7 Jan 2012

Panchayat: Bahagian 1 – Trisula

[Bahagian pertama novel ini memperkenalkan beberapa watak penting dalam kisah yang berlaku di Kubur Gajah pada tahun 1960.]

Trisula Dewa Shiva melayang mencari mangsa!


Cuaca agak redup ketika Raja dan Ramani melangkah keluar dari kuil Maha Kaali. Angin bertiup lebih kencang daripada kebiasaan dari arah Lubok Buntan.


Akan tetapi, sejurus selepas itu, serta-merta juga mata angin bertukar ke arah Selama di sebelah utara.


“Mengapa agaknya angin menggila sampai begini?” Tanya Raja dengan suara yang dikuatkan sedikit.


Ramani, si adik, terus melangkah menuruni anak-anak tangga yang berjumlah empat di hadapan kuil. Daun-daun kering dan separa kering gugur dari pokok banyan berhampiran kuil Maha Kaali.


Sehelai dua tersangkut pada rambut Raja yang berombak-ombak. Ramani menarik daun-daun tersebut dari rambut abang kembarnya dan melepaskan daun tadi diterbangkan angin; berpusing-pusing jatuh ke tanah berdebu.

“Entah,” jawab Ramani setelah sekian lama.


Aneh. Sebagaimana angin tiba-tiba menggila, begitu jugalah tiupannya tiba-tiba mati. Daun-daun kering dan debu tanah merah yang diterbangkan angin sebentar tadi, kini bertaburan di atas jalan yang tidak berturap.


Cuma akar-akar pokok banyan yang tumbuh keluar dari bahagian dahan masih menggelepai; bekas dimainkan angin tadi.


Ramani mendongak memandang langit petang.


“Mungkin hujan akan turun.”


“Baguslah,” sambut si abang sambil masih berjalan beriringan bersama adik kembarnya. “Sudah hampir sepuluh hari hujan tidak turun. Tangki air di kampung kita sudah hampir hendak kering. Molek benarlah kalau hujan turun hari ini. Biar penuh tangki air. Biar lenyap debu yang berterbangan. Biar segar semula tanaman di ladang.”


Kepulan awan di langit berkembang secara menegak menjadi awan kumulonimbus berbentuk menara besar. Warnanya mula menghitam. Kehitamannya sesekali dikalahkan oleh pancaran kilat.


Mungkin ribut petir akan melanda kampung Kubur Gajah. Petir yang digelar trisula Dewa Shiva bila-bila masa sahaja boleh melayang terbang dari dalam kepulan awan hitam mencari mangsanya.


Menurut mitos Hindu, Dewa Shiva melayangkan pedang bermata tiga yang digelar trisula ke bumi untuk membunuh manusia yang ingkar pada arahan-Nya.


“Dewa Shiva sudah melepaskan trisula. Entah siapa yang akan dihukum kali ini,” kata Ramani, separuh berjenaka kerana dia tidak yakin bahawa mitos itu masih boleh diterima akal.


“Sini! Sini!” Jerit Raja ke ruang angkasa sambil menuding pada Ramani; bergurau.


“Sampai hati anna. …”


Si adik menjuihkan bibir; pura-pura merajuk. Si abang menggeletek tengkuknya dari belakang. Ramani menggeliat. Cepat-cepat dia menyerang leher Raja pula. Kedua-duanya saling menggeletek. Pasangan kembar seiras itu tertawa riang sambil terus berjalan pulang ke rumah.


Sitambaram yang memperhatikan telatah mereka sejak tadi dari hadapan kuil Maha Kaali tersenyum sendiri. Lelaki boyak itu sedang berdiri di anak tangga ketiga kuil Maha Kaali dengan kedua-dua tangan di dalam saku jibba.


Dia menggeleng-geleng; tidak pasti yang mana satu Raja dan yang mana satu Ramani kerana kedua-duanya sedang tertawa pada waktu itu.


Memang sukar untuk membezakan Raja dan Ramani. Mungkin ibu mereka, Puan Janaki sahaja yang dapat menentukan yang mana Raja dan yang mana Ramani tanpa perlu berfikir. Dan Puan Janaki memang dapat melakukannya walau dengan mata tertutup! Itulah kelebihan si ibu yang melahirkan.


Pasangan kembar seiras itu terlalu hampir serupa. Kedua-duanya sama tinggi, sama warna – sawo matang. Kedua-duanya berpusat bujal. Sama segala-galanya. Raja menjerit “Amma!” jika jarinya tercedera. Ramani juga begitu.


Si adik menggemari masakan tandoori. Begitu juga si abang. Kedua-duanya meminati bintang filem Sivaji Ganesan, warna biru, buah rambutan dan pakaian kasual. Maka tidak hairanlah jika para penduduk Kubur Gajah sering terkeliru.


“Wah! Gembiranya pasangan kembar ni.”


Raja dan Ramani tersenyum sipu menerima teguran itu. Sebenarnya, cuma ada sedikit perbezaan antara pasangan berkenaan. Ramani, si adik, lebih banyak tersenyum berbanding abangnya. Raja pula lebih kerap berwajah selamba. Dan dia bertambah muram sejak ibu mereka meninggal dunia setahun lalu.


Maka, kriteria itulah yang digunakan oleh penduduk Kubur Gajah untuk menentukan yang mana Raja dan yang mana Ramani. Sebab itulah jika Raja dan Ramani sama-sama tersenyum – atau sama-sama bermuram – orang ramai sukar membezakan mereka.


“Eh! Nak ke mana ni?” Tanya Ramani kepada Revathi dan Malliga yang menegur sebentar tadi.


“Ke kuil.”


“Pergi ke kuil berlenggang sahaja? Mana bunga malai dan kapur barus?” Ramani mengusik lagi kedua-dua gadis yang berpakaian pavade.


“Ada kami bawa tadi,” Revathi menerangkan dengan sedikit keluhan. “Tapi semuanya terjatuh semasa melarikan diri daripada Madurai Kaala!”


“Apa? Madurai Kaala mengejar kamu?” Raja bertanya dengan bimbang. “Kamu berdua tak apa-apa, kan?”


“Tak. Nasib baik kami sempat melarikan diri. Kalau tidak, entah apa yang dah terjadi,” sambung Revathi yang agak becok. “Salah Malliga Akka juga. Dia memakai pavade dan mundani serba merah. Patut pun Madurai Kaala mengejar kami berdua.” – BERSAMBUNG MINGGU DEPAN


Uthaya Sankar SB 2002 & 2011. Disiarkan di Free Malaysia Today pada 5 Jun 2011 sebelum didokumentasikan di blog pada 7 Januari 2012. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut. Sudah dimaklumkan sejak awal bahawa penulis boleh dihubungi menerusi e-mel uthayasb@yahoo.com.my untuk sebarang komen bagi “memurnikan” novel Panchayat: Edisi Khas dari aspek kesilapan bahasa, kesalahan fakta dan perkara-perkara yang mungkin menyentuh sensitiviti kaum sepanjang ia disiarkan secara bersiri di FMT. Maka, sebarang komen selepas itu tidak akan dilayan.)