22 Nov 2022

Dilema Sastera Tamil di Malaysia

Walaupun bidang penulisan sastera bahasa Tamil sudah lama bertapak di negara ini, sekelompok penulis Tamil nampaknya masih mengharapkan sokongan dan simpati dari Tamil Nadu, India.

Gambaran yang memeranjatkan serta sedikit menghairankan ini jelas menerusi ucapan presiden Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia, P. Rajendran pada majlis penutupan Festival Sastera Tamil di Universiti Malaya pada 5 April 2015.

Sesungguhnya sastera Tamil di negara ini bermula dengan terbitnya novel sulung karya K. Vengadaratnam dari Tamil Nadu pada 1917.

Kumpulan cerpen pertama oleh V. Sinniah Pillai terbit pada 1930, manakala buku kedua oleh AMM Ibrahim pada 1946, iaitu selepas zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu.

Maklumat terperinci terdapat dalam buku Cerpen Tamil dan Melayu (1957-1970): Perbandingan Tema dan Struktur (1993) oleh Krishanan Maniam dan Malaysian Tamil Novels Before Independence (1999) oleh Sababathy Venugopal.

Usaha terancang menghapuskan bahasa, budaya Tamil

Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia yang diasaskan pada 1958 mula bergiat aktif melakukan reformasi pemikiran serta membantu para penulis Tamil tempatan menghasilkan karya bermutu mengikut acuan tempatan.

Maka, hadirin pada Festival Sastera Tamil di Universiti Malaya pada 5 April 2015 tentu berasa hairan apabila Rajendran seolah-olah melangkah ke belakang dalam memperkasa dan mengangkat martabat serta kedudukan sastera bahasa Tamil di Malaysia.

“Dalam masa 20 atau 30 tahun lagi, apakah kedudukan kita (orang Tamil) di Malaysia akan menjadi seperti orang Chetti Melaka yang tidak tahu bahasa Tamil, atau menjadi lebih teruk daripada mereka? Untuk itu, penulisan sastera Tamil perlu memikul tanggungjawab sebelum kemusnahan berlaku,” kata Rajendran dalam ucapannya.

Rencana penuh boleh dibaca dalam Kumpulan Esei 2024.

(Rencana ini tersiar di The Malaysian Insider pada 7 April 2015. © Uthaya Sankar SB. Baca juga —Penulis Tamil ke GapenadanPenulis Tamil dan Usaha Terjemahan”.]