13 Nov 2010

Catatan II: Pertemuan Bekas Pelajar SMDR

Catatan ini adalah sambungan kepada Catatan I yang boleh dibaca DI SINI.
.

Ucapan Puan Hedabeh Duseh

Puan Hadebah yang kini bertugas di SMK Klian Pau, Taiping menceritakan bahawa sekumpulan pelajar pernah mengadakan pertemuan beberapa tahun lalu dan mengundang beliau sebagai tetamu. Pertemuan seperti itu membuktikan bekas pelajar SMDR sentiasa mengenang jasa guru dan mengenang sekolah lama. Turut diceritakan bagaimana pelajar yang dilabel sebagai “teruk” dari segi akademik masih berjaya dibimbing sehingga mendapat A dalam subjek Bahasa Malaysia dan Sastera. Puan Hadebah mengakui bahawa pelajar SMDR (SMKDR) mempunyai banyak potensi dan pelajar juga perlu bijak mengambil peluang untuk berjaya. Pada masa sama, guru-guru perlu berbaik dengan pelajar, bukan melihat mereka dengan pandangan negatif. Mengenai pelajar bukan Melayu yang dikatakan oleh Encik Rusli sebagai punca kejatuhan tahap Bahasa Malaysia di sekolah, Puan Hadebah yang mengajar subjek Bahasa Malaysia di SMDR selama lapan tahun berkata, dulu ramai pelajar bukan Melayu yang amat bagus penguasaan Bahasa Malaysia. Melalui Persatuan Bahasa Malaysia dan Kelab Drama, misalnya, pelbagai aktiviti bahasa diadakan dan disertai pelajar pelbagai kaum. Menurut beliau, sekolah dan guru perlu memberi peluang kepada pelajar, bukan terus melabel pelajar sebagai lemah dan tidak berminat. Dalam hal ini, faktor guru juga memainkan peranan besar. Puan Hadebah yang mengakui “Saya sayang pelajar-pelajar SMDR” turut melahirkan keinginan untuk berjumpa lebih ramai bekas pelajar SMDR pada pertemuan akan datang.
.

Ucapan Encik R Sevanesen

Beliau memulakan ucapan dengan menegaskan bahawa semua individu datang ke dunia sebagai orang baik; begitu juga pelajar datang ke sekolah sebagai orang baik. Maka, tidak wajar untuk guru dan sekolah melabel pelajar sebagai jahat, bermasalah atau gangster. Sambil berkongsi pengalaman silam, Encik Sevanesen menekankan bahawa guru dan pengetua perlu tahu cara menangani pelajar yang memang setiap seorang adalah unik dan berbeza. Katanya, semasa beliau mengajar di SMDR, memang ada pelajar yang taiko tetapi cara guru mengambil tahu masalah pelajar membantu mereka berubah menjadi baik. Pada pendapat beliau, kita perlu tahu menghormati orang, sama ada tua atau muda, baik atau jahat. Masalah kini adalah berikutan ada guru yang tidak menghormati pelajar; sedangkan rasa hormat bukan sehala. Encik Sevanesen menceritakan betapa penting mengenal pasti “kebaikan” dalam diri pelajar, walaupun pelajar itu seorang yang kurang menonjol dari segi akademik, kedudukan ekonomi atau dianggap pelajar bermasalah. Secara tidak langsung, semua ini mungkin menjadi punca kepada keluhan Encik Rusli dalam ucapan beliau. Encik Sevanesen juga melahirkan rasa sedih dan kesal dengan kenyataan Encik Rusli bahawa tahap peguasaan Bahasa Malaysia dalam kalangan pelajar di SMKDR kini sudah jatuh. Katanya, guru perlu ikhlas dalam mengajar dan langkah itu mungkin boleh membantu mengatasi segala “masalah” yang dinyatakan Encik Rusli.
.

Penyampaian Cenderamata

Ghanthimathi yang diringi Nor Azura menyampaikan cenderamata mewakili para bekas pelajar kepada Encik Rusli, Encik Balasubramaniam, Cik Pragassam, Puan Hadebah dan Encik Sevanesen. Cenderamata ini dibuat khas dan memaparkan logo SMDR.
.

Ucapan Bekas Pelajar

Bekas pelajar yang hadir turut berkongsi pengalaman semasa menjadi pelajar SMDR. Mereka turut menceritakan perkembangan diri serta kisah menarik semasa belajar di SMDR. Antara “pendedahan” menarik adalah mengenai “Geng Longkang” yang sering ditegur Encik Balasubramaniam. Setiap pelajar mempunyai pengalaman berbeza semasa belajar di SMDR dan juga selepas meninggalkan SMDR. Namun, secara umum, kesemua pelajar SMDR tidak menghadapi masalah penguasaan Bahasa Malaysia. Malah, Encik Rusli juga membisikkan rasa kagum itu kepada beberapa pelajar. Rata-rata bekas pelajar yang hadir juga menyertai pelbagai aktiviti ko-kurikulum semasa bersekolah. Perpaduan kaum juga amat nyata dan tidak wujud pergeseran kaum; apatah lagi pembahagian pelajar mengikut kaum oleh pihak pentadbiran sekolah dan guru sendiri. Rata-rata bekas pelajar yang hadir kini mempunyai latar pekerjaan yang pelbagai. Namun, kesemuanya amat sayang pada SMDR dan terus mengamalkan semangat panther. Mereka juga berminat dan bersedia memberi sumbangan bakti kepada SMKDR sekiranya diberi peluang oleh pihak pentadbiran di bawah Encik Rusli selaku pengetua. Bekas pelajar juga berasa gembira kerana dapat bertemu secara formal pada majlis pertemuan ini selepas lebih 20 tahun.
..

Catatan ini disambung ESOK.