20 Jun 2016

Hadis Palsu Lemahkan Orang Melayu

http://drmaza.com/home/wp-content/hadis-palsu.jpg

“Kak Long tunggu jer korang cari Kak Long nanti (walaupun Kak Long tak berpayung emas sebab TAK RELA BERMADU … ha ha ha).”

Demikian petikan kata-kata Nurulhidayah, anak timbalan perdana menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, di akaun Instagram seperti disiarkan Malaysiakini pada 15 Februari 2016.

Saya tidak mahu ambil tahu mengenai perbalahan antara wanita itu dengan Amran Fans berkaitan rancangan membawa buruh dari Bangladesh.

Sebaliknya, saya lebih tertarik kepada kedangkalan ilmu agama yang dimiliki sehingga Nurulhidayah mempercayai hadis palsu.

Dalam kehidupan seharian, anda mungkin berdepan pelbagai hadis palsu yang disebarkan secara sedar dan tidak sedar oleh rakan-rakan beragama Islam, secara lisan atau menerusi media sosial.

Sebagai seorang individu yang bergaul dengan masyarakat pelbagai kaum dan agama, saya turut berpengalaman mendengar hadis-hadis palsu sejak usia muda.

Seorang rakan, K Pragalath, menerusi tulisan di Berita Daily pada 7 Februari 2016 menceritakan bagaimana semasa belajar dan setelah bekerja, “saya juga pernah diajak menukar nama, jadi Melayu dan sebagainya supaya saya boleh kahwin empat.”

Saya melihat kaitan erat antara mentaliti masyarakat Melayu dan keghairahan menyebarkan hadis palsu sesama Islam serta kepada orang bukan Islam.

Soal memujuk seseorang masuk Islam dengan menjanjikan habuan “boleh kahwin empat” bukan sesuatu yang baru. Saya sudah mendepani dakyah seperti itu sejak lebih dua dekad lalu.

http://myberitaviral.com/wp-content/uploads/2016/02/d15ecc8a1224e4575fd4a3da986a4b29.jpg

Tiada bersumberkan Quran dan hadis sahih

Nurulhidayah turut menyentuh mengenai poligami atau bahasa mudahnya bermadu.

Katanya, dia tidak rela bermadu, maka tidak akan berpayung emas di syurga nanti.

Entah berapa ramai lagi orang Melayu dan bukan Melayu yang masih tidak sedar kisah itu sebenarnya hadis palsu.

Memanglah ramai lelaki Melayu-Islam di Malaysia gemar menggunakan dalil itu untuk memujuk isteri agar sedia bermadu.

Memandangkan saya juga sejak dahulu berdepan dakyah “masuk Islam supaya boleh kahwin empat”, saya melakukan penyelidikan mudah untuk mendapatkan fakta sebenar.

Seperti yang sepatutnya sedia dimaklumi setiap orang Islam, pelbagai syarat dan peraturan ditetapkan menerusi firman Allah jika seorang lelaki Islam mahu berkahwin dua, tiga atau empat.

Malah, tidak ada sebarang dalil sahih dalam Quran dan hadis mengenai payung emas bagi wanita yang bersetuju untuk bermadu.

Tidak salah jika saya menggunakan label “pendustaan” dan “pembohongan” terhadap sesiapa yang cuba menyebarkan dakyah mengenai payung emas itu.

Kenyataan ini mungkin menimbulkan kemarahan, kebencian dan keresahan pihak tertentu yang mempersoalkan hak individu bukan Melayu dan bukan Islam seperti saya mengeluarkan pendapat.

Hadis dhaif menjejaskan akidah

Bagaimanapun, hujah saya bersandarkan firman Allah seperti terkandung dalam Quran, serta hadis sahih yang ada kaitan dengan Nabi Muhammad.

Tambahan pula, memandangkan hadis-hadis palsu sering disampaikan kepada saya dalam usaha “dakwah” maka saya berhak untuk membidas dengan fakta.

Pada pemerhatian dan pengalaman saya, ada sejumlah hadis palsu yang tersebar luas dalam kalangan orang Melayu di Malaysia.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerbitkan risalah “Hadis Mawdu” pada 2015 untuk rujukan umat Islam kerana menyedari hakikat terlalu banyak hadis palsu tersebar luas.

Ramai yang tidak menyedari kehadiran hadis dhaif (lemah) dan mawdu (palsu) serta boleh menjejaskan akidah sekiranya dijadikan amalan.

Ada juga hadis palsu yang tidak menjejaskan keimanan tetapi mungkin menjadi asas kepada penyebaran lebih banyak hadis palsu berniat jahat.

Misalnya, Rasulullah memang makan dan minum menggunakan tangan kanan. Baginda mencuci tangan sebelum dan selepas makan, serta membaca bismillah sebelum makan.

Ada pihak yang menyelitkan hadis palsu ke dalam amalan mulia Nabi Muhammad. Misalnya, mengatakan kononnya Rasulullah mengunyah makanan sebanyak 40 kali sebelum ditelan.

Tidak keterlaluan jika saya mengatakan hadis palsu ini sebagai pendustaan semata-mata dan bukan berdasarkan fakta.

Tokok tambah dengan niat berdakwah

Ada pula hadis palsu yang boleh membawa kepada syirik. Misalnya, ada orang cuba menjual cincin kayu kokka dan tasbih kayu kokka dengan memberikan alasan kayu itu digunakan Nabi Nuh untuk membina bahtera.

Hasil penelitian kandungan Quran, saya mendapati firman Allah langsung tidak menyebut kayu apakah yang digunakan Nabi Nuh dalam kisah yang amat popular itu.

Satu lagi kisah yang sering dikaitkan sekelompok orang Melayu dengan Nabi Nuh adalah berkaitan bubur asyura.

Kononnya, sewaktu bahtera berlabuh di Bukit Judi, Nabi Nuh meminta para pengikut menghimpunkan semua bahan yang ada untuk menghasilkan bubur.

Satu lagi kisah, kononnya kerana kekurangan bekalan makanan semasa peperangan, Nabi Muhammad meminta para sahabat mengumpulkan apa-apa bahan yang ada untuk memasak bubur asyura.

Saya berpandangan kedua-duanya rekaan semata-mata dan hadis palsu, walaupun sering terdengar orang berkongsi cerita seperti itu menjelang 10 Muharam.

Hadis-hadis palsu yang tidak berasas ini mungkin dipandang ringan dan disebarkan dari mulut ke mulut dengan andaian tidak menjadi kesalahan besar. Sebaliknya mahu berdakwah tentang kehebatan Islam.

Akan tetapi, pada pandangan saya, sekiranya dibiarkan, amalan berkongsi hadis palsu boleh membawa kepada masalah lebih besar kepada umat Islam; misalnya kesyirikan dan keruntuhan iman.

Hairan juga mengapa perhatian yang diberikan terhadap label “no pork” di restoran (kononnya mengelirukan umat Islam) tidak diberikan terhadap hadis palsu (yang ternyata merosakkan akidah umat Islam).

Klik untuk besarkan

Pastikan sahih, baru sebar

Pernah juga saya mendengar mengenai amalan mengetip kuku yang cuba disandarkan kepada Rasulullah.

Kononnya Nabi Muhammad meminta umat Islam tidak memotong kuku pada hari Ahad, Selasa, Rabu dan Sabtu.

Malah, kononnya jika mengetip kuku pada hari Jumaat, maka terhapus segala dosa dan menerima rahmat Allah.

Sekiranya Hadis Sahih Muslim dan Al-Bukhari dijadikan rujukan, akan jelas pandangan di atas adalah palsu dan rekaan semata-mata.

Talak dikatakan mampu “menggoncang Arasy Allah”, maka umat Islam diminta tidak bercerai.

Pandangan itu juga terbukti hadis palsu kerana Islam membenarkan penceraian dan talak mengikut keadaan. Malah, talak menjadi wajib jika isteri menjadi mangsa kezaliman suami.

Contoh di atas hanya berdasarkan beberapa hadis palsu yang pernah saya dengar dalam kalangan masyarakat Melayu di Malaysia.

Pemalsuan hadis memang berlaku sejak dahulu. Apa yang boleh dilakukan pada masa kini adalah memastikan sesuatu hadis itu sahih (bukan palsu) sebelum disebarkan sama ada secara lisan atau menerusi media sosial.

Sekurang-kurangnya jangan jadi seperti Nurulhidayah yang masih percaya kepada hadis palsu berkenaan wanita yang sanggup bermadu disediakan payung emas di syurga. - Baca juga: Sunah Rasulullah untuk Semua.

[Baca versi terjemahan Inggeris -- click here for English]

[Makalah ini ditulis pada 24 Februari 2016 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 1 Mac 2016.  © Uthaya Sankar SB 2016. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan mana-mana blog kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri. Baca juga: Makalah Berkaitan Ajaran Hindu dan Makalah Berkaitan Melayu dan Islam]