Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum ditubuhkan pada Januari 1949 kerana British menyedari perlunya wujud perpaduan antara tiga kaum utama di Tanah Melayu sebelum mengisytiharkan kemerdekaan yang dituntut.
Jawatankuasa itu yang diketuai E.E.C. Thuraisingam turut
membimbing penduduk tentang perpaduan dan proses pilihan raya. Orang ramai diberikan
ilmu berkaitan budaya mengundi dalam sebuah sistem demokrasi.
Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), agar menarik juga
untuk difikirkan sama ada “kesedaran mengundi” yang dipupuk sejak lebih 70
tahun dahulu sudah menjadi budaya dalam kalangan kaum India di negara ini.
Walaupun hanya membentuk sekitar tujuh peratus jumlah
penduduk Malaysia, tentulah undi setiap individu kaum India sangat penting dan
bernilai dalam menentukan hak demokrasi terus terpelihara.
Kelompok pengundi kaum India agak unik kerana secara umumnya
memiliki latar belakang pendidikan, pengalaman, pekerjaan, kesedaran politik, bahasa
ibunda, dan masalah sosial tersendiri. Tuntutan, harapan, dan permintaan mereka
sebagai penduduk dan pengundi juga sedikit berbeza berbanding kelompok
Bumiputera dan kaum Cina.
Sejak dahulu, MIC sering meletakkan dirinya sebagai parti
politik tunggal yang memperjuang dan memelihara hak kaum India, khususnya bahasa
Tamil, budaya Tamil, agama Hindu, dan sekolah Tamil. Monopoli itu hancur susulan
perhimpunan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) pada November 2007 yang
secara amat nyata mengubah budaya pemikiran dan kesedaran politik masyarakat
India di Malaysia.
Topik ini sempat dibincangkan dengan beberapa rakan susulan beberapa
Ahli Parlimen kaum India dari DAP tidak dicalonkan semula sementara MIC bakal bertanding
merebut 10 kerusi. Sementara itu, ada bekas pemimpin Hindraf beralih sokongan
daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH) dan kini kembali
kepada BN demi survival politik.
Hindraf yang memulakan perjuangan pada 2006 dengan
mengangkat isu kuil Hindu diroboh sering dikatakan membawa kesedaran politik generasi
muda. Namun begitu, pada pemerhatian R.
Umabathy dari Kluang, Johor, sikap tidak kisah masih menjadi budaya kaum
India pada hari ini.
“Kealpaan masyarakat India terhadap politik berlaku sejak
dahulu. Sepatutnya ada budaya menimba ilmu termasuk dalam hal kesedaran
politik. Malangnya, komuniti kita masih menunggu untuk disuap segala maklumat.
Maka saya dapati kesedaran politik masih amat rendah dan hal ini amat
membimbangkan,” katanya.
Sikap acuh tak acuh itu turut diperhatikan penulis veteran
dari Bentong, Pahang, M. Mahendran.
“Masing-masing sibuk dengan diri dan keluarga sendiri.
Lagipun, parti-parti politik yang kononnya membela nasib kaum India tidak menunjukkan
kehebatan luar biasa. Masyarakat sudah bosan dengan sikap politikus,” ujarnya.
Di sisi lain, generasi muda kaum India lebih bersikap
liberal dan berani bersuara lantang dalam pelbagai isu. L. Puvendran dari Bagan Datuk, Perak memberi contoh tuntutan supaya
sistem merit menggantikan sistem kuota dalam pengambilan kakitangan sektor
awam.
“Kaum India mempunyai penglibatan dan sikap ambil kisah yang
ketara dalam budaya politik susulan perhimpunan Hindraf pada 2007. Pada pemerhatian
saya, wujud harapan tinggi yang diletakkan kepada pembangkang oleh generasi
muda menjelang PRU15,” kata Prem Sutha
dari Skudai, Johor pula.
Memang perlu diakui bahawa monopoli yang dipegang MIC sejak 1946
sebagai parti tunggal yang kononnya mampu membela nasib kaum India sudah tamat
pada 2008. Hal ini jelas apabila calon MIC ditolak dalam PRU12. Survival MIC
dalam PRU14 berikutan undi kaum Melayu, khasnya di Parlimen Tapah.
Dalam perbincangan kami, saya bertanya sama ada MIC
berpotensi untuk kembali meraih sokongan dan kepercayaan kaum India. Pada pandangan
Umabathy, impian itu hanya boleh menjadi kenyataan jika wujud kepimpinan yang
kuat dan berwibawa.
“Apa yang ada sekarang lebih kepada pengikut (pak turut) dan
bukannya penyokong sebenar. Briged MIC Kebangsaan yang dilancarkan pada
September lalu merupakan langkah baik. Tapi saya bimbang kalau pasukan itu didominasi
golongan pencetus masalah sosial seperti gangsterisme sementara anak muda berpendidikan
memilih parti baharu seperti Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda),”
tegasnya.
[Baca juga -- Panduan Menanda Kertas Undi]
Puvendran masih meyakini peranan MIC sebagai pengantara yang
menghubungkan kerajaan dengan masyarakat dalam usaha menyampaikan maklumat dan
bantuan. Pada masa sama, pemuda ini berpendapat, peranan pemimpin akar umbi
yang sering membantu menyelesaikan masalah komuniti setempat perlu diiktiraf parti
jika MIC mahu mengukuhkan kedudukan, mematahkan tohmahan dan mengambil hati
masyarakat.
Walaupun ada beberapa parti politik kaum India yang tubuh
seperti cendawan selepas hujan, Mahendran optimis bahawa MIC masih berpeluang
kembali menambat hati dan sokongan kaum India sekiranya bijak dan memahami
denyut nadi masyarakat India.
“Masih ada peluang untuk MIC kembali meraih sokongan setelah
hilang kepercayaan pada PRU14. Kita perlu akui bahawa pengundi kaum India yang
menolak BN dan MIC pada PRU14 tetap kecewa kerana PH dilihat tidak mengendahkan
dan bersikap lepas tangan terhadap beberapa isu kaum India. Di pihak MIC pula,
biarlah kekalahan lalu menjadi pengajaran supaya benar-benar berjuang demi
masyarakat,” Prem Sutha menegaskan hasil pemerhatian.
“Benar. Kita perlukan pemimpin MIC yang boleh melakukan perubahan
polisi demi manfaat kaum India. Bukannya pemimpin yang hanya tahu membuat
konsert Deepavali atau masak payasam
(manisan tradisional). MIC perlu adakan program yang menyumbang kepada mobiliti
sosial dan ekonomi kaum India,” Umabathy menambah.
Para pemimpin gerakan Hindraf sudah berpecah dan mencari
haluan sendiri demi survival politik. Tambahan pula, Waytha Moorthy (Hindraf) kini
menggesa kaum India “menjauhi protes jalanan” sebaliknya “memperjuangkan hak
mereka melalui saluran yang betul” (Malaysiakini,
27 Oktober 2022).
Mahendran kecewa kerana Hindraf sendiri tidak berpegang
kepada perjuangan asal. Puvendran berharap Hindraf bergabung dengan MIC supaya “suara”
kaum India lebih kuat dan bertenaga. Mampukah semangat asal Hindraf kembali
membara?
“Mungkin tidak. Kaum India hilang kepercayaan kepada MIC dan
Hindraf,” Prem Sutha menyimpulkan.