbabit
menulis khusus berkaitan isu, tema, dan persoalan golongan lesbian, gay, dan
biseksual dalam karya; fiksyen atau non-fiksyen.
Namun, pada hakikatnya, ada golongan lesbian, gay, dan
biseksual yang menghasilkan karya; sama ada karya Bahasa Malaysia, Inggeris,
Tamil, atau Mandarin.
Persoalan yang bermain dalam minda — sekurang-kurangnya
dalam minda saya — adalah: Mana Penulis Transgender?
Frasa LGBT yang sudah dikenali umum merujuk kepada golongan lesbian, gay,
biseksual, dan transgender. Golongan ini adalah
sebahagian daripada masyarakat; tanpa mengira kaum, etnik, agama, ideologi, dan
latar belakang.
Dalam buku Malaiur Manikam
(2015) dan Mandala Bicara
(2016), saya mengetengahkan beberapa isu berkaitan golongan transgender. Saya
turut diundang bercakap mengenai realiti kehadiran golongan LGBT dalam budaya
India dan Hindu; misalnya di Gerak Budaya (23 Jun 2019) dan T-Home Ampang (8
November 2019).
Saya membaca pandangan Mohamed Hatta Shaharom yang
menegaskan, kononnya, “kecelaruan psikososial dan spiritual menyebabkan
kecenderungan homoseksual dan lesbian” dan “Gerakan LGBTQ akan terus berjuang
berbekalkan pelbagai hujah sosial, psikologidan biofizikal, tidak kira selemah
mana pun hujah itu” (Sinar Harian, 15
Ogos 2020).
Kita memahami — dan melihat sendiri — diskriminasi yang
dialami oleh golongan transgender. Secara perbandingan, “nasib” golongan lesbian,
gay, dan biseksual mungkin lebih baik kerana kehadiran mereka tidak nampak
secara nyata (terbuka) sehingga dituduh menjolok mata oleh pihak yang menunggu
masa untuk mengutuk golongan LGBT.
Anwar Ibrahim pernah “menyeru semua agamawan merentasi
pelbagai agama supaya bangkit dan menyatakan sikap menolak LGBT”. Katanya,
golongan super liberal “mempromosi
gaya hidup LGBT” serta “sentiasa mendesak supaya rakyat dan negara menerima
gaya hidup LGBT” (Putaria,
2020).
Seorang kaunselor berdaftar yang mengaku sudah
mengendalikan lebih seribu golongan “songsang” mendedahkan bahawa “terdapat individu berpengaruh yang menjadi ikon kepada
kumpulan LGBT. … Pengamalnya terdiri daripada pelbagai latar belakang, termasuk
ahli politik. ... Orang agama (imam)
sendiri terlibat sebagai gay”.
Khabarnya, gerakan LGBT lantang menuntut pengiktirafan “selepas mendapat inspirasi
daripada pemimpin tertentu” (Putaria,
2020).
Walau apa-apa pun keadaan, persoalan yang timbul masih sama:
Sementara golongan lesbian, gay, dan biseksual “bebas” terlibat dalam bidang
penulisan, mengapa golongan transgender hampir tidak kelihatan? Suara mereka
tidak kedengaran.
Saya kenal seorang
sahaja penulis transgender yang aktif berkarya — tetapi bukan di media arus
perdana. Hal ini membawa kepada salah satu kekangan yang pasti dialami golongan
transgender jika mereka mahu menjadi penulis.
Penerbit, akhbar, majalah, dan rata-rata media arus perdana tentu
meminta maklumat diri penulis (nama sebenar, nombor MyKad, maklumat akaun bank, dan seumpamanya) bagi tujuan
pembayaran.
Saya amat memahami keresahan golongan transgender sekiranya
mereka berdepan situasi seperti itu; khususnya jika menghasilkan karya Bahasa Malaysia.
Akan tetapi, pada masa kini, terdapat pelbagai saluran dan
media yang membuka ruang penyiaran karya tanpa mendiskriminasi kaum, agama,
orientasi seksual, dan sebagainya.
Saya sendiri sering memaparkan di Facebook untuk menjemput dan mengajak mana-mana individu
transgender yang berminat menghasilkan karya Bahasa Malaysia.
Sesi perkongsian ilmu seperti Bimbingan Penulisan Cerpen Menerusi
E-mel, Projek Menulis Karya
200 Perkataan, Ceramah Penulisan
Menerusi Google Meet, Sesi Penulisan Intensif,
dan Projek Antologi Karya Penulis
Malaysia membuka peluang sama rata kepada semua rakyat
Malaysia — tanpa mengira kaum, agama, etnik, ideologi politik, orientasi
seksual, bahasa ibunda, dan sebagainya.
Malangnya, belum kelihatan golongan transgender memunculkan
diri untuk menulis dengan berani. Bukan semata-mata menulis mengenai isu
transgender (walaupun amat digalakkan), tetapi menulis apa sahaja karya bermutu
untuk bacaan umum.
Saya yakin dan percaya, golongan transgender amat berbakat
dalam segala bidang. Orientasi seksual yang dilabel sebagai “songsang” atau “salah”
tidak patut dibiarkan menjadi penghalang kepada hak mana-mana individu untuk “bersuara”
mewakili diri dan masyarakat.
Mustahil untuk mengatakan transgender di Malaysia tidak
menguasai Bahasa Malaysia. Lebih mustahil untuk mengatakan golongan transgender
tidak ada apa-apa kisah untuk ditulis!
Mungkin ada pelbagai sebab, alasan, halangan, dan risiko
yang menyebabkan golongan minoriti transgender masih belum cukup berani untuk “bersuara”
menerusi karya; khasnya karya Bahasa Malaysia.
Saya mengalu-alukan golongan transgender menghubungi saya (WhatsApp 011-11411952 atau e-mel uthayasb@gmail.com)
untuk berkongsi tentang cabaran dan risiko yang menghalang penglibatan mereka
dalam bidang penulisan (fiksyen dan non-fiksyen) Bahasa Malaysia.
Sama-samalah kita berusaha mencari jalan penyelesaian dan
ruang penyiaran karya bermutu yang dihasilkan. Pilihan kini di tangan anda. Tepuk
dada, tanya selera. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
Sementara
itu, saya akan terus bertanya: Mana Penulis Transgender?