28 Dec 2018

Varuna dan Hujan


Seperti titis-titis hujan itulah mereka turun ke bumi dan mendarat di tempat-tempat yang berbeza. Dan umpama titis-titis hujan itulah juga mereka memiliki warna, rasa, jiwa dan peribadi berbeza mengikut tanah tumpahnya diri.

Perbezaan itulah yang memisahkan mereka. Atau kadang-kadang dijadikan alasan untuk memisahkan mereka. Air hujan yang jatuh dan bersatu dengan kolam ditumbuhi teratai ada peribadi tersendiri. Titik-titik hujan yang mengalir masuk ke dalam longkang ada sifat tersendiri akibat persekitaran baharu yang dihuni.

Demikianlah mereka sedar serta akur pada realiti kepelbagaian peribadi yang terhasil di muka bumi sesudah mendarat di sini. Mereka tidak punya peluang – apatah lagi hak – untuk menentukan di mana mereka akan jatuh sewaktu gugur dari kepulan mega yang sudah sarat lalu memutuskan untuk menggugurkan isi sebagaimana tabii sejak terciptanya awan.

“Ayuh! Kita meraikan kepelbagaian.”

Suara kecil dari kali kedengaran bagi sekian kali. Sering kali suara halus itu tenggelam diatasi bunyi deruan air yang alirannya semakin lama semakin membesar. Tidak ubah seperti suara-suara manusia yang lantang, lalu menenggelamkan nyanyian cengkerik.

Suara halus dari sungai kecil tidak berputus asa. Ia bersuara lagi dan lagi. Saranannya sampai kepada rakan-rakan di sisi. Kemudian, bagaikan embun yang bertukar menjadi wap air akibat panahan mentari, cadangannya mula tersebar luas serata negeri.

“Ayuh, kita meraikan kepelbagaian dan jati diri.”

Demikian suara kecil dari kali mula mengalir bukan hanya di anak-anak sungai dan longkang, tetapi juga dibawa bayu dan mentari terbang merata. Titis-titis hujan yang kini sudah bersatu dan berasimilasi di dalam tasik, sungai, longkang, parit, tempayan, tangki, laut, kolam kumbahan, empangan dan saliran mula menyimpan impian. Masing-masing mahu mengenang asal-usul daripada awan yang turun dari langit dalam bentuk hujan. Masing-masing mahu turut akur pada realiti keperibadian yang dimiliki kini berdasarkan tanah tumpahnya diri. …

[Teks penuh boleh dibaca dalam majalah Dewan Sastera keluaran Januari 2019 dan Kumpulan Cerpen Uthaya. Versi asal cerpen ini ditulis pada 12 September 2018. © Uthaya Sankar SB]