28 Aug 2020

Malaysia Prihatin Satukan Kepelbagaian


Walaupun kita sudah lama hidup bersama, masih banyak perkara yang belum sempat kita ambil tahu mengenai amalan dan budaya kaum dan etnik lain. Tentulah ada pelbagai sebab dan faktor yang membawa kepada keadaan ini.

Usah kita menuding jari dan menyalahkan sesiapa. Sebaliknya, mari kita sama-sama cuba mencari penyelesaian terbaik kepada kekurangan yang sudah dikenal pasti. Sepertimana kita sedia maklum, perubahan haruslah bermula dengan diri kita.

Pada kali ini, kita cuba mengenali beberapa perkara asas mengenai kaum India. Topik ini sering saya kongsi apabila diundang menyampaikan ceramah dan kuliah. Misalnya, di Akademi Tan Kah Kee Malaysia (28 September dan 5 Oktober 2019) dan Action Group Segambut (6 Julai 2020).

Majoriti kaum India di Malaysia berketurunan Tamil. Mengikut data rasmi (1999), daripada sejumlah 1.6 juta kaum India di negara ini, sekitar 85 peratus ialah orang Tamil yang lazim bertutur bahasa Tamil. Walau bagaimanapun, pada sijil kelahiran orang Tamil biasanya tercatat “India” sebagai keturunan.

Kelompok minoriti pula terdiri daripada keturunan Malayali (sekitar 3.5 peratus) dan Telugu (sekitar 2.5 peratus). Agak menarik kerana kedua-dua komuniti ini masih mengekalkan identiti keturunan pada sijil kelahiran.

Orang keturunan Punjabi pula mewakili sekitar 3.5 peratus kaum India di Malaysia. Komuniti ini sering kali dilihat secara berasingan daripada “kaum India”. Keadaan ini mungkin berlaku kerana nenek-moyang orang Punjabi berasal dari bahagian utara negara India, manakala keturunan Tamil, Telugu, dan Malayali dari bahagian selatan.

Rencana penuh boleh dibaca dalam buku Kisah Sasterawan Kavyan (2022).

[Rencana ini adalah versi asal yang ditulis pada 16 Ogos 2020 dan tersiar dalam ruangan “Bicara Budaya” di Utusan Malaysia pada 22 Ogos 2020. © Uthaya Sankar SB. Baca juga —Kita Makin Renggang  “Mari Kita BercintaUniknya Sastera KitaElakkan Fobia”]