17 Oct 2020

Chetti Melaka Khazanah Unik Negara


Sekiranya kita berkunjung ke negeri Melaka, jangan lepaskan peluang mengunjungi Kampung Chetti di Gajah Berang. Kita akan berpeluang mengenali sebuah komuniti yang amat unik tetapi masih kurang diketahui umum.

Komuniti Chetti Melaka bermula dengan sejarah kedatangan pedagang dari Kanchipuram, Tamil Nadu, India yang datang ke Melaka sejak abad kedua. Golongan lelaki Tamil ini berkahwin dengan wanita Melayu tempatan.

Kita boleh mengunjungi muzium di Kampung Chetti untuk mendapatkan pelbagai maklumat yang menakjubkan tentang sejarah dan budaya komuniti Chetti Melaka.

Salah satu fakta penting yang perlu disedari adalah bahawa komuniti Chetti Melaka tidak sama dengan golongan Chettiar, iaitu pihak yang sering dikaitkan dengan ceti atau peminjam wang.

Komuniti Chetti Melaka bermula sebagai golongan pedagang yang mewah tetapi peredaran zaman serta penjajahan Portugis, Belanda, British, dan Jepun membuatkan kumpulan minoriti ini menjadi golongan petani miskin.

Saya mengunjungi Kampung Chetti sejak tahun 2006 dan berpeluang bergaul dengan kanak-kanak, remaja, belia, dewasa, dan warga emas yang masing-masing mempunyai pelbagai kisah menarik yang wajar didokumentasi.

Orang Chetti Melaka memiliki rupa paras kaum India tetapi mereka tidak tahu bahasa Tamil. Apabila kita mendalami sejarah dan asal-usul komuniti ini, maka kita akan faham bahawa bahasa ibunda mereka adalah bahasa Melayu yang unik dan dikenali sebagai Kreol Chetti (Chetti Creole).

Walau bagaimanapun, komuniti Chetti Melaka berpegang teguh kepada agama Hindu. Malah, terdapat beberapa kuil di Kampung Chetti, seperti Kuil Sri Muthu Mariamman (Datuk Chachar) dan Kuil Sri Kailasanathar (Sivan), yang menjadi pusat aktiviti bagi komuniti Chetti Melaka.

Malah, ramai yang mungkin tidak tahu bahawa kuil Hindu pertama di negara ini dibina oleh komuniti Chetti Melaka. Kuil Sri Poyatha Venayagar Moorthi dibina pada tahun 1781 iaitu semasa penjajahan Belanda dan masih menjadi tempat tumpuan penganut Hindu, khasnya komuniti Chetti dari Melaka dan Singapura.

Komuniti Chetti Melaka tidak tahu bahasa Tamil. Malah, mereka bersembahyang dan berdoa menggunakan bahasa Melayu. Namun begitu, identiti budaya sebagai penganut Hindu tetap dipertahankan. Misalnya, nama-mana dewa-dewi Hindu lazim diberi kepada anak-anak; seperti Moorthy, Subramaniam, Letchumi, Abhirami, dan Krishna.

Mereka juga mengekalkan nama keluarga (sir name) seperti Pillay, Naiker, Padayachi, Mudaliar, Konar, dan Kullen. Memandangkan komuniti ini sangat kecil, mereka sebenarnya ada pertalian darah melalui perkahwinan. Terdapat sekitar 350 orang daripada tidak sampai 50 keluarga Chetti Melaka. Belakangan ini, anak-anak muda Chetti Melaka berkahwin dengan orang dari luar komuniti.

Sambutan pesta menuai iaitu ponggol (ponggal) terus menjadi upacara penting dalam komuniti kecil ini. Tambahan pula, nenek-moyang mereka pernah menjadi pesawah padi semasa penjajahan Belanda.

Agak menarik kerana beberapa hari sebelum sambutan ponggol, komuniti Chetti Melaka membersihkan kubur nenek-moyang dan mengadakan upacara sembahyang khas di sana.

Komuniti ini banyak menerima pengaruh budaya Melayu dan Baba Nyonya. Hal ini jelas menerusi amalan seperti berpantun, nyanyian dondang sayang, dan tarian ronggeng yang masih menjadi identiti budaya komuniti Chetti Melaka. Sering kali pula dipertontonkan pada sambutan peringkat negeri.

Asimilasi juga jelas dalam masakan yang menggabungkan unsur-unsur India, Melayu, dan Cina. Pada masa sama, komuniti Chetti Melaka memiliki beberapa juadah istimewa seperti nasi kembuli, kuih kayam, dan lauk ikan pindang. Sekiranya berkunjung ke Kampung Chetti, jangan lepaskan peluang menikmati “air panakan” iaitu minuman daripada limau, gula melaka, dan rempah-ratus.

Sesungguhnya, komuniti Chetti Melaka adalah khazanah negara yang amat unik dan wajib dipelihara. Walaupun Kampung Chetti diwartakan sebagai perkampungan warisan pada Julai 2002, ia masih berdepan pelbagai cabaran yang dikhuatiri akan menghakis sejarah komuniti ini. Kunjungi [Blog Kampung Chetti] untuk pelbagai bahan berkaitan.

[Rencana ini adalah versi asal yang ditulis pada 27 September 2020 dan tersiar dalam ruangan “Bicara Budaya” di Utusan Malaysia pada 3 Oktober 2020. © Uthaya Sankar SB. Baca juga —Kita Makin Renggang  “Mari Kita BercintaUniknya Sastera KitaElakkan FobiaMalaysia Prihatin Satukan Kepelbagaian Melayu Sudah Hilang Jati Diri?Generasi Muda Tidak Lupa OnamKrisis, Bencana Tonjol Sikap KitaSumbangan Penulis Tamil ke Arah Perpaduan”]