Dalam kalangan kaum India khususnya yang beragama Hindu di Malaysia, upacara perkahwinan disebut sebagai kalyanam, kanya, vivaha, muhurtam, atau thirumanam. Dalam kumpulan esei Suvarna Bhumi (2022), saya menghuraikan secara ringkas proses merisik, meminang, bertunang, dan berkahwin yang diamalkan orang Tamil, Malayali, dan Telugu.
Di bawah
Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 atau Akta 164, umur
sah bagi individu Bukan Islam berkahwin ialah 21 tahun. Jika berumur 16 hingga
20 tahun, maka perlu mendapatkan izin ibu bapa.
Dalam
realiti hidup sekarang, ramai yang masih belajar di kolej atau universiti
sehingga umur sekitar 25 tahun. Kemudian, memasuki alam pekerjaan dan perlu
membayar hutang pinjaman pendidikan. Selepas itu, terpaksa memikirkan soal
membeli rumah dan kereta.
Apabila
semuanya sudah stabil, barulah dapat benar-benar memasuki alam perkahwinan.
Maka, budaya dan trend berkahwin kaum India sudah berubah jika dibandingkan
dengan tahun 1980-an.
Baru-baru
ini [13 September 2022], saya membincangkan topik ini bersama beberapa rakan. Pada
pandangan Hendry
Rao Francis, umur yang sesuai bagi lelaki kaum India berkahwin ialah
26 hingga 28 tahun kerana itulah masanya mereka benar-benar matang dari segi
mental dan emosional serta lebih stabil dari sudut sosioekonomi.
“Bagi
wanita pula, umur 25 hingga 27 tahun agak sesuai kerana sudah tamat pengajian
dan mula bekerja. Pasangan itu perlukan masa untuk bersedia dari segi pekerjaan
dan kewangan sebelum memulakan hidup baharu,” kata guru itu yang tinggal di
Bandar Seri Sendayan, Negeri Sembilan.
Bagi Indrarao Ramulu
dari Taiping, Perak pula, umur 32 hingga 37
tahun dianggap paling ideal bagi lelaki supaya tanggungjawab selepas berkahwin
dapat ditunaikan dengan baik. Individu itu juga lebih matang dalam mengambil
keputusan serta mampu menghadapi sebarang krisis sebagai ketua keluarga.
“Umur
sesuai bagi wanita pula 28 hingga 33 tahun kerana mampu menghayati erti sebenar
perkahwinan dan perkongsian hidup yang akan membawa kepada sebuah keluarga harmoni,”
kata guru itu.
Turut
berkongsi pandangan ialah Priveena Thanabalan, seorang penganalisis
perniagaan dari Bayan Baru, Pulau Pinang. Pada pendapatnya, tidak boleh
diletakkan umur khusus kerana setiap individu berbeza. Apa yang penting, orang
itu harus matang dari segi emosi, mental, dan kewangan serta sudah bersedia
untuk berkeluarga.
“Mungkin
umur 25 hingga 35 tahun agak ideal. Jika terlalu lewat berkahwin, pasangan itu
perlu menyara anak-anak pada usia tua. Bagi si wanita, mengandung dan bersalin
pada usia lanjut boleh pula mengancam kesihatan diri dan bayi,” beliau
menghuraikan.
Pegawai teknologi
makanan dari Butterworth, Pulau Pinang, S. Ghanthimathi yang saya kenali sejak sekolah
rendah juga terlibat dalam perbincangan. Pada pemerhatiannya, umur sesuai bagi
lelaki dan wanita kaum India berkahwin ialah selepas tamat pengajian, ada pekerjaan
tetap, dan stabil dari segi kewangan. Biasanya, hal ini berlaku pada sekitar
umur 26 tahun.
Pandangan
hampir serupa dikemukakan seorang lagi rakan, Sivapalan Selvadurai dari
Kajang, Selangor. Antara aspek penting yang selalu kurang difikirkan pasangan muda
ialah keperluan ekonomi seperti simpanan hari tua, insurans, dan dana lain bagi
perlindungan diri dan keluarga. Sebolehnya, beli rumah dahulu supaya bayaran
dapat dilangsai sebelum pencen.
“Umur sesuai
bagi lelaki dan wanita ialah 28 hingga 30 tahun. Bagi wanita, perlu fikirkan
juga aspek reproduksi. Sekurang-kurangnya pasangan itu boleh rancang jarak
antara setiap anak,” kata bekas pensyarah itu.
Perbincangan
kami turut menjurus kepada soalan sama ada perlu dibuat kursus kahwin bagi
bakal pengantin kaum India beragama Hindu, Kristian, Buddha, atau Sikh. Topik
ini memang selalu diperkatakan pelbagai badan agama dan pertubuhan bukan
kerajaan (NGO) tetapi belum ada sebarang keputusan.
“Saya
setuju jika kursus perkahwinan diwajibkan. Semasa anak muda berkenalan, banyak
isu diketepikan dan tidak dibincang. Selepas berkahwin dan timbul macam-macam
masalah peribadi dan isu rumahtangga, mereka tidak mampu menanganinya. Itulah
juga punca perceraian,” Hendry Rao menegaskan.
Indrarao turut bersetuju kursus kahwin menjadi
suatu budaya dan kewajiban dalam masyarakat. Kaum India biasanya melihat porutam (keserasian) pasangan sebelum
meminang tetapi kursus kahwin dapat benar-benar menyediakan pasangan itu mengharungi
realiti dan cabaran hidup berumahtangga secara matang dan komited. Modul kursus
kahwin perlu dirangka dengan baik mengikut keperluan kumpulan sasaran.
“Kursus
kahwin wajib dibuat bagi mendidik pemuda dan gadis tentang kehidupan
berkeluarga. Termasuk juga hal perancangan keluarga, kewangan, persediaan menjadi
ibu bapa, penyelesaian konflik, dan tolak-ansur. Kursus kahwin yang dirangka
dengan baik boleh menjadi asas untuk pasangan itu berbincang dan menyelesaikan
sebarang masalah secara baik,” kata Priveena.
Ghanthimathi turut menyokong kursus kahwin
diwajibkan. Pengisian bukan hanya tentang hubungan suami-isteri dan alam perkahwinan.
Sebaliknya, kursus perlu memasukkan juga elemen semakan rekod jenayah, Credit Tip Off Service (CTOS) bagi
kedudukan kewangan serta ujian kesihatan seperti HIV dan penyakit lain sebagai
prasyarat sebelum pasangan itu boleh berkahwin. Langkah ini dapat membantu
mengatasi pelbagai masalah yang sering berlaku dalam komuniti India.
Modul
kursus kahwin bagi kaum India perlulah juga disesuaikan dengan aspek budaya,
adat, dan agama kelompok sasaran. Sivapalan mengingatkan bahawa kehidupan masa
kini dipenuhi pelbagai cabaran moden yang mungkin tiada pada masa lalu. Elemen
budaya dan agama yang diselitkan dalam kursus kahwin boleh membantu pasangan
muda bersedia secara mental dan spiritual.
Bercakap
tentang aspek budaya, kesemua rakan yang terlibat dalam perbincangan ini setuju
bahawa bakal pengantin perlu juga mempersiapkan diri dengan mendalami aspek
budaya tradisi.
Setiap
keturunan seperti Tamil, Telugu, Malayali, Punjabi, dan Bengali ada budaya,
adat, amalan, identiti, jati diri, dan tradisi tersendiri yang akan pupus jika
bakal pengantin tidak lagi menghayati, mengamalkan, dan mengajar anak-cucu
mereka.