3 Oct 2010

Hobbit, Batman dan Biutiful

WELLINGTON - Pengarah filem Hollywood, Peter Jackson, yang terkenal menerusi trilogi The Lord of the Rings (2001, 2002 dan 2003) tidak akan teragak-agak untuk membatalkan cadangan membuat penggambaran filem The Hobbit di New Zealand.
.

Jackson juga bertegas tidak mahu mengadakan sebarang pertemuan dengan Kesatuan Pelakon New Zealand bagi membincangkan isu kononnya tenaga kerja filem itu tidak diberi jaminan munasabah dalam kontrak pekerjaan.

.

“Kadar yang ditawarkan kepada tenaga kerja tempatan adalah sebenarnya lebih tinggi dan lebih baik berbanding kadar minimum yang ditetapkan Persatuan Pelakon Amerika Syarikat,” kata Jackson dalam suatu kenyataan.

.

Selepas trilogi The Lord of the Rings, peminat JRR Tolkien (3 Januari 1892 - 2 September 1973) di seluruh dunia menunggu adaptasi novel The Hobbit (1937) ke layar perak.

.

Jackson yang juga terkenal menerusi pengarahan filem King Kong (2005) dan The Lovely Bones (2009) memberi amaran bahawa tindakan Kesatuan Pelakon New Zealand hanya akan meningkatkan kos pembikinan filem itu.

.

Jangan salahkan saya jika filem The Hobbit dibawa ke lokasi di Eropah dan jika penerbit filem luar tidak lagi berminat membuat penggambaran di New Zealand,” katanya.

.

Watak orang kerdil yang dipanggil ‘hobbit’ dibawa ke layar perak menerusi trilogi The Lord of the Rings. Watak-watak ini dicipta JRR Tolkien yang turut menulis novel The Hobbit.

.

HOLLYWOOD - Christopher Nolan yang namanya terus melonjak berikutan kejayaan filem Batman Begins (2005) dan The Dark Knight (2008), mengesahkan akan mengarah filem ketiga dan terakhir dalam siri Batman.

.

Pengarah itu yang lahir pada 30 Julai 1970 biasanya tidak akan mendedahkan maklumat filem yang bakal diarahnya tetapi tampil memberi pengesahan berkaitan filem terbaru ini kepada wartawan Empire Magazine pada 30 September 2010.

.

Nolan turut dikenali menerusi filem-filem mencabar minda seperti Memento (2000), Insomnia (2002), The Prestige (2006) dan Inception (2010).

.

Selepas mengarah filem ketiga Batman yang belum diberikan judul, pengarah dan penulis skrip ini bercadang menerbitkan versi baru filem Superman.

.

MEXICO CITY - Selepas filem Amores Perros (2000) berjaya dicalonkan bagi Oscar (Academy Award), Mexico kini meletakkan harapan pada filem Biutiful (2010) arahan Alejandro Gonzalez Inarritu untuk membawa pulang anugerah berprestij itu pada tahun hadapan.

.

Filem berbentuk drama dalam Bahasa Sepanyol itu menampilkan watak Uxbal lakonan mantap Javier Bardem yang berjaya menang anugerah pelakon terbaik pada Festival Filem Cannes di Perancis pada Mei 2010.

.

Gonzalez yang lahir di Mexico City pada 15 Ogos 1963 sebelum ini dikenali melalui filem 21 Grams (2003) dan Babel (2006) yang mengangkatnya ke taraf dunia.

.

Akademi Filem Mexico dalam kenyataan pada 27 September 2010 turut mengumumkan pemilihan El Infierno (2010), filem satira politik mengenai sindiket pengedaran dadah arahan Luis Estrada untuk dicalonkan bagi Anugerah Filem Goya di Sepanyol.

.

Untuk filem dari Brazil, sila KLIK DI SINI.

...

(Skrip ini ditulis berpandukan pelbagai sumber untuk siaran di ruangan Santai Global, akhbar Sinar Harian pada 2 Oktober 2010)