Thursday, 1 March 2018

Apabila Za’ba “melempang” orang Melayu


Saya sering menulis makalah yang membidas, mengkritik, menganalisis dan mempersoalkan pelbagai perkara berkaitan kaum Melayu yang beragama Islam. Sebahagian makalah berkenaan tersiar di The Malaysian Insider.

Akibatnya, saya dilabel sebagai “anti-Melayu”, “anti-Islam” dan “pengkhianat” oleh puak tertentu. Malah, sejak 2011, ada kempen besar-besaran menyeru orang Melayu memboikot buku-buku yang saya hasilkan.

Apa yang menarik – dan sedikit melucukan – adalah hakikat kebanyakan kritikan dan persoalan yang saya kemukakan menerusi makalah berkenaan bertujuan “melempang” orang Melayu supaya bangkit daripada lena yang panjang.

Malah, apa-apa yang saya kritik, cuit dan ketengahkan tanpa sikap apologistik mengenai orang Melayu-Islam menerusi makalah-makalah itu bukanlah sesuatu yang baharu.

Persoalan mengenai sikap orang Melayu yang kurang gemar berfikir, terlalu bergantung kepada orang lain, memilih untuk menyalahkan orang lain, menjahanamkan bahasa sendiri, kurang mendalami Islam dan sebagainya bukan isu baharu.

Mungkin juga pendukung dan peserta kempen “anti-Uthaya” sebenarnya tidak pernah membaca hasil tulisan Zainal Abidin bin Ahmad yang lebih dikenali sebagai Pendeta Za’ba.

Beliau yang lahir pada 16 September 1895 dalam keluarga berdarah Minang dan Bugis, diakui sebagai tokoh bahasa, ekonomi, sastera, agama dan politik.

Apa yang menarik, walaupun beliau meninggal dunia pada 23 Oktober 1973, segala ulasan, kritikan dan hujah beliau menerusi tulisannya masih amat relevan dengan realiti kehidupan orang Melayu masa kini.

Sesiapa yang mengenali Za’ba akan menyedari serta mengakui beliau sebagai seorang tokoh yang cermat, teliti, jujur, mencintai ilmu, mengejar pengalaman, dedikasi, taat dan mengelakkan konflik.

Buku dan esei berkaitan isu-isu bahasa Melayu, serta cerita rakyat, terjemahan karya luar, bacaan tambahan sekolah dan karya sastera membuktikan komitmen beliau memartabatkan bahasa, sastera dan budaya Melayu.

Perangai asyik bergantung kepada orang lain

Za’ba banyak menulis secara khusus mengenai orang Melayu, termasuk dalam buku Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri (1982). Kita dapat perhatikan kritikan Za’ba hampir senada dengan tulisan Syed Sheikh Al-Hadi di Al-Iman dan Al-Ikhwan.

Mereka berdua melihat kemiskinan orang Melayu dari beberapa sudut, iaitu harta, tindak-tanduk dan agama. Kritikan mereka amat pedas, tetapi berniat murni menyedarkan orang Melayu daripada tidur yang lena.


Maka, kesemua tulisan beliau selaras matlamat “Seminar Pendeta Za’ba: Pemikir Umat Rentas Zaman” anjuran Kerajaan Negeri Selangor pada 6 Oktober 2015. [VIDEO 1] [VIDEO 2] [VIDEO 3] [VIDEO 4] [VIDEO 5] [VIDEO 6] [VIDEO 7]

Seminar itu bertujuan memperkukuhkan otak, watak dan jiwa orang Melayu yang bermaruah dan mempunyai jati diri; mendapat inspirasi daripada pemikiran Za’ba sebagai suatu pendekatan membangunkan kualiti orang Melayu; dan melahirkan watak Melayu yang mempunyai daya tahan dan daya juang untuk berjuang membela kebenaran dan keadilan.

Kandungan buku Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri boleh dilihat sebagai sambungan kepada Umbi Kemajuan dan Falsafah Taqdir yang pernah mengundang kontroversi kerana kurang disenangi kumpulan ulama tertentu.

Malah, manuskrip Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri pernah ditolak penerbit kerana Za’ba masih dalam pengawasan pihak penjajah, dan hanya terbit selepas beliau meninggal dunia.

Penelitian terhadap tulisan kritis Za’ba dalam buku berkenaan menunjukkan beliau mahu orang Melayu bangkit semula menjadi kaum yang mulia dan dihormati. Bukankah “keinginan” itu masih relevan dengan mana kini?

Tanpa sedikit pun bernada apologistik, Za’ba menerusi puluhan tulisannya – yang kemudian dibukukan – menyeru orang Melayu meninggalkan sikap meminta-minta dan mengharapkan bantuan; sebaliknya menggunakan akal dan fikiran untuk mencapai mobiliti sosial.

Za’ba mahu orang Melayu bergantung kepada (kemampuan) diri sendiri; selaras sikap terpuji yang diamalkan oleh Nabi Muhammad. Katanya lagi, tiada alasan untuk orang Melayu tidak dapat maju dalam kehidupan kerana Allah mengurniai mereka akal fikiran.

Sekiranya diteliti, Za’ba menyedari hakikat mobiliti sosial dalam masyarakat hanya akan tercapai apabila setiap individu (“diri-diri tunggal”) berusaha memajukan diri sendiri. Hanya apabila individu mencapai mobiliti sosial, maka kaum atau masyarakatnya akan mengalami kemajuan.

Kritikan pedas tetapi berniat mulia

Berulang kali Za’ba menyelar sikap orang Melayu suka meminta-minta dan mengharapkan bantuan daripada orang luar – termasuk pemerintah, kuasawan dan kerajaan. Beliau menegaskan, orang Melayu perlu ada keyakinan diri serta percaya pada kemampuan yang dimiliki untuk mencapai kejayaan.

Selain daripada membicarakan hal-hal duniawi, Za’ba turut mengingatkan orang Melayu-Islam mengenai akhirat.

Kita tidak harus hanya bergantung kepada pertolongan dan doa orang lain – termasuk Rasulullah – untuk mencapai kebahagiaan di akhirat.


Sebaliknya, perlu beramal dan melakukan kebajikan mewakili diri sendiri sebagai bekalan akhirat; bukan meneruskan sikap “jahil pekat” atau menjadi pengikut buta tuli dalam hal-hal agama.

Seruan, saranan, kritikan dan pandangan Za’ba kepada orang Melayu adalah amat menyeluruh – meliputi aspek bahasa, kesantunan, agama, ekonomi dan sosial.

Amat nyata menerusi buku Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri bahawasanya Za’ba sangat membenci sikap orang Melayu yang suka bergantung kepada orang lain. Atau suka menyalahkan orang lain (kaum-kaum lain) apabila berdepan masalah atau kekurangan.

Menurut Za’ba, antara “penyakit” orang Melayu adalah tiada keyakinan pada diri sendiri, serta menganggap dirinya serba tidak mampu. Individu yang memiliki inferiority complex seperti ini tiada harga diri, terlalu mengharapkan bantuan orang lain, serta menyalahkan orang lain atas segala kekurangan yang dimiliki.

Sikap malas orang Melayu yang dikiritik oleh Za’ba termasuk perangai bersenang-lenang dengan memakan harta pusaka yang diwarisi, tanpa perlu berusaha mencari rezeki. Sikap ini berbeza dengan “kaum lain” (khususnya Cina) yang sentiasa berusaha untuk memajukan diri.

Sudah saya katakan sejak awal, sekiranya segala komen, kritikan dan hujah di atas dikemukakan oleh saya sendiri, maka saya pasti terus-menerus dilabel sebagai “anti-Melayu”, “anti-Islam” dan “pengkhianat”.

Sebenarnya, mesej saya kepada rakan-rakan dan para pembaca Melayu menerusi semua makalah saya sama sahaja dengan nasihat tokoh terdahulu seperti Za’ba.

Kami menyeru orang Melayu membuka “pintu akal” dan “mata hati” serta menimba ilmu (seperti Rasulullah) agar mampu memperkasakan diri tanpa perlu bergantung kepada – atau menyalahkan – orang lain.


[Makalah ini ditulis oleh Uthaya Sankar SB pada 2 Oktober 2015 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 6 Oktober 2015. Sebahagian teks turut dibentangkan pada Seminar Pendeta Za’ba: Pemikir Umat Rentas Zaman di Dewan Jubli Perak, Bangunan SUK, Shah Alam pada 6 Oktober 2015. © Uthaya Sankar SB 2015. Anda membaca makalah ini serta mana-mana paparan di mana-mana blog dan media sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]