29 Dec 2018

Veshti Memperlihatkan Keistimewaan Jejaka India


Ramai orang tidak tahu bahawa bermula tahun 2014, tarikh 6 Januari diisytiharkan sebagai Veshti Dhinam atau Hari Veshti. Usaha memartabatkan pakaian tradisional India ini sebenarnya bermula di Tamil Nadu, India di mana Koperasi Tenun Tangan (Co-optex) berusaha membantu pengusaha industri kecil yang terlibat dalam kerja-kerja menenun veshti secara tradisional.

Sekiranya kita menghadiri upacara keagamaan Hindu, majlis perkahwinan rakan-rakan kaum India, atau perayaan seperti Deepavali, Ponggal (pesta menuai), Vishu dan Onam, kita akan berpeluang melihat kanak-kanak, remaja, belia dan lelaki dewasa memakai veshti.

Tarikh sebenar veshti diperkenalkan dalam budaya India tidak diketahui. Walau bagaimanapun, bukti-bukti arkeologi di Lembah Indus dan Tamadun Harappa menunjukkan bahawa veshti menjadi pakaian lazim seawal kurun ke-5 Sebelum Masehi. Raja-raja dan penyair pada Zaman Sangam (sekitar 300 Sebelum Masehi hingga 300 Masehi) di Tamil Nadu, Kerala, Andra Pradesh, Karnataka dan Sri Lanka digambarkan memakai veshti.

Pakaian tradisional ini merupakan sehelai kain sepanjang sekitar empat meter. Ia ditenun tangan dan bahagian tepinya juga tidak dijahit menggunakan mesin. Panjang sehelai veshti dikira dalam ukuran muzham iaitu 4 muzham (2 meter) atau 8 muzham (4 meter). Sekiranya veshti sepanjang 8 muzham digunakan, maka ia dilipat dua sebelum diikat supaya lebih tebal.

Ada dua istilah yang lazim digunakan bagi kain ini di negara asalnya iaitu India. Istilah dhoti dalam bahasa Sanskrit, Hindi dan Urdu adalah sama dengan apa yang digelar veshti dalam Tamil, panche dalam Kannada, pancha dalam Telugu dan mundu dalam Malayalam. Masing-masing etnik yang berbeza ada cara tersendiri yang unik dalam corak serta cara kain ini dipakai. Veshti yang dijual di Malaysia diimport sepenuhnya dari Tamil Nadu, Andra Pradesh dan Kerala.

Veshti adalah pakaian tradisional bagi golongan lelaki India tanpa mengira usia. Hanya dalam tradisi orang Malayali dari Kerala, golongan wanita turut memakai mundu yang dipadankan pula dengan neri bagi bahagian atas tubuh si wanita. Malah, di Kerala, “veshti” merujuk kepada tuala kecil yang diletakkan di atas bahu untuk dipadankan dengan mundu. Dalam tradisi Tamil dan Telugu, tuala itu dikenali sebagai “thundu” atau “angavastram”. …

[Teks penuh boleh dibaca dalam majalah Dewan Budaya keluaran Januari 2019 dan antologi Landasan Hidup (2020). Juga dalam buku Suvarna Bhumi (2022). Versi asal rencana ini ditulis pada 25 Oktober 2018. © Uthaya Sankar SB]