Wednesday, 10 November 2010

Bertemu Bekas Pelajar SMKEVII

Pada sekitar pukul 5:15 petang, 6 November 2010, sebaik mengucapkan selamat jalan kepada Ghanthimathi, Nor Azura dan Arokiasamy – BACA DI SINI – saya menerima SMS daripada Izham, bekas pelajar Sekolah Menengah King Edward VII (SMKEVII).
.

Memang saya menghubungi Izham dan Muhamad Amin sejak beberapa minggu lalu untuk mengatur pertemuan pada hari ini, jika mereka berdua ada kelapangan. Malangnya, sejak semalam, Amin gagal dihubungi.

.

Izham mempelawa saya ke rumahnya berhampiran SJK (T) Kamunting. Maka, dari Legend Inn, Taiping, saya terus ke rumahnya di Kamunting. Tidak lama kemudian, Jeffry Rejab datang bersama isteri dan anak-anaknya. Maka, meriahlah kami semua berbual selepas sekian lama tidak bertemu. Kami terakhir saya bertemu Izham, pada 1991. Jeffry pula, terakhir kami bertemu pada 2000.

.

Saya memberikan mereka kumpulan cerpen Kathakali dan Rudra Avatara. Ternyata mereka berkongsi rasa bangga dengan “kejayaan” saya sebagai sasterawan dan orang media. Kami membincangkan pelbagai peluang dan ruang keperluan memberi pendedahan kepada generasi muda (murid-murid dan pelajar) mengenai budaya membaca, menghayati karya sastera dan menulis cerita (cerpen) bermutu. Isteri mereka berdua – guru – turut terlibat dalam perbincangan.

.

Saya menyerahkan kepada mereka untuk merancang sebarang bentuk aktiviti yang sesuai bagi pelajar/murid di Taiping. Sebagai penulis kelahiran Taiping, tentulah saya amat bersedia mengendalikan bengkel penghayatan sastera, bengkel galakan membaca, bengkel penulisan cerpen dan seumpamanya di tempat kelahiran saya. Tambahan pula, Izham dan Jeffry berminat untuk membantu membuat perancangan. Terima kasih daun keladi! Pucuk diundang, ulam mendatang!

.

Sekitar pukul 7:30 malam, saya pergi mengambil Devishi dari rumah neneknya dan membawanya ke rumah Izham. Walaupun malu-malu pada mulanya, Devishi kemudian berbual mesra dengan anak-anak Izham dan Jeffry.

.

Devishi dan saya mengucapkan selamat malam kepada keluarga Izham dan Jeffry. Mereka berdua akan cuba merancang pertemuan sekumpulan kecil bekas pelajar SMKEVII pada Disember 2010. Ya, saya tidak keberatan untuk turut serta. Sempat saya berpesan, “Dapatkan Amin. Tangkap dan simpan di dalam botol jika perlu!”

.

Semasa memandu pulang ke rumah nenek Devishi, dia menceritakan dengan gembira pengalaman bermain, menyanyi dan menari bersama rakan-rakan baru (anak-anak Izham dan Jeffry). Kami memutuskan bahawa jika datang lagi ke Taiping, kami akan mengunjungi mereka semua.

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!