20 Sept 2025

Kempen Hadiah Buku Untuk Kanak-kanak

Pengenalan

Buku Rani di Kuil Bhagavati (2025) memuatkan sembilan buah cerita rakyat India yang diceritakan semula dalam Bahasa Malaysia. Kempen menghadiahkan buku cerita Nari! Nari! (2023) serta Ikan Patin dan Beruang Besar (2024) pernah diadakan sebelum ini untuk membolehkan kanak-kanak pelbagai kaum daripada keluarga miskin (B40) yang gemar membaca boleh memiliki bahan bacaan bermutu. Orang ramai pula berpeluang menyumbang bagi menjayakan usaha murni ini. Kempen ini diusahakan semula dengan harapan kanak-kanak berpeluang memiliki dan membaca buku Rani di Kuil Bhagavati pada cuti sekolah hujung tahun (20 Disember 2025 – 11 Januari 2026).

 

Gerak Kerja

Kempen hadiah buku ini diuruskan oleh Uthaya Sankar SB selaku penulis dan penerbit buku Rani di Kuil Bhagavati. Maka, kempen dapat dijalankan dengan kos minimum kerana tidak melibatkan kos penyelenggaraan atau motif keuntungan. Kempen dijalankan dalam tiga fasa seperti berikut.

 

Fasa Satu – Penerima Hadiah Buku

Uthaya dengan bantuan rakan-rakan (Kavyan, guru, penulis, NGO, pemimpin komuniti, dan sebagainya) berusaha mengenal pasti kanak-kanak (10-14 tahun) pelbagai kaum yang sesuai, layak, dan berminat membaca buku cerita Bahasa Malaysia. Setiap individu diminta mencalonkan empat (4) kanak-kanak yang layak menerima hadiah buku cerita. Borang khas diberi kepada pencalon mulai 1 Oktober 2025 untuk memasukkan maklumat empat (4) kanak-kanak yang dicalonkan. Tarikh akhir bagi menyerahkan borang pencalonan kepada Uthaya ialah 31 Oktober 2025 (10:00 malam). Nama pencalon dan nama kanak-kanak yang dicalonkan dipaparkan di blog ini bagi tujuan dokumentasi dan ketelusan.

 

Fasa Dua – Penyumbang Hadiah Buku

Uthaya berusaha mencari individu yang sudi memberi sumbangan untuk membolehkan buku cerita Rani di Kuil Bhagavati dihadiahkan kepada kanak-kanak terbabit. Menerusi sumbangan RM50 (Lima Puluh Ringgit), buku cerita dapat dihadiahkan kepada empat (4) kanak-kanak. Nama penyumbang dipaparkan di blog ini. Penyumbang boleh meminta supaya nama samaran digunakan di blog (jika tidak mahu nama sebenar dipaparkan). Surat penghargaan diberi bagi setiap sumbangan dengan menyatakan jumlah sumbangan. Bagaimanapun, resit tidak diberi kerana ini bukan urusan jual-beli. Segala urusan sumbangan diharap dapat diselesaikan selewat-lewatnya pada 30 November 2025 (10:00 malam).

 

Fasa Tiga – Mengirim Hadiah Buku

Buku Rani di Kuil Bhagavati dikirim melalui pos kepada pencalon pada awal Disember 2025. Pencalon bertanggungjawab menyerahkan buku cerita kepada kanak-kanak terbabit sebelum 19 Disember 2025. Pencalon juga bertanggungjawab merakam foto setiap kanak-kanak (secara individu) memegang dan membaca buku cerita berkenaan; jika boleh bersama ibu bapa atau penjaga. Foto perlu dikirim kepada Uthaya selewat-lewatnya pada 19 Disember 2025 (10:00 malam). Foto akan dipaparkan di blog ini dan media sosial bagi tujuan dokumentasi. Kanak-kanak terbabit diharap akan meluangkan masa membaca buku cerita pada cuti sekolah hujung tahun.

 

Maklumat Lanjut dan Pertanyaan

Hubungi Uthaya menerusi WhatsApp 011-11411952 selewat-lewatnya pada 30 November 2025 (10:00 malam).