17 Mar 2010

Jadi, Maka Jadilah

Baru-baru ini, apabila selesai menulis, menyunting dan mengirim cerpen “Selamat Hari Jadi, Sayang” kepada Saharom Abd Aziz melalui e-mel, saya dengan penuh syukur mencatatkan pada ruangan status di laman rangkaian sosial Facebook bahawa saya sudah menghasilkan cerpen pertama bagi 2010.
..

Sambutan, reaksi, komen dan sokongan moral yang saya terima daripada rakan-rakan memang luar biasa; khususnya daripada mereka yang selalu bertanya kepada saya tentang cerpen terbaru selepas “Nating” (Mingguan Malaysia, 27 Mei 2007) serta kumpulan cerpen Rudra Avatara (2008) dan Kathakali (2009).

..

Beberapa rakan memberikan pandangan secara ikhlas, jujur, matang dan penuh rasional bahawa istilah “hari lahir” lebih sesuai digunakan berbanding “hari jadi”.

..

Saya amat menghormati dan memahami rasional di sebalik pandangan mereka dalam hal ini. Malah, dulu, saya juga selalu menggunakan istilah/frasa “hari lahir” berbanding “hari jadi” atas alasan yang sama; iaitu kita meraikan tarikh/hari seseorang itu “lahir” (keluar dari rahim ibu) dan bukannya tarikh seseorang itu “jadi” (dalam konteks persenyawaan).

..

Bagaimanapun, entah bermula bila – saya sendiri kurang pasti – saya mula menerima pakai konsep “hari jadi” apabila saya secara bawah sedar (subconsciously) semakin memahami kuasa Tuhan dalam konteks “Jadi, Maka Jadilah” – atau apa yang disebut “Kunfayakun” dalam konteks Islam, Let There Be ... dalam konteks Kristian dan konsep “Shiva-Shakti” dalam konteks Hinduisme.

..

Maka, tidak hairanlah, saya mengekalkan istilah “hari jadi” pada judul cerpen “Anak Patung Hari Jadi” dan “Air Mata Hari Jadi” yang saya hasilkan selepas “Selamat Hari Jadi, Sayang”.

..

Apa pun, saya tetap memahami dan menghormati pandangan ikhlas, jujur, matang dan penuh rasional yang dikongsikan oleh rakan-rakan bahawa istilah “hari lahir” lebih sesuai digunakan berbanding “hari jadi”.