26 Nov 2020

“Malaysia” Muncul Sebelum 1963


Kita sedia maklum bahawa Persekutuan Malaysia yang terdiri daripada Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, dan Singapura dibentuk pada 16 September 1963; manakala Singapura menjadi sebuah republik pada 1965.

Kita juga tahu bahawa istilah “Bahasa Malaysia” bagi bahasa kebangsaan diperkenalkan secara rasmi pada 1970 sebagai tindakan proaktif susulan rusuhan kaum yang berlaku di Kuala Lumpur pada 13 Mei 1969.

Akan tetapi, nama “Malaysia” sebenarnya sudah wujud jauh sebelum kedua-dua peristiwa di atas berlaku. Maka, elok juga sekiranya kita cuba menambah ilmu supaya tahu lebih sedikit berbanding apa yang diajar di sekolah selama ini.

Rupert Emerson melakukan kunjungan dan kajian lapangan di beberapa buah negara jajahan British (termasuk Malaya) selama hampir setahun mulai Ogos 1932. Susulan kajian mendalam, Emerson menghasilkan buku Malaysia: A Study in Direct and Indirect Rule (1937). 

Perkara yang lebih penting untuk diperhatikan di sini adalah bahawa nama “Malaysia” sudah digunakan hampir 25 tahun sebelum pembentukan Persekutuan Malaysia. Malah, nama “Malaysia” pernah digunakan dalam konteks lebih luas hampir seratus tahun sebelum itu.

Pada 1831, penjelajah Perancis, Jules Dumont d’Urville mencadangkan nama “Melanesia”, “Micronesia”, dan “Malaysia” bagi meliputi kawasan yang kini kita kenali sebagai Nusantara dan Kepulauan Melayu.


Generasi yang lahir pada 1960-an dan 1970-an pasti masih ingat bagaimana istilah “Bahasa Malaysia” mula digunakan dalam semua urusan rasmi — khususnya di sekolah — mulai tahun 1970 bersama-sama Rukun Negara dan Rukun Tetangga.

Dalam Perlembagaan Persekutuan memang termaktub bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu. Apa yang kita mungkin tidak tahu adalah bahawa pada 1960-an, mata pelajaran “Bahasa Melayu” diajar kepada anak-anak Melayu, manakala orang Bukan Melayu mengambil mata pelajaran “Bahasa Kebangsaan”.

Rencana penuh boleh dibaca dalam buku Kisah Sasterawan Kavyan (2022).

[Rencana ini adalah versi asal yang ditulis pada 17 November 2020 dan tersiar dalam ruangan “Bicara Budaya” di Utusan Malaysia pada 21 November 2020. © Uthaya Sankar SB]