30 Sept 2010

Filem Lula Mahu Raih Oscar

Filem Lula, o Filho do Brasil (Lula, the Son of Brazil) yang mengisahkan zaman kanak-kanak dan remaja Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva dihantar untuk dinilai bagi meraih anugerah Oscar di bawah kategori Anugerah Filem Bahasa Asing Terbaik 2011. .

Filem yang mula ditayangkan pada 1 Januari 2010 perlu bersaing dengan 94 filem lain untuk merebut anugerah berkenaan pada majlis yang dijadualkan berlangsung pada 27 Februari 2011.

.

Senarai pendek filem-filem yang bakal dipertandingkan akan diketahui pada 25 Januari 2011.

.

Kementerian Kebudayaan Brazil memutuskan untuk menghantar pencalonan filem Lula, o Filho do Brasil pada 23 September 2010 kerana dianggap mampu mengangkat filem Brazil ke persada dunia.

.

“Pemilihan secara sebulat suara untuk mencalonkan filem ini tiada ada apa-apa kaitan politik kerana filem berkenaan mendapat sambutan hangat di dalam dan luar negara sejak mula ditayangkan,” kata Ketua Akademi Filem Brazil, Roberto Farias dalam kenyataan yang dikeluarkan di Sao Paulo pada 23 September 2010.

.

Filem Lula, o Filho do Brasil yang dianggap filem paling mahal di Brazil berkisar tentang zaman kanak-kanak dan remaja semasa Lula menjadi budak pengilat kasut dan pekerja kilang besi sebelum menjadi ketua kesatuan pekerja dan seterusnya menjadi Presiden Brazil pada 2003.

.

Skrip filem berkenaan ditulis berdasarkan novel dengan judul sama oleh Denise Paraná, seorang wartawan.

.

Filem Bahasa Portugis itu diarahkan oleh Fábio Barreto serta dibintangi oleh Felipe Falanga, Guilherme Tortólio dan Rui Ricardo Dias yang memegang watak Lula semasa kanak-kanak, remaja dan dewasa.

.

Fábio Barreto yang lahir di Rio de Janeiro pada 6 Jun 1957 memulakan karier perfileman pada usia 20 tahn dengan mengarah filem pendek berjudul A estória de José e Maria (1977). Beliau juga berlakon dalam filem Memórias do Cárcere (1984) dan For all - O Trampolim da Vitória (1997).

.

Rui Ricardo Dias yang lahir pada 9 Disember 1978 memegang watak Lula dari umur 18 hingga 35 tahun.

.

Kali pertama filem Lula, o Filho do Brasil ditayangkan adalah sempena Festival Filem Brazil Ke-42 pada 18 November 2009.

..

(Skrip ini ditulis oleh Uthaya Sankar SB berdasarkan maklumat dari pelbagai sumber dan disiarkan di halaman “Santai Global” akhbar Sinar Harian pada 25 September 2010.)