[Walaupun tidak ramai petani dan penternak lembu dalam kalangan kaum India di Malaysia, sambutan Ponggal masih menjadi amalan. Makalah ini mungkin membantu pembaca untuk memahami puncanya.]
Semasa menjadi Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi menghadiri “Pesta Ponggal Bukit Bintang” di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur pada 19 Januari 2008. Tarikh itu adalah sebelum Pilihan Raya Umum Ke-12 (8 Mac 2008).
Pada 13 Januari 2013, Datuk Seri Najib Razak (Perdana Menteri sekarang) menghadiri “Pesta Ponggal Sayangi Selangor PM Bersama Rakyat” di Tengku Kelana, Klang. Agak menarik kerana PRU-13 akan (terpaksa) diadakan dalam masa terdekat.
Walau bagaimanapun, usahlah ada sesiapa yang mempertikaikan kenapa seorang pemimpin Melayu (baca: pemimpin UMNO) perlu menghadiri suatu acara yang selalunya dikaitkan dengan budaya kaum India dan agama Hindu.
Secara tradisi, Ponggal dirayakan oleh penduduk (petani dan penternak) di Tamil Nadu dan Andra Pradesh, India. Bagaimanapun, keadaannya agak berbeza kini kerana Ponggal disambut oleh hampir semua penduduk kaum India tanpa mengira keturunan dan batas geografi.
Ponggal diakui adalah “Pesta Menuai” dan disambut pada permulaan bulan Thai (Januari/Februari) mengikut kalendar Tamil. Malah, di Tamil Nadu, Ponggal adalah jauh lebih penting dan meriah berbanding Deepavali. Ada juga kelompok yang menganggap Ponggal sebagai tarikh tahun baru.
Masyarakat Kadazandusun di Sabah akan menyambut Kaamatan pada 30-31 Mei 2013 manakala masyarakat Dayak (Iban dan Bidayuh) bakal menyambut Gawai pada 1-2 Jun 2013. Kedua-duanya ada kaitan rapat dengan pesta menuai yang sebenarnya berciri sejagat.
[Baca juga -- Sambutan ponggol oleh komuniti Chetti Melaka]
Berbalik pada soal pemimpin Melayu menghadiri acara kaum India, usah kita lupa akan kisah dalam Sejarah Melayu apabila Nila Pahlawan, Kerishna Pendita dan Nila Utama (Sang Si Perba) muncul di Bukit Siguntang, Palembang. Wan Empok dan Wan Malini bertanam padi. Maknanya, Ponggal atau pesta menuai memang sudah sebati dengan budaya Melayu sejak zaman dahulu; dengan kedatangan agama Hindu seperti terbukti menerusi Sejarah Melayu.
Pada masa sama, mungkin muncul sedikit kekeliruan apabila Najib mengadakan Pesta Ponggal pada 13 Januari 2013, iaitu sehari sebelum tarikh sebenar. Mungkin tidak ada sesiapa yang membisikkan kepadanya bahawa hari sebelum Ponggal adalah Boghi.
Saya pernah menghuraikan menerusi sebuah makalah di majalah Dewan Budaya (Januari 2004) mengenai sambutan Ponggal. Saya fikir, tidak salah jika maklumat berkaitan diulang sembilan tahun kemudian demi manfaat masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara bertuah ini di mana kepelbagaian diraikan dengan semangat Bangsa Malaysia.
[Makalah ini ditulis semula pada 16 Januari 2013 dan disiarkan di Roketkini pada 21 Januari 2013. Makalah penuh boleh dibaca di dalam buku Malaiur Manikam. © Uthaya Sankar SB 2004, 2013. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]