Dalam budaya kuno India, golongan wanita berstatus janda (bercerai), balu (kematian suami), atau andartu (anak dara tua) dipandang rendah dan dipinggirkan dalam pelbagai acara seperti majlis perkahwinan dan upacara keagamaan. Hal ini dapat diperhatikan dalam buku cerita dan filem Tamil.
Semasa
membincangkan topik ini bersama sekumpulan rakan, seorang yang berusia 40-an tahun meluahkan kekecewaan yang
dipendam dalam diri. Katanya, anak-anak saudara yang baru berkahwin diberi
kedudukan lebih tinggi dalam masyarakat sementara keluarga dan saudara mara meminggirkannya
kerana belum berkahwin.
“Apabila
ada upacara seperti pertunangan, perkahwinan dan lenggang perut, saya secara
terang-terangan dihalang mengambil bahagian. Semasa anak-anak saudara masih
bayi, saya menjaga mereka siang dan malam, serta menukar lampin kerana ibu bapa
mereka sibuk bekerja. Kini, saya dikatakan tidak layak merestui mereka pada
majlis perkahwinan,” katanya.
Rakan-rakan
lain turut menyatakan rasa sedih kerana masih ramai kaum India yang terpelajar dan kononnya
berfikiran moden juga mempraktikkan amalan kolot ini yang sebenarnya menindas
golongan wanita.
[Baca juga — Umur Berapa Ideal Kahwin?]
“Nampaknya,
walau setinggi mana kami belajar, menjadi pekerja profesional, dan bergaji tinggi,
kedudukan kami masih amat rendah pada pandangan saudara mara dan masyarakat.
Tidakkah mereka sedar, orang bujang atau andartu melakukan lebih banyak pengorbanan
dan memikul lebih banyak tanggungjawab demi keluarga? Malangnya, semua itu tidak
dihargai dan tidak dikenang,” seorang lagi rakan yang mengalami nasib sama
meluah isi hati.
Mengulas
isu ini, Patricia
Anita dari Puchong, Selangor berkata, kelayakan untuk merestui seseorang bukannya datang dari
taraf perkahwinan, taraf pelajaran, atau status sosial seseorang wanita. Sepatutnya
peribadi, perwatakan, dan pengalaman hidup seseorang wanita yang sekali gus mempamerkan
pengorbanan hidup wanita itu perlu sentiasa dihargai.
“Penghargaan
tersebut bolehlah kita zahirkan semasa upacara sebegini di mana mereka diberi
perhatian dan penghormatan yang sewajarnya untuk merestui pasangan pengantin,”
katanya.
“Saya
rasa perubahan boleh berlaku sekiranya orang tua dalam keluarga bersuara dan
sanggup mengubah amalan kolot. Baru-baru ini dalam majlis keluarga saya, ahli
keluarga yang tidak berkahwin diberi peluang untuk merestui pasangan pengantin.
Seseorang itu harus dihormati bagi usia dan hubungan kekeluargaan. Hubungan
keluarga wujud dahulu sebelum seseorang wanita mendirikan rumah tangga. Kaum
India boleh menerima pelbagai perubahan dan sentiasa ingin maju ke depan, mengapa
tidak dalam perkara sebegini?” soal Anuradha Chelliah dari Banting, Selangor.
Thanusya Shanmuganathan dari
Petaling Jaya, Selangor belum pernah mengalami situasi seperti itu walaupun
termasuk kategori andartu. Dalam keluarga sebelah ibu dan mendiang bapanya, dia
dibenarkan menyertai mana-mana aktiviti tanpa halangan.
“Masalah
dinyatakan mungkin berlaku dalam kalangan masyarakat ortodoks yang masih berpegang
kepada kepercayaan kuno iaitu andartu tidak boleh memberi restu kerana dikhuatiri
akan menurunkan bala. Tanggapan ini salah dan perlu dibetulkan supaya tidak ada
lagi wanita dipinggirkan,” tegasnya.
N. Nitha dari
Rawang, Selangor turut menyedari isu
itu bukan perkara baharu dalam masyarakat India: “Percayalah, untuk mengubah
kepercayaan ini adalah umpama meluruskan ekor anjing. Saya sentiasa berfikiran
terbuka apabila menghadiri majlis seperti itu yang menggambarkan kekalutan amalan
dan adat yang sentiasa berubah-ubah mengikut pandangan kolot warga emas.”
Sesungguhnya,
niat dan hati yang baik sudah mencukupi untuk merestu serta mengambil bahagian dalam
mana-mana upacara. Status sebagai wanita sudah berkahwin, bujang, janda, atau
balu tidak memberi nilai atau taraf berbeza kepada individu terbabit. Demikian
ditegaskan S.
Ghanthimathi dari Butterworth, Pulau Pinang dalam perbincangan kami.
“Sekiranya
seorang andartu layak memikul tanggungjawab keluarga, menjaga anak-anak buah,
dan sebagainya, beliau lebih daripada layak untuk memberi restu kepada sesiapa.
Mentaliti seperti dalam kes ini perlu dihapuskan generasi muda,” kata wanita
bujang ini.
Pada
pendirian VK
Ezhilarasi dari Cheras, Kuala Lumpur, kaum wanita masa kini yang berpendidikan
tinggi cukup matang dan tidak perlu mengendahkan pandangan golongan berfikiran
kolot seperti itu.
“Saya
sebagai seorang balu pernah dipinggirkan dalam upacara dan majlis yang dianggap
suci dan bertuah. Saya berhenti bergaul dengan golongan sebegitu dan memilih rakan
yang lebih progresif dan positif,” katanya.
Memilih
untuk tidak berkahwin bukan suatu kesalahan. Kini, ramai wanita mengutamakan
kerjaya berbanding berkahwin dan beranak. Pilihan ini tidak boleh diterima segelintir
masyarakat India kerana masih mempercayai bahawa wanita yang sudah berkahwin
dan menunaikan segala tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu sahaja layak
dipandang mulia dan disanjung tinggi. Demikian ulasan Malini Lakshmi Bai dari Cheras, Kuala Lumpur.
“Malah,
wanita yang sudah berkahwin dianggap suci serta membawa berkat dan tuah kepada
keluarga kaum India. Kebiasaannya, anggapan dan kepercayaan ini dipengaruhi tekanan
orang sekeliling dan latar belakang ortodoks. Saya amat setuju bahawa fikiran
kolot ini perlu dihapuskan,” tegasnya.
Penulis
veteran, M. Mahendran
dari Bentong, Pahang turut terlibat dalam perbincangan. Katanya, dia tidak
faham mengapa andartu, balu, dan janda diperlakukan sebegitu rupa dalam budaya India.
“Mereka
juga manusia dan anggota kaum keluarga terbabit. Mereka bukannya membawa
musibah. Walaupun diberi alasan kononnya sudah menjadi budaya turun-temurun, amalan
kolot ini perlu dan boleh diubah mengikut peredaran zaman. Sama ada lelaki atau
wanita serta apa pun status perkahwinan, semua orang adalah manusia dan perlu
dilayan sama rata,” katanya.
Sebagai
masyarakat yang semakin ke hadapan dalam semua perkara, amat malang jika kaum
India di Malaysia masih mengamalkan perkara yang tidak mencerminkan
penghormatan kepada kaum wanita. Demikian ditegaskan Rasa Selvan Karuppiah dari Semenyih,
Selangor.
“Wanita
sememangnya dipandang mulia dan diberi penghormatan tinggi dalam budaya India. Hal
ini jelas apabila mereka dipanggil untuk melakukan pelbagai upacara dan
istiadat. Namun sedih apabila andartu, balu, janda, dan wanita yang belum ada
anak dipinggirkan. Semua golongan wanita harus dilibatkan dalam sebarang
aktiviti kebudayaan. Agama Hindu tidak pernah melarang
sesiapa pun terlibat dalam upacara,” katanya.
[Rencana ini ditulis pada 21 September 2022 dan
tersiar di akhbar Utusan Malaysia pada 1 Oktober
2022. © Uthaya Sankar SB. Hubungi Uthaya – klik di sini]