11 Nov 2010

Pertemuan Bekas Pelajar SMDR

TAIPING – Selepas lebih 20 tahun, sekumpulan bekas pelajar Sekolah Menengah Darul Ridwan (SMDR), Taiping berjaya mengadakan pertemuan pada skala kecil tetapi meriah dan bermakna.
.

Pada 7 November lalu, kumpulan bekas pelajar berkenaan yang kini bekerja dan menetap di seluruh negara mengadakan pertemuan di Legend Inn, Taiping untuk mengimbau kenangan silam zaman persekolahan.

.

Setiausaha penyelaras, S Ghanthimathi berkata, majlis ringkas itu menjadi lebih bermakna apabila bekas pengetua, Encik K Balasubramaniam serta bekas guru, Puan Hedebah Duseh, Cik M S Pragassam dan Encik Sevanesen turut menghadiri pertemuan itu.

.

“Sekolah yang dahulu kami kenali sebagai SMDR kini sudah bertukar menjadi SMKDR. Malah pelbagai perubahan fizikal jelas kelihatan tetapi peluang untuk berkunjung semula ke alma mater memang penuh nostalgia,” katanya semasa kumpulan pelajar dan guru berkenaan berkunjung ke sekolah berkenaan.

.

Terdahulu, Pengetua SMKDR, Encik Rusli Muhamad Zain dalam ucapannya menggesa bekas pelajar memberi sumbangan idea dan khidmat demi kebaikan pelajar sekolah itu.

.

Bekas pengetua, bekas guru dan bekas pelajar pula berkongsi pengalaman silam yang secara tidak langsung membuktikan bahawa sekolah adalah tempat utama yang membentuk masa depan seseorang individu.

.

“Pertemuan sulung ini diadakan pada skala kecil sebagai percubaan awal dan saya percaya lebih ramai bekas pelajar akan menyertai pertemuan yang akan diadakan tahun depan, insya-Allah,” kata Nor Azura Kasim yang turut terlibat sebagai jawatankuasa penyelaras.

.

Bekas pelajar SMDR boleh menghubungi talian 016-3288142 untuk maklumat mengenai pertemuan akan datang.

..

Laporan bergambar ini disiarkan dalam Sinar Harian (edisi Perak), 11 November 2010, halaman PK22. Foto-foto boleh dilihat DI SINI (Bahagian 1) dan DI SINI (Bahagian 2) manakala catatan awal mengenai pertemuan ini boleh dibaca DI SINI dan catatan lanjut boleh dibaca DI SINI.