9 Nov 2010

Perjalanan ke Taiping

Selepas tamat waktu kerja di akhbar Sinar Harian pada pukul 11:30 malam, 5 November 2010 – Deepavali – saya terus pulang dan membuat persiapan akhir untuk ke Taiping pada awal pagi 6 November 2010.
.

Saya menyelesaikan urusan mencetak Sijil Kehadiran bagi 14 bekas pelajar Sekolah Menengah Darul Ridwan (SMDR) yang dijadualkan menghadiri Pertemuan Bekas Pelajar SMDR pada 7 November 2010; serta Sijil Penghargaan bagi tiga bekas pelajar yang tidak dapat hadir tetapi menghulurkan bantuan ikhlas untuk menampung kos majlis.

.

Saya tidur beberapa jam sebelum bangun sekitar 3:30 pagi, 6 November 2010 dan mencetak 22 salinan Atur Cara bagi acara pada 7 November 2010. Majalah-majalah keluaran lalu sumbangan Kumpulan Media Karangkraf pula tersedia di dalam kereta saya sejak 4 November 2010. Buku Siru Kambam dan Rudra Avatara juga sudah dimasukkan ke dalam kereta tengah malam tadi.

.

Sejumlah 16 foto zaman sekolah (Tingkatan 1-5) pula saya masukkan dalam album kecil yang dibeli khas semalam. Beberapa majalah Sedar (majalah SMDR) yang masih ada dalam simpanan juga saya masukkan ke dalam beg untuk dibawa ke Taiping; dan saya baru sedar bahawa beberapa keluaran majalah itu sudah tiada dalam simpanan saya.

.

Pada pukul 4:30 pagi, saya memandu dari Shah Alam, Selangor ke Kamunting, Perak pada kelajuan sekitar 90-110 kilometer sejam sambil menyambung mendengar cakera padat (CD) audio novel The Lace Reader karya Brunonia Barry yang dibacakan oleh Alyssa Bresnahan.

.

Saya sampai di rumah ibu Prabhawathy Govindarajoo di Kamunting sekitar pukul 7:30 pagi; dan Devishi Prabha Sankari baru sahaja bangun. Sambil bersarapan, saya menaip catatan di atas sebelum terlupa.

.

Selepas pukul 9:00 pagi, saya dan Devishi ke rumah sepupunya. Selepas berbual-bual seketika, kami berdua ke Aulong dan membeli biskut kaya segar dari kilang pembuatan sebelum ke rumah Muniswaran. Kami berbual-bual seketika dengan emak dan kanak berhubung berkembangan mutakhir.

.

Kemudian, Devishi dan saya memandu semula ke Kamunting, ke rumah sepupunya sekali lagi untuk berbual. Selepas itu, ke rumah nenek Devishi dan berehat seketika sebelum kami berdua ke Taiping Sentral untuk makan di McDonald’s.

.

Saya menghantar Devishi ke rumah neneknya dan sekitar 1:50 petang, saya memandu ke Taiping. Di sana, oleh kerana masih awal, saya ke kedai gunting rambut. Pertama kali dalam hidup, saya menggunting rambut di sebuah kedai biasa di mana tukang gunting adalah lelaki kaum Cina! Tukang gunting profesional di salun adalah perkara biasa, tetapi tukang gunting kaum Cina di sebuah kedia biasa adalah sesuatu yang luar biasa bagi saya!

.

Sekitar pukul 2:45 petang, saya bertemu Ghanthimathi di Legend Inn. Kami membincangkan persiapan majlis esok sebelum kemudian disertai Arokiasamy dan Nor Azura. Kami bertiga membincangkan semua perkara perlu berhubung majlis esok. Kami juga meninjau bilik di mana majlis akan berlangsung esok.

.

Selepas itu, majalah-majalah sumbangan Kumpulan Media Karangkraf dipindahkan ke dalam kereta Ghanthimathi bersama-sama sijil, atur cara, buku kumpulan cerpen dan bahan-bahan lain yang saya bawa dari Shah Alam. Arokiasamy pula menyerahkan pelekat kereta khas SMDR yang dijadikan antara cenderamata kepada hadirin.

.

Kemudian, kami berempat minum di sebuah kedai sambil berbual-bual. Hujan lebat tiba-tiba turun. Khabarnya, sudah hampir tiga hari tidak hujan. Bagus; hujan adalah rahmat. Malah, Taiping sepatutnya tempat yang paling banyak menerima hujan di Malaysia.

.

Apabila hujan reda sekitar pukul 5:15 petang, kami bersurai dan akan bertemu pukul 8:30 pagi 7 November 2010. Apa yang berlaku selepas 5:15 petang? Ikuti catatan ESOK.