Isu Asid Deoksiribonukliek (DNA) babi yang
tiba-tiba meletup sekitar seminggu sebelum tarikh mengundi bagi Pilihan Raya
Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan, Perak tiba-tiba juga “selesai” beberapa hari
selepas “DAP tumbang” (meminjam tajuk utama Mingguan
Malaysia, 1 Jun 2014).
Tentulah tidak ada apa-apa kaitan antara
kedua-duanya, kecuali bahawa ada “mangkuk” (orang bodoh) yang menconteng salah
satu poster calon DAP dengan kata “BABI” – sebelum diubah dengan penuh kreatif
menjadi “BABE” oleh seseorang.
Sumber utama saya mengenai isu DNA babi
adalah versi dalam talian (online)
akhbar Utusan Malaysia dan Sinar Harian. Hanya selepas itu saya
merujuk maklumat lebih terperinci, mendalam dan meluas di portal berita dalam
talian yang lain.
Laman Sinar
Harian (24 Mei 2014) melaporkan bahawa syarikat Cadbury Dairy Milk menarik
balik dua produknya susulan penemuan DNA babi oleh Kementerian Kesihatan
Malaysia (KKM).
Turut dilaporkan di laman Utusan Malaysia bahawa KKM mengesahkan
sampel coklat telah diuji dan didapati positif porcine (babi). Ketua pengarah kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah
berkata, keputusan tersebut diperoleh hasil daripada tiga sampel coklat susu
Cadbury yang diambil untuk analisis bagi tujuan pemantauan.
Maka meletuplah berita yang menggemparkan
itu di ruang maya, khususnya menerusi laman rangkaian sosial seperti Facebook dan Twitter. Tentulah orang ramai – khususnya orang Islam – berhak
untuk terkejut, marah dan kecewa dengan apa yang berlaku.
Semasa kanak-kanak, saya pernah makan
daging babi hutan. Saya pernah termakan daging lembu yang dihidangkan orang Melayu-Islam yang “tidak tahu”.
Tokoh Ultra Kiasu, Ridhuan Tee Abdullah
sendiri mengakui di Sinar Harian
bahawa selain “pernah menjadi Kristian” (31 Oktober
2011), dia juga “pernah menternak dan memakan babi” (2 Jun 2014).
Sebagai pengamal multifaith, saya antara lain tidak makan daging lembu dan daging
babi, serta tidak minum arak. Saya ada ramai saudara-mara dan rakan-rakan yang
makan babi dan/atau makan lembu dan/atau minum arak. Itu hak dan pilihan
mereka. Saya tiada masalah, selagi mereka turut menghormati hak dan pilihan
saya.
Dalam isu DNA babi pula, ada puak tertentu
yang tampil menuntut syarikat Cadbury menanggung kos membersihkan dan menukar
darah dalam tubuh mereka! Serta-merta puak itu menjadi bahan lawak
antarabangsa.
Mungkin darah yang disyaki tercemar oleh
DNA babi dalam coklat lebih “haram” daripada rasuah, zina dan pelbagai
perbuatan bertentangan agama yang dilakukan secara terang-terangan dan penuh
sedar oleh puak berkenaan.
Dalam
pada itu, gabungan badan-badan bukan kerajaan (NGO) Islam melalui Persatuan
Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendakwa bahawa syarikat pengeluar coklat
berkenaan sengaja mahu mengkhianati umat Islam. –
Makalah ini ditulis pada 4 Jun 2014 dan disiarkan di The Malay Mail Online pada 9 Jun 2014 [BACA MAKALAH PENUH DI SINI] – Baca
juga: Dari DNA Babi ke Lemak Lembu