29 Dec 2018

Perang dalam Minda


“Arjunan?” Saya bertanya bagi memastikan dialah orangnya.

“Betul,” jawabnya ringkas seraya memasuki kenderaan.

Perjalanan kami selama beberapa minit selepas itu berlangsung dalam suasana senyap. Mata saya tertumpu pada jalan raya dan pada Waze.

Sebagai pemandu Grab secara sambilan sejak dua minggu lalu, ramai juga penumpang yang sudah saya temui. Majoriti memilih untuk duduk diam sepanjang perjalanan. Ada juga penumpang yang suka berbual dan bertanya khabar.

Pemuda yang duduk di kerusi penumpang di sebelah kiri saya nampaknya kurang berminat untuk berbual. Maka, saya terpaksa memendamkan sahaja keinginan untuk bercerita tentang watak Arjuna dan Krishna dalam epik Mahabharata.

“Berapa jauh lagi?” Arjunan bertanya.

“Sekitar 30 kilometer,” segera saya menjawab seraya memandang sekilas paparan pada Waze di telefon bimbit. “Dalam 30 minit lagi boleh sampai.”

Pemuda berumur sekitar pertengahan 20-an itu mengangguk kecil dalam diam. Sesekali dia memandang jam tangan pada pergelangan tangan kanan. Pemuda yang memakai kemeja-T putih dan berseluar jeans itu kelihatan resah.

“Ada urusan penting?” Saya cuba memulakan perbualan semata-mata kerana mahu membantu mengurangkan keresahannya. Pada masa sama, boleh juga mengisi masa bagi perjalanan yang masih berbaki.

“Ya,” Arjunan menjawab ringkas.

Saya mengangguk sambil menumpukan perhatian ke jalan raya. Amat jelas bahawa penumpang ini tidak berminat untuk berbual. Biasanya, berdasarkan pengalaman saya sejak dua minggu lalu, penumpang Grab yang tidak mahu berbual akan memilih tempat duduk belakang.

“Urusan harta keluarga,” katanya secara tiba-tiba.

“Oh,” saya memberikan maklum balas ringkas kerana masih tidak pasti sama ada Arjunan bersedia untuk meneruskan perbualan.

Saya pun sudah buntu. Ini pertikaian sejak zaman bapa. Entah bila akan selesai.”

Saya membiarkan sahaja pemuda itu menceritakan apa-apa yang mahu dikongsinya. Tentu sahaja dia tidak mengharapkan sebarang bantuan atau pandangan daripada saya. Sebaliknya, pasti hanya mahu meluahkan apa-apa yang menimbulkan keresahan dalam fikiran. Atau sekadar mengisi masa perjalanan menuju destinasi. …

[Teks penuh boleh dibaca dalam majalah Dewan Masyarakat keluaran Januari 2019. Juga termuat dalam antologi Busana Bahasa. Versi asal cerpen ini ditulis pada 5 Oktober 2018. Baca juga versi Inggeris berjudul Mind Battles. © Uthaya Sankar SB]