Seorang individu yang menggelar dirinya “sasterawan” perlu
memastikan bahawa karya yang dihasilkannya benar-benar bermutu dan mampu
memberi sumbangan yang bererti kepada perkembangan dunia sastera.
Perkara ini turut ditekankan oleh Sasterawan Negara Datuk Baharuddin Zainal (Baha Zain) sewaktu
beliau menjadi Ketua II Persatuan Penulis Nasional (Pena) dahulu.
Akhbar Berita Harian
(Singapura) bertarikh 4 Oktober 1969 melaporkan Baha Zain sebagai berkata,
dalam tradisi sastera moden Malaysia, “orang terlalu mudah menggelar seseorang
sebagai sasterawan.”
Menurut laporan berkenaan, Baha Zain kecewa kerana gelaran “sasterawan”
turut diberi sewenang-wenangnya; termasuk apabila seseorang tokoh “pernah kena
tangkap” dan telah menghasilkan “beberapa buah buku cerita.”
“Sedangkan tulisannya tak dapat menyumbangkan sesuatu yang
bererti dari segi kualitinya,” kata Zaha Zain pada sebuah forum yang
berlangsung di Universiti Malaya.
Sambil menekankan betapa perlu para penulis bersikap serius
dalam kerja-kerja menghasilkan karya sastera bermutu, Baha Zain turut dipetik
sebagai berkata: “Tuntutan yang mendesak sekarang adalah pendewasaan sastera,
dan dengan menghasilkan sastera yang matang dan bernilai bererti kita mencipta
seni dan kebudayaan.”
Walaupun pandangan ini dikemukakan 50 tahun dahulu, ternyata kata-kata Baha Zain masih relevan dan
wajar diberi perhatian serius oleh golongan penulis yang mahu membina jati diri
dalam peta Sastera Kebangsaan.