Kebanyakan novel Bahasa Malaysia ditulis pengarang Melayu dan lebih banyak tertumpu kepada budaya, pemikiran, persoalan, dan isu-isu berkaitan kaum Melayu-Islam.
Sesekali, memang ada pengarang
Melayu yang cuba menampilkan watak utama daripada kaum Bukan Melayu-Islam,
tetapi sering kali gagal mengangkat jati diri, jiwa, perwatakan, dan budaya
sebenar kaum India.
Mujurlah terdapat sejumlah Sasterawan Kavyan iaitu kelompok penulis kaum India yang menghasilkan
karya asli Bahasa Malaysia. Kebanyakan penulis daripada kategori ini mampu
menampilkan budaya kaum India secara lebih positif dan meyakinkan.
Pada kali ini, saya memilih
untuk memperkatakan sebuah novel yang judulnya pun sudah cukup untuk
menyedarkan pembaca bahawa ia sebuah karya cinta. Sebagaimana diakui oleh
pengarang, Thanusya
Shanmuganathan, buku
sulungnya ini merupakan “sebuah novel cinta Melayu”.
Walau bagaimanapun, novel Tak Sengaja Cinta (2014) tidak mengangkat watak-watak utama kaum Melayu.
Sebaliknya majoriti watak dalam novel setebal 742 halaman ini adalah watak kaum
India beragama Hindu.
Maka, tentu sahaja novel ini
menampilkan sedikit sebanyak aspek budaya kaum India di Malaysia untuk tatapan
pembaca pelbagai kaum. Aspek-aspek budaya inilah yang akan diperhatikan
serba-sedikit menerusi makalah ini; tanpa mendedahkan jalan cerita (plot).
“Saya menulis dari hati dan mahu
dilihat sebagai penulis berwibawa, bukan penulis kaum India yang menulis karya
kurang bermutu. Saya tidak suka dibanding-bandingkan dengan penulis Melayu,”
kata bekas pelajar Sekolah Menengah (P) Sri Aman, Petaling Jaya ini sewaktu
saya bertemu dengannya.
Thanusya yang menggunakan nama
pena Meera
Natasya mengaku amat berminat membaca
novel cinta Melayu. Malah, sehingga kini, beliau menyimpan koleksi hampir 200
novel dalam kategori berkenaan.
Apa yang menarik, walaupun
bergelumang dengan bahan bacaan yang dipenuhi penampilan budaya Melayu-Islam,
pengarang wanita ini tidak melepaskan peluang menyelitkan serba sedikit unsur
budaya India-Hindu dalam novelnya.
Penulis kaum India seperti Saroja Theavy
Balakrishnan dan M. Mahendran yang mula berkarya pada tahun 1980-an sering menampilkan
budaya, pemikiran, dan permasalahan masyarakat India menerusi cerpen.
Upacara Pertunangan dan
Perkahwinan
Kehadiran penulis muda seperti
Thanusya yang berani meneruskan tradisi itu memang patut dialu-alukan dan
diberikan galakan.
Tambahan pula, dalam konteks
masyarakat pelbagai kaum, etnik, dan agama di Malaysia, pemaparan budaya kaum
India seperti dilakukan Thanusya mampu membantu usaha mendidik orang ramai
supaya saling memahami, menghormati, dan bertolak-ansur.
Pada bab 17 novel Tak
Sengaja Cinta dipaparkan majlis perkahwinan Sham dan Roshini.
Beberapa jam sebelum mereka “bakal bersatu dalam satu ikatan suci bergelar
perkahwinan,” mereka berdua dikatakan didandan oleh mak andam.
Pengantin lelaki memakai pakaian
tradisional kaum India iaitu veshti dan jippa. Di kepalanya diikat talapha. Selepas
dipakaikan kalung bunga dan disuruh memegang jambangan bunga di tangan, Sham
diarak dari luar kuil ke pelamin untuk upacara seterusnya.
Penulis turut menggambarkan
upacara kanyadaan yang disempurnakan oleh seorang pandit.
Para pembaca yang sudah terbiasa menonton filem Hindi pasti tidak menghadapi
masalah untuk membayangkan dan mevisulkan babak ini dalam minda masing-masing.
Majlis perkahwinan tradisional
orang India dilukiskan secara amat teliti dalam novel ini. Makna-makna di
sebalik upacara melibatkan varmala, agni puja dan mengikat taali pada leher pengantin wanita diterangkan bagi membantu
pembaca memahami budaya India.
Sambil menggambarkan suasana
pada majlis perkahwinan, Thanusya sempat juga menyelitkan sedikit kritikan
berkaitan sikap segelintir ahli masyarakat India yang mengabaikan budaya
tradisi:
“Dalam masyarakat moden kini,
memang jarang lelaki mengenakan cincin kaki. Malah, ada juga wanita yang berani
menanggalkan tali suci ketika keluar. Namun, di setengah kawasan, masih
terdapat segelintir masyarakat India yang masih mengamalkan adat tradisi ini”. (Halaman 241)
Pada halaman 312-313 pula
digambarkan majlis pertunangan Sanjana. Bakal tunangnya memakai veshti dan jippa berwarna
putih serta duduk di atas buaian yang disediakan khas bagi upacara berkenaan.
Walaupun cerita atau plot dalam novel ini mungkin tidak jauh berbeza dengan novel pengarang Melayu, keunikan terletak pada kemampuan Thanusya mengadunkan budaya kaum India secara kemas dalam penulisan. [Baca: Bahagian 2]