8 Jan 2011

Siapa Sebenarnya Paria?

Ternyata apabila kaum India di Malaysia berani bersuara melahirkan kekecewaan dan rasa tidak senang hati dengan pemaparan yang menyentuh sensitiviti kaum India dan agama Hindu dalam novel Interlok (edisi murid), ramai pula yang muncul untuk melabel kaum India sebagai kelompok yang sengaja menimbulkan masalah!

Hal ini amat nyata apabila kita membaca laporan berita di akhbar-akhbar perdana dan lebih nyata di ruang siber.


Misalnya, pada 5 Januari 2011, seorang wartawan sebuah akhbar “menarik” saya masuk ke dalam perbincangan di Facebook dengan cara menanda (tag) nama saya pada catatan pada ruangan statusnya.


Katanya, “isu novel Interlok dedahkan kejahilan sejarah atau lebih tepat cubaan menafikan hakikat sejarah. ... Sayang sekali penulis seperti Uthaya Sankar SB juga seolah-olah terperangkap dalam lingkaran penafian sejarah.”


Apabila disoal dari mana dia mendapat “maklumat” itu, katanya, “bukankah apakah maksud memurnikan teks tu tak menafikan hakikat sosio-politik di negara India?” dengan merujuk pada perkataan “dimurnikan” yang saya sebutkan dalam Malaysiakini pada 3 Januari 2011. [BACA DI SINI] Katanya, “memurnikan hakikat sejarah adalah cubaan untuk mengambus dan memesongkannya” dan “daripada kenyataan Uthaya kepada Malaysiakini, saya merumuskan pandangan memurnikan adalah meniadakan, memadamkan.”


Beberapa rakan orang itu juga turut memberikan komen yang ternyata secara amat terang-terangan membuktikan kedangkalan pemikiran mereka terhadap budaya India, agama Hindu, sejarah negara India dan sensitiviti kaum. Mereka juga terbukti tidak tahu membezakan antara novel Interlok karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain dan novel Interlok Edisi Murid yang diterbitkan khas sebagai teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas) di Selangor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Putrajaya.


Bagi saya, segala perbincangan yang dikemukakan terkeluar topik. Masyarakat India di Malaysia tidak menentang novel Interlok. Ramai yang tidak faham bahawa isu yang timbul adalah apabila novel berkenaan diterbitkan dalam edisi murid untuk dijadikan teks Komsas tanpa memikirkan untuk mengedit bahagian-bahagian yang sensitif dan kurang sesuai diajar di sekolah. [BACA JUGA DI SINI]


Sudahlah masyarakat umum tidak mengenali budaya kaum India dan agama Hindu! Malah, tidak tahu membezakan antara kaum India di India dan kaum India di Malaysia. Hal ini nyata melalui isu “pendatang” yang masih hangat dan semacam membuktikan ketololan pihak berkenaan.


Dalam isu novel Interlok, perkara sensitif adalah penggunaan perkataan “paria” dan gambaran bahawa pasangan kaum India yang berkahwin menyembah Dewa Kama. Saya boleh memaafkan “kesilapan” pengarang semasa menulis novel itu. Masalahnya, jawatankuasa yang menguruskan edisi murid tidak menjalankan tugas “memurnikan” teks edisi murid.


Bagi kaum Melayu, mungkin mereka tidak faham sensitiviti yang dimaksudkan. Pengarang Melayu rata-rata melihat budaya India dan agama Hindu dari kaca mata dan acuan Melayu-Islam. Bukti nyata termasuk Sangeetha dan Sinappapal.


Paparan dalam Interlok edisi murid menyentuh sensitiviti, khususnya apabila memberikan gambaran bahawa semua kaum India yang datang ke Malaya menaiki kapal laut adalah “paria” iaitu kumpulan outcaste atau “anak haram”.


Ramai juga yang semacam cuba membuktikan lagi ketololan mereka dengan bertanya mengapa masyarakat India di Malaysia tidak menentang beberapa novel Inggeris (bukan oleh pengarang Malaysia) yang turut memaparkan isu kasta. Soalnya, novel-novel yang dimaksudkan itu berkisar di India, bukan di negara ini. Malah, novel-novel berkenaan tidak dijadikan edisi murid dan diedarkan sebagai teks Komsas! Mungkin bagi golongan tolol itu, India adalah sebahagian Malaysia; atau Malaysia adalah sebahagian India.


Satu lagi alasan tolol yang cuba diberikan adalah bahawa perkara mengenai “kasta paria” adalah fakta sejarah yang tidak boleh dinafikan. Sejak bila pula “paria” termasuk dalam sistem kasta? Ketololan ini juga amat nyata apabila seorang insan menulis di Facebook: “Brahma ada disebut dalam kitab karangan Syeikh Abd Daud Al fatani ... tetapi itu di India ... yang berhijrah ke Tanah Melayu dari kasta paria. Itu sejarah yang tiada dapat diubah”.


Bodoh! Tiada kelompok “Brahma” atau “paria” dalam sistem kasta! Membuktikan bagaimana kelompok tertentu membuka mulut tanpa ilmu. Untuk makluman, dalam sistem kasta, terdapat empat kumpulan sahaja iaitu “Brahmin” (sami), “Ksatria” (raja dan pahlawan), “Vaishya” (peniaga/pedagang) dan “Sudra” (buruh). “Paria” pula merujuk kepada sesiapa yang tidak termasuk dalam empat kategori tadi; termasuk orang asing – dan tentunya sesiapa yang bukan kaum India! Maka, kalau mahu “perjuangkan” sistem kasta di Malaysia, sila berfikir dulu, siapa sebenarnya “paria” mengikut sistem itu ...


Pada waktu yang sama, masih ingat novel mengenai kisah kaum Melayu yang menganut animisme dan menyembah unsur-unsur alam sebelum kedatangan agama Hindu? Juga novel moden mengenai hamba abdi yang dijual-beli golongan bangsawan Melayu sebelum kedatangan British? Demikian saya paparkan pada ruangan status di Facebook pada 5 Januari 2011.


Seorang rakan dengan penuh minat bertanyakan judul novel yang saya maksudkan. Maka saya menjelaskan, “Such novels do not exist. None of our modern Malaysian writers – including those who write in the national language – have written about those facts, since they are – I shall safely assume – more interested to portray paria from India and samseng from China”.


Cuba fikirkan sendiri: mengapa “fakta” dan “sejarah” mengenai perkara di atas tidak pula digarap dalam karya sastera dan kemudian dijadikan edisi murid untuk bacaan pelajar Tingkatan Lima menerusi Komsas? Pelik, bukan? Selamat datang ke Malaysia!


Khabarnya satu “dialog” akan diadakan untuk “mempertahankan” Interlok; sebagaimana diakui Nazmi Yaakub di laman Facebook Al-Abror Mohd Yusuf pada 4 Januari 2011. Malah, panel yang diundang khabarnya tidak seorang pun daripada kalangan pengkaji kaum India. Tidak mengapa; sekurang-kurangnya diharap panel berkenaan dapat menjelaskan keadaan sebenar; walaupun Nazmi sudah menjelaskan bahawa tujuan “dialog” itu untuk “mempertahankan” Interlok dan bukan untuk “berdialog”.


Anehnya, apabila saya mengatakan “biarlah tokoh-tokoh yang diundang khas ada peluang sepenuhnya untuk membentangkan hujah mereka. Saya percaya panel yang diundang ada kepakaran berkaitan budaya kaum India dan agama Hindu”, maka ramai pula yang menuduh saya “tidak jujur” kerana mengeluarkan kenyataan yang “meragukan” dan “skeptikal”.


Apabila kaum India bangkit bersuara melahirkan rasa tidak puas hati, ada pula yang mengaitkannya dengan “mencabar ketuanan”. Kononnya, kaum India umpama “pendatang yang tidak tahu berterima kasih”.


Segala kedangkalan yang jelas dipertontonkan kelompok tertentu semacam membawa mesej yang jelas: “Tutup mulut dan terima sahaja apa yang dicampakkan kepada kamu, wahai anjing paria!” seperti yang dapat juga disaksikan berlaku di Pulau Cinta dalam faksyen “Pulau Pendatang”.


Lalu, menyaksikan – dan mengalami – segala yang berlaku (di Malaysia, bukan di Pulau Cinta) sejak 15 Disember 2010 mengingatkan saya pada satu dialog terkenal dalam filem Tamil berjudul Manohara (1954); yang terjemahannya lebih kurang begini: “Cukuplah kau berdiam diri selama ini! Bangkitlah perjuangkan hak diri!”


Ya, nampaknya selagi kita terus mendiamkan diri dan membiarkan kepala kita dipijak, selagi itulah orang lain akan terus ghairah memijak kepala kita; melampaui apa yang termaktub dalam undang-undang negara. Jadilah perubahan yang mahu anda saksikan di dunia ini, seperti kata Mahatma Gandhi.


Jika tidak, selain dilabel “pendatang”, kaum India di Malaysia mungkin akan dilabel “paria” dalam masa terdekat dengan alasan “tiada sesiapa yang menghalang”.


Kepada masyarakat India yang sudah membaca novel Interlok [EDISI MURID] dan merasakan memang ada bahagian tertentu dalam novel itu – khususnya pemaparan “kasta paria” dan “menyembah Dewa Kama” – yang menyentuh sensitiviti kaum India dan agama Hindu, sudilah kirim maklumat itu kepada saya melalui e-mel uthayasb@yahoo.com.my untuk dikumpulkan [sebelum 28 Februari 2011].


Tidak akan tercapai kebaikan sekiranya tidak ada sesiapa yang berani mengetengahkan kebenaran, seperti kata Mahatma Gandhi.


Tambahan (31 Ogos 2011): Sila KLIK DI SINI untuk maklumat terperinci isu Interlok Edisi Murid.


Tambahan (9 November 2011): Apa agaknya reaksi Nazmi dan sekutunya terhadap PERKARA INI!