Baru-baru ini, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerusi laman Facebook berkongsi sebuah peribahasa Melayu yang berbunyi “Bagai cembul dapat tutupnya” dan membawa makna “sesuai benar”.
Cembul
merujuk kepada tempat meletak gambir, pinang, dan kapur, serta biasanya
diperbuat daripada logam. Ia sebahagian daripada tepak sirih tetapi generasi
muda mungkin kurang mengenalinya.
Peribahasa
itu pula bukan hanya membawa makna “sesuai benar” tetapi juga boleh digunakan
untuk merujuk kepada pasangan (kekasih atau suami isteri) yang secocok. Malah,
boleh juga digunakan apabila merujuk kepada individu yang bersikap pak turut
atau sentiasa bersetuju dengan individu lain.
Sebenarnya,
penjelasan di atas bukan perkara baharu dalam kalangan kaum India dan penutur
bahasa Tamil. Terdapat peribahasa Tamil yang membawa makna sama, iaitu disebut
sebagai “jadikketha moodi”. Malah,
istilah “cembul” berasal daripada istilah Tamil “cembu” iaitu bekas tembaga.
Agak
menarik kerana bukan sahaja banyak perkataan bahasa Tamil, Sanskrit, Malayalam,
dan bahasa-bahasa lain dari negara India sudah menjadi sebahagian daripada kosa
kata bahasa kebangsaan kita, malah banyak juga persamaan dalam peribahasa antara
budaya Melayu dan India.
Hakikat ini
tidaklah menghairankan kerana wujud hubungan rapat antara India dan Nusantara
jauh sebelum kedatangan Portugis. Catatan dalam epik klasik seperti Ramayana
dan Sejarah Melayu turut menjadi
bukti interaksi yang membawa kepada pengaruh kuat budaya India dalam kehidupan
orang Melayu.
Penduduk
pelbagai kaum di Malaysia sudah biasa dengan peribahasa Melayu yang dipelajari
sejak sekolah rendah, khususnya untuk digunakan dalam penulisan karangan.
Peribahasa kaum India dan Cina, serta etnik-etnik di Sabah dan Sarawak mungkin
kurang diketahui umum.
Sebenarnya,
peribahasa menggambarkan kebijaksanaan dan ketajaman fikiran generasi terdahulu.
Sebab itulah peribahasa terus sesuai digunakan pada masa sekarang. Pada masa
sama, banyak juga peribahasa yang merentas budaya dan latar geografi.
Misalnya,
kita sudah biasa dengan peribahasa “Perjalanan sejauh seribu batu bermula
dengan langkah pertama”. Peribahasa ini juga sudah biasa digunakan oleh penutur
bahasa Inggeris. Sebenarnya, ia peribahasa dari negara China dan mula-mula tercatat
dalam teks Dao De Jing tulisan Laozi,
seorang pengarang dan ahli falsafah.
Peribahasa
ini mempunyai nilai sejagat dan sesuai bagi semua zaman. Ia memberi motivasi
dan peringatan kepada kita bahawa sekiranya kita mahu mencapai sesuatu kejayaan
— atau mahu membereskan sesuatu tugasan — maka kita perlu memulakannya dahulu.
Langkah pertama itulah yang menjadi asas kepada usaha seterusnya demi mencapai
kejayaan.
Hal ini berbeza pula dengan mesej yang terkandung dalam sebuah peribahasa yang terkenal dalam kalangan kaum India, sama ada di India atau di Malaysia. Peribahasa berkenaan boleh diterjemahkan sebagai “Orang yang tidak pandai menari mengadu pentas tidak rata”.
Peribahasa
ini amat sinis dan mengkritik orang yang sentiasa mencari alasan atau
menyalahkan orang lain atas kegagalan dirinya. Dalam peribahasa itu,
digambarkan bagaimana seorang yang sebenarnya tidak pandai menari cuba menutup kelemahan
dengan memberi alasan kononnya persembahan tariannya tidak bagus kerana pentas
atau lantai tempat dia menari tidak cukup rata.
Tentu
sahaja kita boleh menggunakan peribahasa ini dalam konteks seharian. Misalnya,
seorang pekerja atau pegawai yang tidak mampu melaksanakan tugas dan
tanggungjawab dengan betul mungkin cuba menyalahkan pegawai bawahan atau sistem
komputer bagi menutup kelemahan.
Antara
peribahasa Melayu yang paling awal saya belajar di sekolah rendah ialah “Bagai
melepaskan anjing tersepit”. Sebagai seorang kanak-kanak yang menyayangi serta
membela anjing dan kucing, saya terpaksa menggunakan sedikit imaginasi untuk memahami
maksud peribahasa ini. Tambahan pula, ia tidak mendedahkan secara tuntas apa
yang berlaku seterusnya.
Dengan
sedikit imaginasi, kita boleh membayangkan situasi di mana seekor anjing
tersepit kakinya pada pintu, kayu atau batu. Katakanlah kita berasa simpati dan
cuba membantu anjing berkenaan. Dalam keadaan kaki tersepit, tidak mustahil
anjing berkenaan bertindak mengigit tangan kita pula.
Tentulah
anjing berkenaan tidak mengigit secara sengaja. Mungkin ia dalam kesakitan dan
tidak tahu bahawa kita mahu membantu. Sebaliknya, apabila peribahasa ini
digunakan bagi manusia, kita merujuk kepada individu yang tidak mengenang budi;
sebaliknya mendatangkan kesusahan kepada orang yang membantu.
Ternyata
peribahasa dalam mana-mana tradisi dan budaya terhasil menerusi pemikiran tajam
masyarakat silam. Tidak hairanlah ia bersifat universal dan masih sesuai
digunakan dalam pelbagai situasi pada masa sekarang.
[Rencana
ini adalah versi
asal yang ditulis pada 2 November 2020 dan tersiar dalam ruangan
“Bicara Budaya” di Utusan Malaysia pada
7 November 2020. © Uthaya Sankar SB]