Kewujudan media alternatif dan portal berita dalam talian (online news portals) membuka ruang yang
luas bagi pelbagai pihak mengeluarkan bermacam-macam kenyataan untuk disiarkan
sebagai berita.
Langkah ini bertepatan dengan konsep kebebasan bersuara yang
ditegakkan. Orang ramai pula berpeluang membaca pandangan pelbagai pihak
sebelum membuat keputusan sendiri berdasarkan penilaian masing-masing.
Sepanjang tahun ini, kita turut menyaksikan penyiaran berita
berdasarkan kenyataan, sidang media, komentar, ulasan dan reaksi daripada puak
ultra kiasu, etnosentrik, pentaksub, fanatik, rasis dan pelampau.
Kenyataan-kenyataan daripada Ibrahim Ali, Zulkifli Noordin, Ridhuan Tee Abdullah, Perkasa, Isma, PPIM dan seangkatan dengannya
menimbulkan kemarahan orang ramai. Hal ini jelas menerusi komen pembaca pada
hujung berita yang disiarkan.
Pada masa sama, portal berita dalam talian juga gemar menulis
berita berdasarkan rencana atau pojok yang tersiar di akhbar-akhbar bercetak;
khususnya Utusan Malaysia dan Sinar Harian.
Rata-rata berita dan rencana yang dipetik itu adalah
berkaitan sesuatu isu sensitif yang seolah-olah sengaja disiarkan akhbar-akhbar
harian itu untuk mencetuskan kebencian dan permusuhan antara kaum teras (Melayu-Islam) dan kaum-kaum lain (minoriti).
Tanpa menafikan hak dan kebebasan bersuara yang harus
dihormati, portal berita dalam talian sepatutnya tidak memberi muka atau ruang
kepada puak fanatik dan rasis seperti itu untuk terus lantang bersuara.
Secara psikologi, puak berkenaan akan menjadi semakin teruja
setiap kali nama mereka disebut dalam berita. Mereka tidak kisah jika berita
itu adalah paparan negatif yang menyelar kebodohan mereka.
Daripada pemerhatian saya sebagai penulis dan perunding
media, puak terbabit akan semakin bersemangat untuk meneruskan kebodohan dan agenda rasis mereka memandangkan media
alternatif terus memberikan ruang kepada mereka untuk berbuat demikian.
Besarlah harapan saya supaya menjelang tahun 2015, media
alternatif dan portal berita dalam talian meminggirkan serta tidak terlalu
mengangkat berita berkaitan puak-puak seperti yang dinyatakan di atas.
Selalu juga politikus turut mengeluarkan kenyataan-kenyataan
bodoh berbaur perkauman yang menunjukkan tahap sebenar mentaliti mereka. Media
sepatutnya bertindak bijak dengan tidak memberikan ruang kepada penyiaran
berita berdasarkan kenyataan mereka.
Biarlah politikus dan puak fanatik berkenaan hanya mendapat
tempat di media propaganda arus perdana dan akhbar tabloid pinggiran. Biarlah
mereka terus bersuara di Facebook dan
Twitter.
Semoga tahun baru membawakan sajian lebih intelektual,
positif dan membina menerusi media alternatif dan portal berita dalam talian.
[Uthaya Sankar SB adalah penulis sepenuh masa dan pemilik Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya.
Surat ini ditulis pada 20 Disember 2014 dan disiarkan di The Malaysian Insider (20 Disember
2014), Yahoo! News (20 Disember 2014) dan Malaysiakini (21 Disember 2014).]