18 Oct 2020

Cerita Gadis dari Estet


Saya meneliti kandungan majalah Dewan Siswa sejak keluaran pertama (Januari 1979) di Pusat Dokumentasi Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Saya tertarik dengan hiasan kulit depan dan rencana di ruangan “Pancaroba Hidup” dalam keluaran Jun 1989. Seorang remaja berumur 17 tahun, Chitra Devarajoo, yang lengkap berpakaian penari bharatanatyam (tarian tradisional Tamil) menghiasi kulit depan.

Di mana beliau sekarang? Saya tertarik untuk mengetahui kisah lanjut, khususnya beliau mengakui dirinya “segelintir daripada anggota masyarakat (India) yang masih mempertahankan seni tradisional”.

Dengan “kuasa” Facebook [lihat di sini] dan bantuan rakan-rakan yang sudi berkongsi (share) paparan saya, Chitra yang kini tinggal di Nilai, Negeri Sembilan menghubungi saya dalam masa tidak sampai 20 jam.

Agak menarik kerana semasa kanak-kanak, beliau sahaja ahli keluarga yang meminati tarian tradisional. Kini, anak sulung (24 tahun) yang merupakan siswi Universiti Malaya menjadi penari kuchipudi (tarian tradisional Telugu) sementara anak kedua (23 tahun) yang belajar bidang doktor pergigian merupakan penari bharatanatyam.

Chitra sendiri turut menjadi jurulatih sukan kabadi peringkat kebangsaan. Kisah “anak dari estet” ini cukup menarik, lalu saya memutuskan untuk menulis mengenainya sebagai suatu dokumentasi dan motivasi kepada diri dan masyarakat.

Pada mulanya, dalam perbualan kami, Chitra mengatakan bahawa tidak ada apa-apa pencapaian hebat yang boleh dibanggakan. Saya tegaskan bahawa kemunculannya lengkap berpakaian penari bharatanatyam pada kulit depan majalah Dewan Siswa pada Jun 1989 itu sendiri merupakan suatu pencapaian.

Dalam majalah itu, dikongsi pengalaman dan cita-cita Chitra yang sedang belajar Tingkatan Lima di SM Sungai Pelek. Maka, dalam perbualan kami menerusi telefon, saya cuba mengorek cerita Chitra selepas SPM.

Katanya, beliau belajar kursus kesetiausahaan di sebuah kolej swasta di Petaling Jaya, Selangor. Akan tetapi, kemudian beliau beralih ke bidang perhotelan dan mengambil kursus pengurusan hotel di bawah Persatuan Hotel Malaysia (MAH).


Chitra bekerja sebagai pengurus acara di sebuah hotel di Sepang, Selangor. Pada tahun 2016, selepas bapanya meninggal dunia, Chitra memutuskan untuk meninggalkan pekerjaan di hotel (kerana jadual kerja tidak menentu), lalu bekerja sebagai setiausaha di sebuah syarikat luar negara yang beribu pejabat di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, susulan pandemik Covid-19, syarikat berkenaan menamatkan operasi dan Chitra tidak bekerja pada masa sekarang. Tambahan pula, beliau perlu menjaga ibu yang tinggal bersama-samanya.

Walaupun beliau tidak lagi membuat persembahan bharatanatyam, Chitra tetap cuba mencari masa untuk berlatih demi meneruskan minat yang mendalam terhadap tarian tradisional itu.

Saya turut bertanya tentang bapanya, Encik Devarajoo, yang dahulu menjadi pengurus ladang di Sungai Pelek, Sepang.

“Pada tahun 1996, selepas kawasan Ladang Teluk Merbau mula dimajukan, bapa dipindahkan kerja di Sabah. Bapa menjadi pengurus ladang di sana sehingga beliau meninggal dunia pada tahun 2016,” Chitra menceritakan.

Rupa-rupanya wanita yang merendah diri ini juga jurulatih bertauliah bagi kabadi peringkat kebangsaan. Pasukannya menyertai pelbagai pertandingan dan meraih banyak kejayaan; tambahan pula acara kabadi turut dipertandingkan di Sukan Asia sejak tahun 1990.

Walaupun pada mulanya Chitra mengatakan tidak ada apa-apa kisah menarik tentang dirinya, ternyata banyak cerita yang wajar didokumentasi. Sekurang-kurangnya untuk dijadikan motivasi dalam kehidupan seharian; khususnya bagi golongan wanita yang sudah berkeluarga dan sudah lama tidak sempat mengimbas impian dan cita-cita zaman remaja.


(Nota: Baca rencana susulan di majalah Dewan Budaya, November 2020 dan buku Kisah Sasterawan Kavyan)

[Rencana ini adalah versi asal yang ditulis pada 2 Oktober 2020 dan tersiar dalam ruangan “Bicara Budaya” di Utusan Malaysia pada 10 Oktober 2020. © Uthaya Sankar SB. Baca juga —Kita Makin Renggang  “Mari Kita BercintaUniknya Sastera KitaElakkan FobiaMalaysia Prihatin Satukan Kepelbagaian Melayu Sudah Hilang Jati Diri?Generasi Muda Tidak Lupa OnamKrisis, Bencana Tonjol Sikap KitaSumbangan Penulis Tamil ke Arah PerpaduanChetti Melaka Khazanah Unik Negara”]