22 Mar 2022

Budaya India dalam Novel Melayu – Bahagian 2

[Baca Bahagian 1] Menerusi novel Tak Sengaja Cinta (2014), Thanusya Shanmuganathan menggambarkan watak Sanjana “kelihatan cantik bagaikan bidadari” selepas didandan oleh kakak-kakak iparnya. Gadis itu memakai sari hijau, berinai merah pada jari-jemari, dan rambut dihiasi bunga melur.

Bagi khalayak yang mahukan peluang memahami budaya kaum India sambil berhibur membaca sebuah karya penuh saspens, novel ini boleh dijadikan pilihan yang amat sesuai.

Sebagaimana majlis perkahwinan Sham digambarkan secara teliti pada halaman 238-241, majlis pertunangan adiknya, Sanjana, juga diceritakan dengan terperinci bagi memudahkan pembaca memahami budaya India.

“Seorang pandit telah dipanggil untuk melangsungkan majlis pertunangan mereka. Pandit mula membacakan warkah perkahwinan. Kedua [sic] keluarga bertukar dulang hantaran berisi daun sirih, buah pinang, kelapa, pisang, kunyit, serbuk kumkum dan sepasang sari dan vesthi, bunga melur serta gelang tangan. Kedua-dua papa mereka merenjis air mawar ke arah pasangan itu sebagai tanda merestui mereka”. (Halaman 312-313)

Selain daripada majlis pertunangan dan perkahwinan, Thanusya turut mengkaji dan seterusnya menggambarkan majlis lenggang perut dalam budaya masyarakat India menerusi novel Tak Sengaja Cinta.

Pembaca Melayu khususnya akan berpeluang melihat banyak persamaan budaya dalam upacara ini. Pada masa sama, ada beberapa aspek yang unik dan mungkin tidak terdapat dalam budaya Melayu.

Misalnya, Shankar memakaikan kalungan bunga pada leher isterinya, Preeti, yang sedang mengandungkan anak sulung. Kemudian si suami memakaikan gelang-gelang kaca berwarna-warni yang dibeli khusus untuk majlis berkenaan.

“Preeti juga tidak lupa untuk sujud di kaki suaminya sebagai tanda restu buatnya untuk menghalalkan makan minumnya dan doa agar dia akan pulang dengan selamat bersama anak mereka. Ini kerana Preeti akan terus tinggal di rumah ibu bapanya sehinggalah dia bersalin dan habis berpantang nanti”. (Halaman 325-326)

Dalam novel ini, majlis perkahwinan Sanjana berlangsung pada 18 September 2011. Upacara khas dalam tradisi India yang berlangsung sehari sebelum itu digambarkan oleh pengarang di halaman 403.

Upacara perkahwinan Sanjana pula diterangkan dan dihuraikan oleh penulis pada halaman 406-411. Apa yang menarik, selain daripada gambaran budaya, Thanusya turut menyelitkan pelbagai peristiwa yang menggerakkan cerita.

Bijak Menggabungkan Budaya, Jalan Cerita

Harus diakui bahawa gambaran budaya kaum India menerusi majlis perkahwinan itu bukan semata-mata sebagai tempelan. Sebaliknya menjadi sebahagian daripada plot yang menggerakkan cerita. Kejayaan pengarang menangani hal ini secara bijak wajar dipuji.

Thanusya mengakui bahawa Tak Sengaja Cinta bukan sekadar sebuah novel, tetapi “sebuah kitab yang menyentuh mengenai adat dan budaya masyarakat Hindu di Malaysia.”

Penulis ini adalah graduan sarjana muda sastera dari Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya. Sewaktu saya bertemu beliau untuk mendapatkan senaskhah novel sulung ini, anak bongsu daripada enam adik-beradik ini tinggal bersama ibu bapanya di Petaling Jaya dan bekerja di sebuah kedai buku terkemuka di Kuala Lumpur. Pilihan kerjaya itu berikutan kecintaannya yang amat mendalam terhadap bahan bacaan.

Thanusya meminati bidang penulisan sejak kanak-kanak dan bercita-cita menjadi seorang penulis terkenal. Walaupun sudah berjaya menghasilkan novel sulung, beliau mengaku masih mahu belajar untuk meningkatkan mutu penulisan dan ingin terus menghasilkan karya yang lain daripada yang lain.

Jumlah penulis kaum India yang menghasilkan karya bahasa kebangsaan tidak ramai. Malah, menurut sebuah rencana bertajuk “Ketandusan penulis bukan Melayu” (Mingguan Malaysia, 26 Mei 2013), terdapat hanya empat penulis kaum India yang masih berkarya secara konsisten. Karya puisi salah seorang daripada mereka pula sedikit pun tidak menggambarkan budaya kaum India. [Baca maklumat penuh dalam buku Kavya Sastra.]

Dalam keadaan tandus seperti ini, kehadiran Thanusya pasti sahaja amat dialu-alukan. Apatah lagi, pengarang ini berpegang pada keinginan untuk terus memaparkan budaya masyarakat India menerusi novel-novel yang dihasilkannya.

Menurutnya, “karya-karya yang menyentuh mengenai unsur budaya India tidak begitu menyerlah di Malaysia.” Maka, pengarang wanita ini berhasrat memperkenalkan adat dan budaya kaum India kepada pembaca pelbagai kaum menerusi hasil tulisannya.

Tidak keterlaluan untuk mengandaikan serta mengharapkan bahawa Thanusya akan terus aktif menghasilkan karya-karya yang bakal membantu memperkayakan khazanah penulisan Bahasa Malaysia.

Ulasan ini tersiar di Roketkini pada 17 Mei 2015. © Uthaya Sankar SB. Lihat juga — Biodata Sasterawan Kavyan.